Esma Daniel Yakin Kemampuan 'Dilarang Masuk' Walaupun Pelakon Tidak Popular

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aktor berpengalaman Esma Daniel kini berjinak-jinak ke belakang tabir sebagai penerbit. - Foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
Aktor berpengalaman Esma Daniel kini berjinak-jinak ke belakang tabir sebagai penerbit. - Foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit filem Dilarang Masuk (DM) iaitu Esma Daniel, 42, yakin dan percaya filem bergenre seram atau ngeri itu mampu menarik perhatian masyarakat walaupun ia diterajui barisan pelakon dan pengarah yang tidak dikenali.

Esma berkata: "Saya yakin penonton hari ini sudah bijak menilai filem bagaimana yang mahu mereka tonton.

"Penonton kita bukan hanya melihat pada faktor pelakon semata-mata untuk menonton sesebuah filem.

"Jalan cerita, poster dan treler filem yang baik mampu untuk menarik penonton ke pawagam. DM juga mempunyai potensi cerah jika penonton memberikan peluang kepada filem ini."

Mengulas lanjut, Esma yang pertama kali menjadi penerbit berkata, penekanan yang diberikan terhadap filem tersebut bukanlah pada barisan pelakon semata-mata.

Sebaliknya filem itu mempunyai kekuatan pada jalan cerita dan aspek teknikalnya yang segar dan baru.

"Jika mengikut perancangan asal, memang kita hendak ambil pelakon yang sudah ada nama. Namun, disebabkan oleh kekangan bajet, kita tidak mampu untuk membayar pelakon-pelakon tersebut mengikut harga mereka.

"Jadi kita teruskan pencarian dengan mengetengahkan muka-muka baru. Mungkin daripada segi populariti mereka belum dikenali ramai tetapi lakonan mereka tidak menghampakan.

"Pengarahnya Jeffrey Chiang mungkin masih asing di dalam industri filem tempatan tetapi dia cukup dikenali di Singapura," katanya yang ditemui pada tayangan gala amal filem itu di GSC Pavilion, di sini, malam Rabu.

Filem yang dibintangi oleh Shiqin Kamal, Isma Hanum Husein, Azma Aizal Yusoof, Muniff Isa dan Esma Daniel ini mengetengahkan isu pendermaan organ secara haram yang berleluasa hari ini.

DM yang dirakam menggunakan kamera Canon EOS 5D Mark II ini menyingkap misteri yang dihadapi empat sekawan iaitu Fatia, Badrul, Juli dan Ronnie di dalam sebuah banglo usang.

Segala rahsia dan misteri rumah itu bakal terungkai bermula 7 April ini di pawagam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan