Yuzwan 'Pilih Kasih' Luah Rasa Sedih, Tiada Tawaran Berlakon

Diterbitkan: Khamis, 31 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yuswan ketika melakonkan salah satu babak di pentas akhir Pilih Kasih 2 baru-baru ini.
Yuswan ketika melakonkan salah satu babak di pentas akhir Pilih Kasih 2 baru-baru ini.

PETALING JAYA: Naib juara Pilih Kasih musim kedua, Yuzwan Yunus gelisah kerana masih belum menerima tawaran berlakon daripada mana-mana penerbit atau pengarah sejak sebulan lalu.

Pelakon itu berkata dia tertanya-tanya kenapakah bakatnya dalam dunia seni tidak dipandang sedangkan rakan-rakannya yang lain dalam program serupa sudah ditawarkan berlakon filem dan juga drama.

“Saya sanggup berpindah dari Kuala Lipis, Pahang dan menetap bersama abang saya di Rawang, Selangor untuk memudahkan saya menjalani apa-apa uji bakat dalam bidang seni tetapi sayang sekali ia tidak seperti yang saya harapkan,” katanya.

Yuzwan memberitahu dia turut bertanyakan kepada Rosyam Nor mengenai apa-apa tawaran berlakon tetapi penerbit drama ini memintanya bersabar.

Biarpun risau dengan keadaannya sekarang, Yuzwan tidak menyesal untuk bergelar pelakon dan masih berusaha untuk menerima tawaran berlakon dengan bantuan kawan-kawannya termasuk Shasha Alkred (Pilih Kasih 2) yang mempunyai ramai kenalan dalam industri.

“Antara finalis Pilih Kasih 2, saya seorang sahaja terkapai-kapai mencari kerja sedangkan yang lain sudah berlakon dan sedang menunggu masa untuk penggambaran.

“Sepanjang sebulan ini, saya hanya menganggur dan mencari-cari kerja. Jika perkara ini berterusan sehingga beberapa bulan lagi, mungkin saya akan mencari kerja separuh masa untuk menampung duit poket,” ujarnya yang baru menerima hadiah selepas memenangi tempat kedua Pilih Kasih 2.

Jelasnya, dia tidak kisah untuk berlakon apa jenis watak sekalipun asalkan dia boleh membawa watak tersebut.

“Saya bersedia untuk membawa watak apa sahaja. Saya sanggup melakonkan watak sedih atau watak jahat. Bagaimanapun saya belum pasti sama ada mampu membawakan watak komedi atau tidak,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan