Erra Fazira Bercakap Tentang Kecantikan

Diterbitkan: Isnin, 28 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ISTILAH primadona filem Melayu agak sinonim dengan pelakon Erra Fazira, 37, kerana raut wajahnya yang cantik jelita.

Manakan tidak, dirinya pernah dipilih sebagai Ratu Cantik Malaysia sebelum meniti dunia lakonan dan nyanyian.

Hari ini Erra meniti hidup yang penuh bahagia bersama suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV dan juga anak mereka Engku Aleesya yang berusia kira-kira dua tahun.

Biarpun timbul desas desus kononnya Erra mengalami masalah rumah tangga, pelakon Sembilu ini berjaya menepis dakwaan tersebut dan berkata, dia bersama suami serta anak mereka hidup aman damai.

“Itu semua adalah gosip. Saya geli hati mendengarnya kerana rumah tangga kami tiada masalah,” ujar Erra sambil menunjukkan mutiara Rafflesia yang digayakannya.

Ketika berada pada usia 37 tahun dan sudah beranak satu, Erra masih kelihatan cantik. Bertuah si suami memperoleh wanita seperti ini yang mampu menjaga penampilan diri untuk kebahagiaan rumah tangga.

Memegang prinsip keterampilan seseorang wanita perlu dijaga, maka atas faktor itulah wajahnya tetap kelihatan jelita.

“Setua mana pun seseorang itu, keterampilan hendaklah dijaga tetapi ia perlulah sesuai dengan diri seseorang. Bagi saya, pakaian mencerminkan peribadi seseorang itu. Jadi kecantikan dan penampilan amat penting kerana orang luar akan mentafsir diri seseorang itu berdasarkan apa yang dilihat.

“Saya mahu memberikan keselesaan kepada diri sendiri dan tidak mahu memberi tafsiran imej yang salah kepada orang lain.

“Saya gemar berfesyen tetapi sebagai seorang ibu, saya perlu juga menjaga imej diri,” katanya kepada OopStarz!.

Tidak dinafikan ramai wanita yang telah berumah tangga menjadikan Erra sebagai idola kecantikan mereka.

Keterampilan di rumah

Erra akui apabila seseorang wanita atau lelaki telah berkahwin, perubahan hormon akan berlaku ditambah pula dengan faktor hati yang senang.

Ada segelintir yang tidak mengawal pemakanan dan ada juga memberikan alasan tiada masa untuk menjaga badan atau kecantikan rupa paras selepas mempunyai anak.

“Saya mahu memberikan nasihat kepada sesiapa sahaja, terutama wanita yang menjadi suri rumah dan mempunyai anak agar menjaga keterampilan walaupun berada di rumah.

“Tidak semestinya mereka perlu bergaya cantik apabila berada di luar sahaja dan mengabaikan penampilan ketika di rumah.

“Sesibuk mana pun dengan kerja harian di rumah, kita perlu sentiasa berada dalam keadaan wangi. Walaupun suami sibuk dengan urusan kerja di luar, kita mesti sentiasa memakai wangian.

“Kita akan berasa selesa dengan diri-sendiri, menghargai diri sekali gus meningkatkan keyakinan diri,” jelasnya.

Gandakan senaman

Ketika usia meningkat, Erra tidak menafikan penjagaan kulit muka dan badan amat dititikberatkan lebih daripada dahulu.

“Kalau dulu, saya buat senaman sekali dalam seminggu tetapi sekarang saya perlu gandakan kepada dua kali.

“Sama juga dengan penggunaan produk penjagaan kulit, saya perlu menambah kepada dua hingga tiga jenis produk untuk mengatasi pelbagai masalah kulit termasuk kulit kering.

“Selain itu, saya turut melakukan rawatan badan di pusat kecantikan Slim World lebih-lebih lagi saya merupakan duta produk tersebut.

“Namun begitu, saya tidak terlalu bergantung kepada rawatan tersebut sebaliknya turut mengamalkan penjagaan sendiri seperti mengawal pemakanan bagi mengelakkan daripada penyakit,” katanya.

Erra akui sangat mengawal corak pemakanannya setiap hari. Boleh dikatakan dia hanya menyentuh nasi sekali pada setiap dua hingga tiga hari. Jika tidak mengambil nasi, dia akan menukar makanan ruji tempatan itu kepada roti untuk mendapatkan karbohidrat.

“Setiap hari saya mengamalkan sarapan tengah hari dengan mengambil makanan berat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan karbohidrat.

“Selepas itu saya pasti makan kuih tradisional Melayu pada setiap petang manakala pada waktu malam saya hanya menjamah makanan ringan atau buah-buahan. Jika saya makan malam terlebih awal, mungkin saya mengambil makanan pada kadar yang sedikit.

“Saya turut mengamalkan suplemen seperti vitamin untuk kesihatan badan,” ujarnya.

Selain berdiet, Erra tidak melupakan petua tradisional seperti memperbanyakkan memakan ulam-ulaman, kurangkan makanan bersantan, minum banyak air putih dan tidur dengan cukup.

Menyentuh tentang pembelian produk, Erra jarang melihat kepada populariti sesuatu jenama itu sebaliknya memilih produk yang lebih berkesan dan serasi dengan dirinya.

Foto IHSAN IVY YUEN (RAFFLESIA)

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan