LKBSM Mampu Lebih Baik

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Antara babak dalam Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM)
Antara babak dalam Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM)

MEMANG benarlah Hans Isaac bukan hanya bercakap kosong tentang kelainan yang cuba ditampilkan dalam LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM).

Buktinya, menerusi muzikal yang kini dipentaskan di Istana Budaya bermula 16 Mac lalu hingga 5 April depan itu, LKBSM bukan sahaja menghiburkan malah mengundang rasa kagum pada aspek teknikal yang diketengahkan.

Paling menonjol semestinya penggunaan lampu, peralatan, paparan animasi dan transisi babak ke babak yang lebih gah daripada apa yang dilihat dalam pementasan Cuci The Musical 2 tahun lalu.

Peralatan dan set seperti rumah, bangunan, pejabat dan paparan animasi sepanjang lebih dua jam durasi teater ini adalah nadi LKBSM. Pun begitu, di sebalik kehebatan teknikal itu, teater arahan bersama Hans Isaac dan Harith Iskander ini tetap tidak boleh menidakkan beberapa kelemahan ketara.

Pada dasarnya, LKBSM berpaksikan skrip dan plot yang baik. Malangnya, momentum penceritaan atau naratifnya tidak konsisten, bagaikan ada pasang surutnya pula.

Bahkan, adakalanya perjalanan LKBSM dirasakan begitu membosankan dan sarat dengan dialog yang meleret dan hambar. Mujurlah, muzik latar dan lagu-lagu baru yang menjadi saduran teater ini mengasyikkan halwa telinga.

Komposisi dan kualiti muzik orkestra pimpinan Michael Veerapan itu memang tidak perlu dipertikaikan.

Namun, timbul juga keraguan terhadap pemilihan lagu-lagu dan muzik tersebut. Bukan tidak bagus, cuma alangkah indahnya jika lebih banyak elemen muzik Malaysia khususnya tradisional Melayu diketengahkan agar ia lebih sinonim dan dekat dengan imej seorang tokoh yang merupakan anak Malaysia. Jujurnya, bukan menjadi kudis pun bagi Veerapan dan pasukannya mengetengahkan muzik moden dan kebaratan ala broadway itu.

Cuma, mungkin imej LKBSM itu lebih manis jika elemen muzik tradisional dan Malaysia lebih banyak diselitkan.

Menyentuh soal lakonan, rata-rata pelakonnya telah mempamerkan penterjemahan karakter masing-masing dengan baik. Antara yang mencuri tumpuan adalah Awie (sebagai Lat dewasa), Daniel Shazique Eezkandar Azraien (Lat kecil), Sandra Sodhy (Mrs Hew), Jalil Hamid (Bapa Lat), Omar Abdullah (Pak Samad) dan Douglas Lim (Frankie).

Atilia yang menggalas watak isteri Lat iaitu Faezah pula kurang menyerlah dalam lakonan tetapi meyakinkan ketika mendendangkan pelbagai lagu dalam LKBSM. Apa yang boleh dirangkumkan, LKBSM adalah sebuah lagi naskhah muzikal tempatan yang membanggakan.

Usaha dan inisiatif anak seni kita dalam mengetengahkan salah seorang ikon Malaysia ini sewajarnya mendapat sokongan rakyat Malaysia.

Maklumat lanjut tentang tiket, boleh hubungi 03-4147 8600 atau layari ticket2u.biz.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan