Kerja Keras Elaine Daly Sudah Terbayar

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERSONA bintang yang dimiliki si jelita Elaine Daly ini sememangnya tidak dapat disangkal. Meskipun usahanya hampir 10 tahun dalam dunia seni baru membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA2010) lalu, dia menganggap kerjaya lakonannya baru saja bermula.

Di saat umur yang berganjak ke angka 34 tahun, Elaine tidak pernah sekalipun rasa terlambat untuk berada di bidang lakonan ini. Malah baginya angka tersebut adalah paling matang baginya mencatur langkah kejayaan.

“Saya tidak kisah dikenali pada usia sebegini dan saya juga langsung tidak rasa terlewat menjadi seorang pelakon. Jika saya mengecapinya pada usia lebih awal mungkin saya tidak merasai apa yang saya telah lalui sebelum ini yang mana ia banyak memberi pengalaman berharga buat saya.

“Secara jujur anugerah yang saya terima sebenarnya telah membuka mata pengarah tentang tujuan saya terjun ke bidang lakonan. Ia bukan sekadar main-main atau hobi semata-mata. Saya memang serius sejak dari dulu lagi tapi mungkin ramai yang kurang percaya dengan bakat lakonan saya,” ujarnya.

Kata Elain, disebabkan ketidakpercayaan tersebut dia sering diberi watak-watak stereotaip iaitu watak dirinya sendiri. “Kebanyakan watak yang diberikan adalah menjadi diri saya sendiri iaitu gadis urban, model dan wanita berkerjaya.

“Malah ada juga yang mempersoalkan kerana bimbang saya tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik,” ujarnya yang mengaku sukar mendapat kepercayaan pengarah sebelum ini.

Mengimbau detik bersejarah menerima kemenangan dalam ASA, kata Elaine perasaan tidak dapat digambarkan dan dia melihat seperti majlis yang dia pernah memenangi Miss Malaysia Universe 2003.

“Saya datang tanpa berharap kemenangan, mana tidaknya ketika itu saya bersaing dengan nama-nama besar yang sememangnya terlalu bagus berbanding saya. Tapi mungkin inilah yang dikatakan rezeki,” ujarnya.

Elaine yang mula menceburkan diri dalam bidang peragaan sejak berusia belasan tahun mengakui kerja kerasnya selama ini sudah terbayar. Dia tidak mahu perjalanan lakonannya hanya bersandarkan kepada rupa paras yang dimilikinya.

Dia juga mahu bakat dalam dirinya diterokai dengan pelbagai watak yang lebih mencabar kemampuannya.

“Saya juga bakal keluar dengan drama Ku Mohon dan Menunggu Takbir Raya yang mana turut menguji kemampuan saya berlakon watak mualaf.

“Saya harap kehadiran saya dalam drama-drama Melayu akan diterima penonton, walaupun saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah,” ujarnya.

Mencari cinta sejati

Bercakap mengenai soal hati, wanita ini hanya mampu ketawa dan menyoal semula wujud lagikah lelaki bujang yang sesuai untuknya? Bukan mahu menolak jodoh, tapi dia menganggap sekarang bukan masa yang sesuai memikirkan mengenai pasangan hidup.

“Saya mahu lelaki yang faham dengan kerjaya saya. Kebanyakan lelaki sukar untuk menerima saya seadanya. Mereka takut untuk berdampingan dengan saya.

“Bohonglah kalau saya kata tidak mahu berkahwin dan mempunyai keluarga tapi dengan siapa? Kalau boleh saya mahu lelaki yang percaya dan yakin dengan diri mereka sendiri,” katanya.

Tambahnya, salah satu faktor dia takut untuk berkahwin disebabkan terlalu banyak kes penceraian yang berlaku.

“Saya berkahwin bukan kerana terdesak atau terpaksa, saya mahu hubungan itu kekal hingga ke akhir hayat. Jadi saya perlu mencari orang yang betul-betul sesuai dan boleh hidup dengan saya.

“Saya juga mahukan sebuah perkahwinan mengikut adat dan tatacara yang betul dalam sesebuah institusi perkahwinan.

“Mungkin ramai yang nampak saya seorang yang berfikiran terbuka dan moden, tapi sebenarnya saya masih berfikiran konservatif apabila ia melibatkan soal kehidupan dan keluarga,” ujar graduan undang-undang ini.

Menyingkap sejarah percintaan model ini, dia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan aktor dan pengarah popular Hans Isaac dalam tempoh yang agak panjang dan kemudian dikaitkan dengan salah seorang anggota kumpulan Estranged, Andy.

Dalam pada itu kata Elaine, dia tidak mengharapkan untuk terus berada dalam dunia seni sepanjang hayat sebaliknya suatu masa nanti dia pasti kembali ke bidang perundangan biarpun bukan sekarang.

“Saya ada kelulusan yang melayakkan saya untuk bergelar seorang peguam, cuma masa sahaja belum mengizinkan. Saya mahu buat apa yang saya cintai dahulu,” katanya.

Beg kulit ular

Menjual beg tangan rekaan sendiri, Elaine menganggap itu suatu kepuasan bagi dirinya. Beg tersebut diperbuat dari kulit ular yang direka khas dari Indonesia.

“Saya buat perniagaan tersebut kerana minat yang mendalam untuk mereka yang gemar memakai beg tangan. Saya memilih kulit ular kerana saya sendiri peminat barangan yang diperbuat daripada kulit haiwan tersebut. “Saya buat perniagaan ini secara sah yang mana ia sudah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada pihak berwajib,” katanya.

Oleh KAMELIA OTHMAN Foto: KAVIN TAN Solekan: NORA EGO SALON (0123841935) Pakaian: BILL KEITH

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan