ntv7 Cari Jejaka Cina Tampan & Berbakat

Diterbitkan: Ahad, 20 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Airin (empat dari kiri) bersama model-model tampan.
Airin (empat dari kiri) bersama model-model tampan.

PETALING JAYA: Stesen ntv7 menganjurkan sebuah rancangan untuk mencari jejaka Cina tempatan yang segak lagi tampan bagi memegang gelaran ‘jejaka sempurna’ atau perfect gentleman Malaysia.

Buat pertama kalinya dalam sejarah televisyen Malaysia, penonton berpeluang menyaksikan sebuah rancangan peragaan yang menampilkan jejaka Cina tempatan yang tampan dan berbakat.

The Perfect Gentleman 2011 merupakan satu-satunya pertandingan bagi mengiktiraf jejaka-jejaka dari segi personaliti, bakat dan stail. Mereka yang layak akan berentap untuk merangkul gelaran tersebut.

The Perfect Gentleman adalah langkah berani buat ntv7 untuk mencari lelaki tempatan yang sempurna dari pelbagai segi, terutamanya apabila rancangan ini membuka peluang bagi pemuda untuk menonjolkan bakat masing-masing.

“Saya percaya ramai jejaka Cina di Malaysia yang mempunyai kualiti dan tarikan mereka tersendiri, cuma mungkin belum ditemui lagi. Dengan adanya The Perfect Gentleman, sebuah platform telah tersedia untuk menyerlahkan lagi kualiti yang mereka ada,” kata Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul.

Bermula pertengahan April ini, aktiviti promosi bersiri akan diadakan, termasuklah empat ujibakat di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kuching, untuk mencari jejaka sempurna Malaysia.

Peserta akan melalui sesi penyingkiran yang ketat. Pertama sekali, hanya 30 orang sahaja yang akan dipilih dalam ujibakat.

Kemudiannya, hanya 16 terbaik sahaja yang akan ke peringkat seterusnya, manakala yang lain akan disingkirkan. 16 peserta ini berpeluang mendapat bimbingan peribadi daripada pakar-pakar tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada jurudandan, pereka fesyen, dan sebagainya.

Untuk melayakkan diri mereka bagi merebut gelaran berprestij itu, peserta akan diadili dari segi personaliti, stamina, dan kesungguhan mereka untuk berjaya, selain aspek fizikal, stail, dan persembahan mereka sepanjang 12 episod yang menampilkan tema berlainan setiap minggu. Kemampuan mereka akan diuji sepenuhnya dalam pelbagai cabaran dan proses penyingkiran bagi melahirkan 6 peserta akhir yang terbaik.

The Perfect Gentleman akan keudara setiap Ahad jam 6 petang, bermula 17 Julai, hanya di ntv7. Pemenang akan diumumkan pada peringkat akhir yang akan keudara secara langsung pada Ahad, 9 Oktober.

Umur peserta yang layak untuk mendaftar adalah 18 hingga 45 tahun. Ujibakat pertama akan diadakan pada Ahad, 17 April di Grand Paragon Hotel di Johor, dari 10 pagi hingga 6 petang.

Peserta dikehendaki membawa salinan IC, gambar separuh badan dan penuh badan berukuran 4R dengan borang pendaftaran yang lengkap.

Untuk maklumat lanjut tentang cara peserta boleh muat turun borang pendaftaran, sila layari laman web rasmi The Perfect Gentlemen di www.ntv7.com.my/theperfectgentleman atau laman Facebook rasmi ntv7.perfectgentleman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan