Kris Dayanti Dan Raul Selamat Bernikah

Diterbitkan: Ahad, 20 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Diva Indonesia Kris Dayanti dan kekasihnya Raul Lemos menyempurnakan kisah percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pada satu majlis yang sederhana di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya, Jalan Sudirman, Jakarta Pusat, Ahad.

Mereka dinikahkan bapa Kris, Trenggono dengan disaksikan oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Tri Sutrisno yang mewakili Kris dan Arif Abdullah Saga, wakil Raul dan selepas akad nikah, pasangan pengantin baru itu terus mempamerkan kemesraan melalui kucupan bibir di hadapan para tetamu.

Ini adalah pernikahan kedua bagi kedua-dua pasangan itu setelah rumah tangga mereka sebelum ini gagal.

Kris merupakan bekas isteri penyanyi dan komposer ternama Anang Hermansyah, manakala Raul, seorang usahawan dari Timor Leste pula gagal dalam rumah tangganya sebelum ini dengan Silvalay Noor Athalia atau mesra dengan panggilan Atha.

Kisah percintaan Kris dan Raul diwarnai dengan pelbagai halangan kerana sebelum bercerai dengan Raul, Atha pernah melemparkan tuduhan bahawa Kris adalah perosak rumahtangganya, namun halangan itu berakhir setelah Raul sah bercerai dengan Atha pada 21 Dis tahun lalu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Harapan dan doa saya rumah tangga saya kali ini akan lebih rukun dan damai serta dirahmati Allah," kata Kris pada sidang akhbar bersama suaminya sejurus selepas majlis pernikahan.

Pasangan mempelai itu juga menemui orang tua masing-masing untuk mendapatkan restu.

Ibu Raul, Esmeralda yang kini menetap di Lisbon, Portugal turut hadir memberi restu kepada anak dan menantunya.

Majlis pernikahan Kris dan Raul dihadiri kira-kira 100 orang yang terdiri daripada kaum keluarga serta rakan-rakan terdekat pasangan itu termasuk artis-artis popular Indonesia seperti Rossa, Iis Dahlia dan Desi Ratnasari.

Majlis resepsi perkahwinan mereka dijadual di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta, pada Jumaat ini, iaitu sehari selepas hari ulang tahun kelahiran Kris Dayanti.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan