Ezany Nizariff Sudah Ada Kilang Kicap, Belacan Sendiri

Diterbitkan: Selasa, 15 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ezany Nizariff
Ezany Nizariff

PETALING JAYA: Pelakon Ezany Nizariff telah telah melaburkan wang sebanyak RM800,000 sepanjang empat tahun berniaga menjual kicap dan belacan di bawah jenamanya sendiri, Ezany.

Ezany berkata, dia bersyukur kerana perniagaan makanan itu membuahkan hasil yang agak memberangsangkan sehingga mampu membuka sendiri sebuah kilang kicap dan belacan di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor.

"Alhamdulillah, segala penat lelah dan kesabaran saya dan isteri berhasil. Semakin lama, jenama kicap dan belacan Ezany diterima ramai dan ia kini dijual di beberapa pasaraya seperti Giant, Mydin dan Jaya Jusco.

"Pada mulanya, saya menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan dan bila ada wang lebih, saya tingkatkan kualiti produk yang dihasilkan.

"Contohnya, bekas kicap yang sebelum ini hanya menggunakan botol plastik kini ditukar kepada kaca dan belacan pula saya jadikan ia kepada serbuk dan kiub. Ini semua untuk membolehkan pengguna menggunakan produk tersebut," katanya.

Selain perniagaan kicap dan belacan, Ezany turut mempunyai jenama pakaiannya sendiri iaitu Grassjeans yang kini dijual di Jaya Jusco.

Tambah Ezany, perniagaannya yang bertambah maju itu membuatkan jadual hariannya begitu padat lebih-lebih lagi pelakon ini turut sibuk dengan karier lakonannya.

"Memang bukan mudah untuk membahagikan masa. Tetapi saya akan cuba lakukan yang terdaya. Kiranya, jika habis sahaja penggambaran, saya akan terus ke pejabat untuk buat apa yang patut.

"Isteri juga membantu dan selain itu saya memiliki empat orang pekerja yang menolong menjalankan perniagaan ini," ujarnya.

Kata Ezany lagi, dia menyarankan agar para selebriti turut membuka perniagaan sebagai pendapatan sampingan masing-masing.

Sementara itu, Ezany kini muncul menerusi drama Kemboja Putih di slot Legenda TV3 yang mula ditayangkan pada 7 Mac 2011, pukul 4.30 petang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan