Sabhi Saddi Mahu Lebih Menonjol

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEBUT nama Sabhi Saddi, mungkin tidak ramai yang mengenali siapakah pemilik nama itu. Namun, bagi segelintir peminat muzik tanah air khususnya muzik Melayu, mungkin ramai yang biasa mendengar lagu Nadiku yang cukup popular sejak setahun yang lalu.

Pasti ramai yang kenal dan jatuh hati dengan keindahan melodi dan lirik puitis lagu ciptaan Omar K dan Zel Firdhaus itu.

Pun begitu, Sabhi Saddi sendiri mengakui sehingga hari ini masih ramai yang tidak mengenali siapakah penyanyi lagu 'berhantu' tersebut.

Berkongsi pandangannya tentang perkara berkenaan, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini berkata, dia sebenarnya tidak runsing dengan isu populariti.

Tetapi apa yang lebih menyenangkan Sabhi, kerjanya diterima khalayak dan kehadirannya dihargai, biarpun dalam lingkungan kelompok kecil.

"Sebenarnya saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk popular dan dikenali ramai apabila menceburi bidang nyanyian.

"Memanglah populariti itu penting tetapi sebagai orang baru saya sudah berpuas hati apabila peminat dan sebilangan penggiat industri menyedari kehadiran saya di persada seni," katanya.

Tambah Sabhi, menyedari hayat pembabitannya yang baru berusia setahun jagung, penyanyi yang kini popular dengan lagu Gemerlapan ini punya strategi sendiri untuk mengukuhkan nama dan kariernya.

Biarpun lambat dan harus bertatih, yang penting langkahnya itu memberikan impak kepada dunia nyanyian tanah air.

"Soal kurang dikenali sebenarnya sesuatu yang sinonim dengan saya. Sejak setahun terlibat sebagai penyanyi, memang banyak pihak yang masih tidak mengenali saya tetapi mereka kenal lagu-lagu saya.

"Mungkin kerana kesilapan saya sendiri yang tidak begitu menonjol atau sering bertukar imej dan penampilan membuatkan orang keliru dan terlupa siapakah Sabhi Saddi.

"Bagaimanapun, apa yang dicapai setakat ini adalah mengikut strategi yang saya sasarkan. Untuk tahun ini, saya akan lebih menonjolkan nama agar lebih dikenali," jelasnya.

Lagu tema Nur Kasih The Movie

Beralih ke bidang nyanyian pula, bekas anggota kumpulan Esdeco (bersama Adam AF) ini berkata, sekalipun namanya masih belum gah, dia begitu bertuah kerana berpeluang untuk menyumbangkan suara bagi lagu tema filem paling dinanti-nantikan iaitu Nur Kasih The Movie (arahan Kabir Bhatia) yang akan ditayangkan 19 Mei depan.

Mengimbau peluang keemasan yang termeterai beberapa bulan lalu itu, Sabhi berkata, semuanya bermula apabila pihak penerbitan filem itu meminta lagu Nadiku untuk dimuatkan sebagai lagu tema.

"Asalnya pihak penerbitan meminta lagu Nadiku untuk dijadikan lagu tema filem itu. Selepas mengadakan perbincangan, kami mencadangkan untuk menampilkan sebuah lagu baru memandangkan filem itu cukup besar nilainya.

"Lantas, kami mula mendapatkan lagu daripada komposer terkenal Indonesia iaitu Andrew Darmoko yang bertajuk Tanpamu, di mana saya berduet dengan Helena Andrian.

"Apabila ia diperdengarkan kepada Kabir, ternyata dia gembira dan sukakan lagu itu," katanya yang berharap kolaborasi itu dapat melonjakkan namanya.

Jelas Sabhi lagi, pada mulanya lagu tersebut dihasilkan oleh Andrew untuk Anang dan Krisdayanti. Bagaimanapun, ekoran keruntuhan rumah tangga pasangan itu, Sabhi merisik peluang untuk mendapatkan lagu berkenaan.

Hubungan persahabatan yang terjalin di antaranya dengan bekas peserta Indonesian Idol pertama iaitu Helena Andrian memudahkan lagi urusan mereka untuk berduet dalam lagu itu.

Mahu terbit album penuh

Selain menanam impian untuk lebih popular pada tahun ini, Sabhi yang kini memiliki album mini atau EP yang mengandungi tiga lagu itu turut menyasarkan kemunculan sebuah album penuh.

Menyedari kekuatan vokalnya tersandar pada genre RnB dan balada, justeru penyanyi yang masih bujang ini akan terus mengekalkan konsep tersebut dalam album sulungnya itu.

"Sebolehnya, saya ingin mengeluarkan album penuh dalam tahun ini. Sekarang pun saya dan pengurusan sedang giat mengumpulkan material lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album itu.

"Berkemungkinan besar, saya akan terbang ke Indonesia untuk mendapatkan lagu-lagu daripada komposer di sana bagi memberikan variasi pada album itu nanti," katanya yang tidak akan meminggirkan komposer tempatan dalam penghasilan album penuh itu kelak.

Artikel dipetik daripada sisipan OopStarz! dalam Mingguan mStar keluaran 13 Mac 2011.

Foto ART CHEN Solekan VIE XENDDRA (012-9795875) menggunakan 4U2 Cosmetics Lokasi SMOKE & FIRE CLUB, Gardens Mall (Terima kasih Lester Lee)

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan