Bekas Suami Nafi Keluarga Mahu Hancurkan Kerjaya Daphne Iking

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Daphne Iking
Daphne Iking

KUALA LUMPUR: Bekas suami kepada Daphne Iking menafikan bahawa ibu bapanya nekad untuk menghancurkan karier pelakon dan pengacara tersebut selepas mengetahui wanita itu menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Ryan Chong Yiing Yih, 33, juga menafikan kenyataan beliau ada memberitahu Daphne bahawa ibu bapanya telah melantik seorang peguam jenayah yang paling mahal dan mempunyai ramai kenalan di Kuala Lumpur, yang juga bekas Pendakwa Raya bagi memastikan Daphne dan lelaki terbabit dihukum.

Ahli perniagaan itu yang sedang memberi keterangan di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, juga menafikan bahawa beliau tidak boleh membuat apa-apa untuk menghalang ibu bapanya daripada bertindak sedemikian.

Semua dakwaan tersebut terdapat pada petisyen perceraian oleh Daphne atau nama Islamnya, Dahlia Eleanor Iking yang dikemukakan di mahkamah oleh peguam Datuk Jagjit Singh pada perbicaraan saman peribadi Ryan terhadap bekas Pengarah Urusan Adidas, Darren Choy Khin Ming.

Darren, 45, menghadapi pendakwaan tersebut kerana didakwa memikat Daphne, 33, dengan niat supaya wanita itu yang berstatus isteri kepada Ryan melakukan persetubuhan yang ditegah dengannya.

Darren yang diwakili oleh Jagjit didakwa melakukan kesalahan itu pada antara bulan Julai dan September 2008, di B-13-2, The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada keterangan lain, Ryan juga menafikan bahawa perkahwinan mereka yang diadakan di Bali, Indonesia pada 27 Januari 2007 adalah satu publisiti murahan untuk beliau menjadi terkenal dengan menggunakan populariti Daphne.

Beliau juga menafikan bahawa telah memberikan hak eksklusif kepada majalah hiburan Hello! untuk menyiarkan majlis perkahwinan tersebut dalam keluaran pertama edisi Malaysia yang diterbitkan pada Mac 2007.

Menurut Ryan, perkara itu adalah idea Daphne, yang pernah mengacarakan rancangan The Breakfast Show itu.

Jagjit: Adakah kamu setuju bahawa kamu tahu mengenainya? Ryan: Saya hanya pulang tiga hari sebelum majlis diadakan. Jadi saya bersetuju kerana segalanya telah diuruskan.

Jagjit: Ia merupakan eksklusif dunia yang memaparkan gambar kamu berpegangan tangan, ketawa dan melepaskan burung merpati?

Ryan: Ia hanya majlis tertutup yang dihadiri oleh 80 rakan sahaja.

Jagjit: Kamu memberikan hak eksklusif kepada Hello! tetapi mengatakan ia adalah majlis tertutup?

Ryan: Ia adalah perkahwinan kami, apa lagi yang boleh saya katakan? Selain itu, Ryan juga bersetuju bahawa Daphne telah mengandung empat bulan setengah semasa perkahwinan tersebut didaftarkan di Kuala Lumpur pada 7 Julai 2008.

Ryan juga bagaimanapun menafikan ada memberitahu Daphne bahawa beliau akan mewarisi RM8 juta daripada datuknya semasa beliau sedang memikat Daphne.

Jagjit: Bagaimanapun kamu tidak mewarisi wang tersebut apabila datuk kamu meninggal dunia pada Ogos 2008?

Ryan: Saya setuju.

Jagjit: Saya katakan alasan kamu tidak mendapat wang itu adalah kerana datuk kamu mengetahui tentang hubungan kamu dengan Serena (pegawai perkhidmatan pelanggan yang dikenali beliau di Shanghai)?

Ryan: Saya tidak bersetuju.

Beliau yang diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong dalam perbicaraan itu juga menafikan bahawa keterangan yang diberikan beliau di mahkamah adalah untuk memusnahkan imej Daphne.

Semasa disoal balas oleh seorang lagi peguam Darren, Akbardin Abdul Kader , Ryan mengakui bahawa beliau menemui e-mel di antara Daphne dengan Darren secara tidak sengaja pada pukul 2 pagi, 10 Ogos 2008.

Menurut Ryan, perkara itu berlaku semasa Daphne yang mempunyai komputer sendiri jenama Apple menggunakan komputer biasa milik Ryan dan terlupa untuk mendaftar keluar daripada e-melnya.

Pada perkembangan lain, Jagjit memaklumkan bahawa pihaknya ada cadangan untuk menyelesaikan saman tersebut secara baik di luar mahkamah.

"Jika penyelesaian dapat dicapai, ia akan mengelakkan lebih banyak isu didedahkan dan dapat air muka semua pihak yang terlibat. "Ia akan membawa keadilan kepada semua dan kami telah mencadangkan perkara itu kepada Ryan dan sudah pasti beliau memerlukan masa untuk memikirkan tawaran tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah menetapkan Isnin depan untuk mengetahui keputusan Ryan terhadap tawaran itu.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan