Ramai Masih Ragu Keupayaan Dira Ganti Fara Fauzana

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dira Abu Zahar
Dira Abu Zahar

PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar mengakui ramai yang masih ragu dengan keupayaannya untuk mengendalikan program hiburan popular Melodi menggantikan Fara Fauzana, April depan.

Menurut Dira, dia mengetahui tanggungjawabnya terlalu besar untuk memenuhi harapan penonton selain mengekalkan rating program berkenaan.

“Saya tahu ramai yang masih meragui keupayaan saya untuk mengacarakan rancangan tersebut, saya tidak salahkan mereka kerana saya tahu mereka terlalu sayangkan Melodi.

“Mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa saya bermula sebagai seorang pengacara sebelum menjadi pelakon,” ujar Dira yang pernah mengacarakan rancangan Jom Ronda pada tahun 2008 lalu.

Biarpun mengakui dirinya tidak sehebat pengacara Fara Fauzana, Dira menganggap tanggungjawab yang bakal digalas itu sebagai satu cabaran besar baginya.

“Saya tidak boleh menjanjikan yang terlalu hebat seperti pengacara sebelum ini, tapi saya pastikan saya akan buat yang terbaik.

“Saya akan buat apa yang saya mampu dan jadi diri sendiri. Pihak produksi juga ada memberitahu agar saya mengacarakannya dalam keadaan yang selesa,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Dira, dia tidak berniat untuk merahsiakan perkara ini ketika disoal media sebelum ini, tetapi hanya mengetahui mengenainya seminggu sebelum diumumkan melalui kenyataan akhbar tersebut.

“Ketika saya dijemput sebagai pengacara jemputan beberapa kali saya ada bertanya kepada produksi tentang itu, tapi mereka tidak buat keputusan dan tidak beritahu apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Dira yang baru melangsungkan pertunangan pada Februari lalu dengan seorang Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof mengakui kehidupannya kini bahagia.

“Saya ambil keputusan untuk bertunang dengannya kerana saya rasa selamat dan selesa ketika bersama lelaki itu.

“Dia menyokong kerjaya saya dalam bidang seni. Saya rasa hubungan ini sangat kuat biarpun baru sahaja rapat dengannya sejak tiga bulan lalu.

“Mungkin ini yang sudah tertulis. Untuk majlis pernikahan, insya-Allah saya akan beritahu kelak,” ujarnya yang masih merahsiakan tarikh tersebut.

Tambah Dira, apa yang penting hubungan percintaan mereka kini direstui oleh kedua-dua belah keluarga serta anaknya iaitu Tengku Anggun Deandra Tengku Tengku Shafiz-Rullah, yang berusia dua tahun hasil perkahwinan terdahulu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan