Stephen Rahman Pernah Hampa Dengan KRU

Diterbitkan: Isnin, 28 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HADIRNYA seorang lelaki bernama Stephen Rahman Hughes (gambar) di persada seni tempatan dengan memegang watak pahlawan dalam kebanyakan karakter pasti cukup berkesan kepada sesiapa sahaja yang menyaksikan lakonannya.

Tidak dinafikan juga, susuk tubuh yang gagah itu membuatkan wanita kelihatan teruja melihatnya ketika dia beraksi.

Kerana itu, Stephen diberi gelaran Hang Tuah moden setelah melakonkan watak tersebut menerusi filem serta pementasan teater Puteri Gunung Ledang (PGL) beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas filem terbaru terbitan KRU Studios Sdn Bhd, Hikayat Merong Mahawangsa muncul, mungkin gelaran nama Hang Tuah yang dipegangnya selama ini beralih kepada gelaran baru iaitu si Merong pula?

Ternyata pemilihan Stephen oleh pengarah filem berkenaan, Yusry Abdul Halim untuk dijadikan sebagai pemegang watak utama Merong Mahawangsa bukan sembarangan ataupun dek kerana industri seni tiada pelakon tempatan yang hebat.

Yusry melihat watak Merong Mahawangsa yang memiliki darah Iskandar agung adalah sesuai dengan Stephen kerana karakter keturunan raja Macedonia handalan tersebut begitu dekat dengan jiwa pelakon itu.

Stephen sudah semestinya tidak akan melepaskan peluang untuk menerima watak itu lantas menjiwai karakter tersebut sebaik mungkin.

“Jika diimbas semula 12 tahun yang lalu, saya pernah menghantar demo lagu kepada syarikat KRU untuk dinilai bagi membolehkan saya membina tapak melalui bidang nyanyian di sini (Malaysia).

“Bagaimanapun, keinginan saya itu ditolak kerana Norman (KRU) berkata, genre muzik yang saya bawakan tidak sesuai untuk pasaran tempatan pada ketika itu dan saya pulang dengan hampa.

“Tak sangka pula mereka memanggil saya semula untuk melakonkan watak yang pastinya diidam-idamkan oleh pelakon lain. Kiranya saya seorang yang bertuah,” seloroh Stephen.

Meskipun tidak berapa fasih berbahasa Malaysia, itu bukanlah satu isu buatnya untuk menghayati watak yang diberikan.

Latihan selama sebulan sebelum penggambaran sedikit sebanyak memudahkan dirinya untuk menjiwai watak Merong.

Cuma apa yang menyukarkan pelakon ini apabila hampir 99 peratus aksi ngeri dilakukan sendiri dengan bantuan barisan kumpulan seni mempertahankan diri yang berpengalaman di bawah bimbingan pelagak ngeri dari Hong Kong, Chan Man Cheng.

“Dari segi sudut fizikal, saya perlu bertenaga untuk melakonkan babak aksi setiap hari. Bayangkan dengan cuaca terik, saya perlu melakonkan pelbagai jenis aksi sehinggakan saya mengalami beberapa kecederaan pada tubuh badan saya.

“Memang mencabar, tetapi ia memberi kepuasan maksimum sebagai seorang pelakon. Ia juga satu pengalaman yang menakjubkan,” katanya.

Bahagia menjadi suami

Jarang sekali berada di Malaysia, kesempatan bersua muka dengan lelaki kacukan Inggeris-Melayu itu memberi peluang untuk bertanyakan perkembangan peribadinya yang kini sudah mendirikan rumah tangga dengan Anjali Mehra Hughes.

Beritahu Stephen, perkenalannya dengan Anjali sembilan tahun yang lalu tidak pernah memberi harapan kepadanya bahawa wanita kacukan India-Inggeris itu bergelar isteri dalam sebuah perkahwinan yang dilangsungkan pada September tahun lalu di Tuscany, Itali.

“Dia merupakan seorang penari dan koreografer dan kami merupakan sahabat baik sebelum ini. Kami tidak pun terdetik di hati untuk mempunyai hubungan yang serius kerana kepadatan jadual kerja masing-masing.

“Bagaimanapun, tiga tahun lalu, kami lebih rapat daripada biasa. Mungkin kerana persefahaman yang wujud di antara kami membuatkan kami serasi.

“Tambah pula dia sentiasa ada di sisi bila saya memerlukannya. Dan akhirnya kami sudah bergelar suami isteri,” ujarnya tersenyum.

Bagaimanapun, buat masa ini, Stephen dan Anjali belum merancang untuk mendapatkan seorang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga mereka.

Bagi pasangan tersebut, mereka ingin memperoleh kejayaan yang besar dalam karier sebelum memulakan kehidupan dengan gelaran baru, ibu dan ayah.

“Saya memang menantikan seorang anak kecil yang meriuhkan hari kami. Tapi kami mahu mencapai apa yang diinginkan dalam karier terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, kami tidaklah mengambil masa terlalu lama untuk memperoleh seorang anak. Memiliki anak pasti melengkapkan kehidupan kami berdua,” kata Stephen.

Bikin Album

Selain aktif berlakon dalam perfileman tempatan, sekali lagi Stephen ingin cuba memasuki ke pasaran muzik tempatan pula.

Katanya, dia bakal menghasilkan album pertamanya, sebagai tanda hadiah terima kasih buat peminat-peminatnya yang menyokong kerjaya seninya selama ini.

“Setakat ini, saya sedang memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album saya.

“Mengikut perancangan, saya akan memasukkan sebanyak 10 buah lagu terbaik dan antara komposer yang akan bekerjasama dengan saya ialah Azlan Abu Hassan dan Audi Mok.

“Saya tahu, kemunculan album baru itu akan membuatkan saya terpaksa bersaing dengan penyanyi-penyanyi tempatan lain. Tetapi saya tidak kisah jika ia satu persaingan yang sihat,” katanya.

Pada tahun ini, Stephen merancang untuk menghabiskan lebih banyak masa di Malaysia memandangkan pelbagai tawaran yang diterimanya selain kesibukan menyiapkan album.

Lebih menarik lagi, Stephen bakal tampil bergandingan dengan penyanyi Britain, Simon Bailey dan Ramin Karimloo menerusi persembahan West End Stars In Concert pada 15 dan 16 April depan di Istana Budaya.

“Kami akan membawakan muzik berkonsep broadway. Konsert ini sangat bererti bagi saya kerana ia juga satu langkah pertama untuk menunjukkan bakat nyanyian saya sebelum album baru dikeluarkan.

“Mungkin persembahan nyanyian dalam penglibatan saya menerusi pementasan teater Puteri Gunung Ledang kurang menyerlah, konsert ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk menghiburkan peminat.

“Saya percaya persembahan kami akan memberi satu kelainan kerana ketiga-tiga kami mempunyai persefahaman yang kuat serta persona yang berbeza. Tambah pula, Ramin merupakan seorang penyanyi dan pelakon teater yang hebat di London,” katanya teruja.

Foto RAYMOND OOI Pakaian MUSA FASHION & DINE Solekan DERINA RESOURCES AND MANAGEMENT

Pakaian MUSA FASHION & DINE

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan