Artis Hargai Penerbitan Mingguan mStar

Diterbitkan: Isnin, 28 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Juliana Evans.
Juliana Evans.

MINGGUAN mStar akan melalui detik bersejarah setiap kali hadirnya tarikh 28 Februari setiap tahun. Ini kerana pada tarikh itu meningkatlah satu angka usia akhbar berkenaan.

Hari ini, usia akhbar yang diterbitkan bersama Sunday Star ini melalui tarikh istimewa itu. Sempena sambutan ulang tahun pertama, Mingguan mStar tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan komen sebahagian daripada beberapa artis yang pernah diberi peluang menjadi penghias muka belakang, iaitu segmen utama ruangan hiburan.

Mereka berpendapat, Mingguan mStar mampu bersaing dengan akhbar-akhbar lain. Dalam masa yang sama, sisipan pertama dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris ini adalah satu idea menarik yang tidak dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbitan lain.

Mingguan mStar mendapatkan pandangan mereka.

Lebih santai - Juliana Evans

Pelakon Juliana Evans berpendapat akhbar Mingguan mStar sebuah akhbar baru yang banyak menyokong perjalanan artis-artis tanah air terutamanya artis-artis baru sepertinya.

“Bagi saya dari segi pengisian, akhbar ini lebih santai berbanding akhbar-akhbar utama. Terutamanya apabila duduk bersantai bersama seisi keluarga.

“Apa yang istimewa ialah sisipan berbahasa Malaysia dari dalam sebuah akhbar Inggeris ini membuka peluang kepada kaum lain untuk mengetahui tentang dunia hiburan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, dari aspek kualiti, tidak dapat dinafikan berbeza dengan surat khabar lain sama ada kualiti kertas dan reka letak yang menarik.

Wadah pembaca berbeza - Ainul Aishah

Kali pertama diberi peluang untuk menjalani sesi fotografi bersama akhbar Mingguan mStar, pelakon Ainul Aishah berpendapat ia mempunyai keistimewaan tersendiri.

Menurut Ainul, prospek pembaca akhbar ini lebih luas berbanding akhbar lain yang lebih tertumpu kepada audiens Melayu.

Mingguan mStar secara tidak langsung mempromosi artis kepada audiens berbeza.

“Biarpun baru berusia setahun, ia telah dikenali ramai. Bukan sahaja akhbar malah mStar Online juga menarik.

“Sebagai artis yang saling memerlukan publisiti, saya berharap Mingguan mStar meneruskan usaha memartabatkan industri tempatan dan membantu artis- artis baru yang mula mencari tapak dalam bidang seni,” katanya.

Medium bacaan baru - Diana Amir

Bagi pelakon baru, Diana Amir, Mingguan mStar merupakan sebuah medium bacaan baru yang muncul mewarnai dan menghangatkan industri seni.

“Saya suka membacanya kerana pengisian lebih memberi informasi dan maklumat terbaru berbanding gosip dan kontroversi.

“Selain itu, gaya penulisan yang bersahaja dan santai membuatkan lebih mudah difahami dan menarik terutamanya golongan remaja untuk meneruskan bacaan.

“Saya percaya Mingguan mStar sudah mempunyai pengikut tersendiri biarpun baru setahun keluarannya. Kita sudah sedia maklum ia bermula dari portal mStar Online yang sentiasa padat dengan maklumat terkini terutamanya hiburan telah menarik bilangan pengikutnya untuk membaca akhbar tersebut,” katanya.

Peluang artis baru tonjol diri - Adeline Tsen

Bagi pelakon Adeline Tsen, Mingguan mStar berbeza dari akhbar-akhbar lain, dari sudut berita hiburan yang disajikan kepada pembaca sehinggalah rencana-rencana lain.

“Saya tertarik untuk membaca keseluruhan isi kandungannya yang bukan sahaja menghiburkan malah memberi informasi terkini.

“Apa yang saya lihat sudut pandangan Mingguan mStar berbeza dari akhbar lain, ia banyak fokus kepada perkembangan kerjaya seseorang artis dan berita tentang mereka. Selain itu, Mingguan mStar turut memberi peluang kepada artis baru untuk memperkenalkan diri mereka melalui medium ini.

“Saya juga berbangga kerana Mingguan mStar memberi lebih banyak ruang kepada artis tempatan berbanding artis luar negara,” katanya.

Kualiti menarik - Gambit

Sementara itu, pelakon kacak Gambit Saifullah atau Gambit mengakui Mingguan mStar mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding akhbar-akhbar lain.

Ia bukan sahaja menjadi sisipan dalam akhbar berbahasa Inggeris pertama di negara ini sebaliknya golongan sasaran mereka berbeza, malah pengisian juga lebih banyak informasi.

“Keluaran setiap hujung minggu sangat bertepatan dengan berita yang disajikan lebih santai dan menarik. Tidak hanya memaparkan kontroversi kosong tetapi isu yang dibangkitkan memberi pengajaran berguna kepada para artis.

“Semoga dengan kehadiran Mingguan mStar yang masih hijau ini mampu membantu industri hiburan agar lebih berdaya saing,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut pelakon Awan Dania ini, dari sudut kualiti, akhbar ini merupakan antara akhbar berkualiti terbaik. Cantik dan menarik yang mampu menarik lebih ramai pembaca.

Banyak informasi terkini - Farahdhiya

Bagi pelakon Faradhiya, kehadiran akhbar Mingguan mStar sudah pun disedari walaupun ia baru sahaja setahun.

“Saya tahu kewujudan akhbar ini sejak pertama kali ia dikeluarkan. Apa yang saya lihat ia bukan sekadar hiburan sahaja, malah memberi banyak informasi tentang hiburan.

“Mingguan mStar mempunyai sudut pandangan berbeza yang lebih banyak menumpukan soal berita hiburan terkini tanah air,” ujarnya.

Tambah Farah, lebih menarik lagi ia menjadi sisipan kepada akhbar berbahasa Inggeris, Sunday Star.

“Saya rasa ini satu-satunya akhbar bahasa Melayu yang berada dalam akhbar berbahasa Inggeris.

“Pada saya dari segi golongan pembaca turut berbeza yang bukan sahaja dari peminat hiburan Melayu,” katanya.

Saingan kepada akhbar lain - Intan Ladyana

Bagi pelakon Intan Ladyana, potensi akhbar ini berkembang dan memberi saingan kepada akhbar lain sangat besar.

“Saya pergi semasa majlis pelancarannya pada tahun lalu dan ketika itu saya sudah nampak ia mampu untuk pergi jauh seperti akhbar lain.

“Selain itu, berita- berita yang dipaparkan juga berguna untuk artis, ia bukan sekadar gosip semata-mata,” ujarnya.

Tambah Intan, kertas dan warna pada akhbar tersebut juga menarik minat pembaca untuk terus membaca.

“Saya harap semua yang ada dikekalkan, malah menambah lebih banyak lagi ruangan hiburan berbanding sekarang. Saya ucapkan selamat maju jaya pada masa akan datang,” katanya.

Dapat tenangkan fikiran - Marsha

Bagi penyanyi Marsha, Mingguan mStar merupakan sebuah akhbar yang menyajikan bahan hiburan yang menarik dan santai.

“Saya suka membaca hiburannya yang lebih ringan dan mudah diterima. Bagi saya ia sesuai dengan waktu dan hari Ahad di mana kita mahukan bacaan yang lebih untuk menenangkan fikiran.

“Bagaimanapun, sayangnya ia hanya boleh didapati di Lembah Klang sahaja. Ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan akhbar ini terutamanya pembaca di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, katanya perbanyakan lagi maklumat tentang perkembangan dunia hiburan sepanjang minggu untuk dimuatkan dalam akhbar tersebut.

Ada pengikut sendiri - Memey

Pelakon Memey Suhaiza atau lebih dikenali Memey juga menganggap Mingguan mStar sebagai medium maklumat baru yang berkesan.

“Saya percaya ramai yang sedar kewujudan Mingguan mStar terutamanya dari kalangan pengikut portal mStar Online.

“Peminat-peminat saya juga sering memberi maklumat tentang saya yang keluar di Mingguan mStar. Malah ramai yang beri maklum balas positif tentang penulisan akhbar ini,” katanya.

Selain itu, menurut Memey, reka letak dan grafik pada setiap berita juga menarik perhatian untuk pembaca meneruskan bacaan.

“Saya tertarik dengan gambar dan grafik pada Mingguan mStar yang menarik minat saya agar terus membaca sesebuah berita,” katanya.

Hidangkan maklumat hiburan - Irma Hasmie

Manakala bagi pelakon Irma Hasmie, Mingguan mStar mempunyai perspektif berbeza berbanding akhbar lain, ia lebih ringan sebagai bahan bacaan.

“Apa yang saya lihat Mingguan mStar lebih banyak memaparkan perkembangan kerjaya artis dan cerita-cerita terkini tentang artis.

“Seronok membacanya kerana ia lebih menjurus kepada menyalurkan maklumat berbanding mencipta kontroversi,” katanya.

Selain itu, kata Irma hiburan yang disampaikan melalui ruangan hiburan banyak memberi pengajaran dan bersifat ilmiah.

“Saya sentiasa menyokong perkembangan dan kemajuan akhbar ini sejak dari pelancarannya tahun lalu. Saya yakin ia pasti berjaya dalam persaingan dengan akhbar-akhbar tempatan yang lain.

“Kewujudan Mingguan mStar memberi pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan banyak maklumat tentang perkembangan dunia hiburan tempatan,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan