Ady Putra Terpaksa Kuruskan Badan

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ady Putra
Ady Putra

PETALING JAYA: Pelakon Ady Putra, 30, sedang dalam proses menguruskan badan untuk menjayakan sebuah filem aksi komedi pada tahun ini.

Dari berat 73 kilogram, kini dia telah berjaya mengurangkan berat hampir 4 kilogram kepada 69 kilogram.

Ini kerana pelakon filem Haq dan Don 2 itu mahu meringankan badannya agar dapat menjayakan adegan yang berkehendakkan dia melompat.

"Saya hanya makan seperti biasa tanpa berpantang dan banyak melakukan senaman “kardio” untuk membakar lemak dalam badan bermula Disember lalu.

"Demi menjayakan sesuatu watak itu, saya sanggup buat apa sahaja asalkan tidak melanggar akidah," katanya ketika sidang media drama Mantera Anjasmoro di Garden Cafe, One Utama, di sini, Selasa.

Selepas lapan tahun menceburi industri seni ini, Ady akui belum puas dengan kerja yang dilakukan dan mahu meningkatkan mutu lakonannya dari semasa ke semasa.

"Azam saya sempena hari jadi ke-30 pada 26 Februari ini adalah untuk meningkatkan tahap lakonan saya untuk menjadi pelakon berwawasan dan menjadi khalifah yang baik.

"Saya juga masih menunggu zuriat selepas lima tahun berkahwin dan mana tahu jika diizinkan Allah saya mendapat hadiah anak," ujarnya yang akan memasuki penggambaran drama Suria Di Cordova.

Drama tersebut merupakan salah sebuah projek Astro Megadrama dan akan menjalani pembikinan di Kuala Lumpur dan Sepanyol.

Menyentuh tentang Mantera Anjasmoro, Ady akui tertarik dengan kesan khas visual, kemahiran dan teknikal dalam drama tersebut yang menjadi perkara baru kepada dirinya.

Selain itu, dia sempat berkongsi tentang pengalamannya yang perlu berimaginasi seperti dalam kesakitan apabila ada sesuatu yang duduk di atas bahunya serta badan dicangkuk dengan besi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan