Nassier Wahab Amal 44 Jenis Akar Kayu

Diterbitkan: Selasa, 22 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nasier Wahab
Nasier Wahab

SEKALI pandang, pasti ada di antara kita akan memikirkan lelaki bermisai nipis dan berkaca mata ini berusia dalam lingkungan awal 40-an.

Itu bagi sesiapa yang tidak mengenali penyanyi Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Abdul Wahab.

Ironinya, dia yang masih diminati sehingga kini menerusi lagu popularnya seperti Pesona Cinta, Pak Pandir Moden, Lambaian Perpisahan, Bayangan Wajah Duka dan Memori Cinta Luka ini sebenarnya sudah mencecah usia 49 tahun.

Istimewanya anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak makan usia. Bukan itu sahaja, suaranya juga kekal seperti pada awal kemunculannya sewaktu era 80-an.

Percaya atau tidak, kalau kita menyaksikan persembahan Nassier, ramai yang akan terpegun dan tertanya-tanya adakah dia menyanyi secara mimik (miming) ataupun sedang membuat persembahan secara langsung? Sedangkan dalam sejarah penglibatan Nassier sebagai seorang penyanyi, dia lebih selesa membuat persembahan secara langsung kerana mutu suara yang dimilikinya tidak pernah berubah walaupun ketika peningkatan usia.

Sapu minyak zaitun

Bagi lelaki ini, penjagaan kesihatan luar dan dalam amat penting untuk seseorang.

Apatah lagi ketika usia semakin lanjut, penjagaan makanan yang teratur amat penting supaya kehidupan menjadi lebih sihat selain membolehkan seseorang itu kelihatan sentiasa muda.

Sebagai seorang yang mendambakan diri seratus peratus dalam bidang seni, Nassier mengakui dia amat mementingkan penjagaan kesihatan kerana ia adalah satu anugerah yang amat bernilai buat semua umat manusia tanpa mengira siapa mereka.

“Sejak 15 tahun lalu, saya selalu amalkan menyapu muka dengan minyak zaitun sebelum tidur pada setiap malam. Dalam sebotol minyak zaitun itu biasanya digunakan sehingga sebulan setengah.

Selepas itu saya banyak berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana saya percaya tentang doa yang boleh membantu menambahkan seri seseorang.

“Selain itu, saya juga sudah sepuluh tahun mengamalkan meminum madu yang di campur dengan 44 jenis akar kayu yang telah direbus dan dijemur. Akar kayu itu dibuat oleh kenalan saya iaitu Wak Khalid yang saya anggap seperti tok guru dan doktor. “Tentang pemakanan, saya kurang makan nasi dan banyak mengambil suplemen untuk tenaga,” kata Nassier kepada Mingguan mStar ketika di rumahnya di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.

Penyanyi yang baru muncul dengan single terbaru berjudul Andai Kau Di Sini itu turut tidak keberatan untuk memperlihatkan bilik mandinya yang menghimpunkan banyak produk keperluan harian yang digunakannya.

Antara jenama produk yang menjadi pilihannya adalah Nivea, St. Ives, Olay dan Listerine.

Disebabkan skop kerjanya sebagai selebriti, Nassier amat mementingkan penampilan apabila keluar dari rumah.

“Saya akan meletakkan bedak pada muka agar tampak sentiasa kemas dan rapi kerana kadangkala apabila berada di luar ada kalangan peminat yang mahu bergambar.

“Saya tidak mahu dilabel sebagai artis selekeh. Lebih-lebih lagi saya selalu mempunyai persembahan pada setiap Jumaat dan Sabtu.

“Selepas kembali ke rumah, saya akan pastikan muka dibersihkan sebelum tidur. Jika mempunyai masa lapang, saya membuat rawatan muka,” ujarnya lagi.

Di samping menjaga penampilan luaran, Nassier juga berkongsi tentang petua lain yang melibatkan jiwa dan muhasabah diri.

Nassier juga mengakui dia turut mengamalkan petua tidak suka menyimpan masalah dan sentiasa berusaha untuk sentiasa gembira kerana ia boleh menyebabkan dia kelihatan lebih muda dari usianya.

“Jika sesiapa sahaja yang rapat dengan saya dan orang itu nampak murung, saya akan tegur dan beri nasihat agar dia menyelesaikan masalah itu.

“Jadi apabila melihat orang lain gembira, secara automatik perasaan itu akan refleks kepada kita.

“Selain itu, saya mengamalkan doa yang diberikan oleh ibu seperti doa Nabi Yusuf yang dibaca sebelum tidur dan selepas sembahyang,” ceritanya.

Dalam masa yang sama Nassier juga gemar berpuasa kerana cara itu turut membuatkan seseorang bertambah sihat.

Katanya, amalan berpuasa bukan hanya untuk orang Islam semata-mata sebaliknya kaum-kaum lain juga boleh melakukan amalan serupa. Perkara itu turut diakui oleh doktor-doktor perubatan.

Borong baju batik

Beralih kepada pakaian, Nassier gemar berbelanja lebih untuk membeli pakaian. Antara pakaian yang menjadi pilihannya adalah kemeja batik Terengganu.

Ada di antara kemeja tersebut berharga mencecah ribuan ringgit dan prinsip Nassier ialah membeli apa sahaja barangan asal dia meminatinya selain perlu cantik pada pandangan mata.

“Sebagai artis saya tidak akan membeli pakaian yang biasa dibeli oleh orang lain dan kadangkala pakaian itu ada yang ditempah eksklusif.

“Saya akan ke Terengganu setiap bulan semata-mata untuk memborong baju batik,” ujarnya.

Menyelak sedikit perkembangan seninya, Nassier bakal muncul dengan dua lagu baru berjudul Jangan Biar Aku Pergi dan Ungkapan Hati.

* Artikel ini dipetik dari mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan