Padah Laman Sosial, Makan Diri Artis

Diterbitkan: Isnin, 21 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Profesor Madya Dr Abu Hassan.
Profesor Madya Dr Abu Hassan.

LAMAN sosial seperti Facebook dan juga Twitter pada hari ini amat penting bagi setiap individu untuk menyuarakan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran masing-masing.

Bagi golongan artis, laman itu menjadi tempat untuk mempromosikan produk dan menyalurkan maklumat mengenai diri masing-masing.

Malah ia juga dapat dijadikan sebagai medan komunikasi di antara mereka dan juga peminat.

Dengan adanya medium komunikasi baru itu, ia membolehkan para peminat mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat apabila mereka berpeluang membaca apa juga komen yang ditulis oleh setiap artis.

Sayangnya, kemudahan dan juga kemajuan yang dihasilkan itu sering disalahgunakan apabila terdapat segelintir selebriti pada hari ini menjadikannya sebagai tempat meluahkan perasaan dengan menulis perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Lebih parah lagi apabila segelintir artis yang gagal mengawal emosi menempelak rakan mereka, menceritakan masalah rumah tangga, pergaduhan dengan kekasih, memaparkan gambar-gambar menjolok mata dan sebagainya.

Kes melibatkan pelakon Ifa Raziah adalah antara contoh apabila laman sosial itu disalahgunakan apabila pelakon itu menyindir Safura dengan perkataan yang kurang enak membabitkan kes mahkamah di antara mereka.

Pelakon Abby Abadi juga pernah mencetuskan kontroversi apabila dia meluahkan perasaan tidak puas hati menerusi akaun Facebook miliknya terhadap pelakon Memey Suhaiza dengan menuduh pelakon itu sebenarnya tinggal serumah dengan Norman Hakim.

Dalam pada itu pelakon Scha Al-Yahya juga pernah terjerumus dengan kontroversi apabila dikatakan memberi komen menyamakan seseorang dengan monyet melalui Twitter miliknya.

Fasha Sandha turut mengejutkan dunia hiburan apabila meluahkan perasaan bengang terhadap Tiz Zaqyah selepas pelakon itu dikatakan mengganggu kekasihnya.

Keadaan yang berlaku itu memperlihatkan satu fenomena baru sedang melanda di kalangan artis apabila mereka yang menjadi perhatian masyarakat menggunakan medium media baru iaitu Internet bagi memperkatakan sesuatu tanpa memikirkan implikasi yang bakal ditanggung dengan perbuatan itu.

Mingguan mStar mendapatkan komen selebriti Zed Zaidi, Erra Fazira serta Pensyarah Kanan Jabatan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah mengenai pengaruh laman sosial yang disalahgunakan di kalangan artis.

Mereka kena tahu kedudukan sosial mereka - Abu Hassan

Menurut Abu Hassan tidak salah jika para artis menulis apa sahaja pada laman sosial masing-masing kerana ia milik peribadi artis tersebut dan mereka juga boleh berkongsi perasaan dengan para peminat.

Sayangnya kata beliau, para artis tidak faham fungsi sesebuah laman sosial dan kedudukan mereka sebagai seorang selebriti menyebabkan berlaku “perang siber” di kalangan mereka menerusi laman sosial masing-masing.

“Mereka harus tahu dan faham, sebagai seorang yang dikenali ramai, etika penggunaan laman sosial perlu dijaga. Setiap perlakuan yang dibuat perlu dikawal oleh akhlak diri kerana mereka hidup bersama masyarakat lain yang menyanjung bakat seni masing-masing.

“Jangan pula medium ini dilihat seperti sebuah tempat ancaman. Lebih-lebih lagi bila artis sesama artis bergaduh dengan memberikan kenyataan berbalas. Sedikit sebanyak, wajah mereka yang sebelum ini menjadi ikon dan pujaan ramai tercalar,” katanya.

Tambah Abu Hassan, sebagai seorang artis, mereka patut tahu mengenai etika penggunaan bahasa yang ditulis pada status di akaun laman sosial mereka.

“Pada pandangan saya, bagi artis-artis yang menggunakan medium ini sebagai tempat luahan perasaan dengan kata-kata kesat ataupun bergaduh sesama sendiri, mereka adalah pengguna yang tidak prihatin dengan status selebriti mereka.

“Malah mereka tidak layak menjadi contoh kepada masyarakat sekiranya mereka menggunakan medium ini dengan cara yang tidak sihat dan salah. Tidak menjadi isu jika mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hati kerana cara ini mungkin dapat mengurangkan tekanan, tetapi mereka perlulah menggunakan perkataan yang berhemah.

“Mereka tidak perlu hilang rasional atau sasau tanpa berfikir dengan baik. Masyarakat tidak mahu artis-artis yang begini,” tegasnya.

Penggunaan bahasa yang berhemah juga memberikan pandangan positif terhadap khalayak di mana seseorang artis itu bijak menangani situasi yang sukar.

Dalam pada itu, kata Abu Hassan, apabila golongan artis menulis dengan penggunaan bahasa yang sihat, sedikit sebanyak, para pengikut mereka turut mengikuti cara artis itu kerana dikhuatiri, kematangan dan rasionalnya pemikiran seseorang individu itu bersangkut paut dengan ikon masing-masing.

Jangan berfikir pendek - Zed Zaidi

Sebagai Exco Seniman Muda, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, kesal apabila ada segelintir artis yang kurang berilmu dalam bab komunikasi di laman siber.

“Apabila kita mempunyai medium baru untuk mempromosikan kerjaya serta menambahkan bilangan peminat, mereka perlu menggunakannya dengan baik dan jika ia disalahgunakan, perkara positif boleh bertukar menjadi negatif.

“Malah ramai yang tidak tahu mengenai Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 di mana pihak yang dianiaya boleh membuat laporan polis di bawah akta tersebut.

“Lebih-lebih lagi bila laman Facebook atau Twitter yang ditulis berunsur mengancam pihak lain. Jangan terkejut jika kes sebegini boleh dibawa ke penjara,” tegasnya.

Kata Zed, dia juga kecewa apabila kontroversi Ammar Alfian Aziz sebelum ini yang mengugut dan melemparkan kata-kata kesat serta berbaur lucah kepada wartawan hiburan di Facebook pada Mac tahun lalu tidak dijadikan sebagai pengajaran.

Tambah pula sejak kebelakangan ini, ramai artis yang menggunakan medium laman sosial peribadi mereka sebagai tempat meluahkan perasaan terhadap pihak-pihak yang tertentu menggunakan kata-kata kesat.

“Pada saya, tidak salah jika mereka mahu meluahkan perasaan atau mengkritik seseorang tanpa menyebut nama menggunakan ayat-ayat yang bijak apabila dibaca. Ini kerana ia mungkin menjadi kritikan yang membina buat pihak lain, tetapi biarlah berpada-pada.

“Kadang-kala mereka berfikiran pendek tanpa memikirkan kesan yang berlaku kepada diri dan karier masing-masing.

“Saya tak kata yang semua artis kita tidak bijak kerana mereka mempunyai kelebihan mengikut bakat yang ada.

“Tetapi bila bab komunikasi, banyak yang lemah tentang hal itu. Saya percaya, kalau dididik dengan cara betul, hal ini mampu diatasi dengan baik.

“Mereka perlu tahu bagaimana cara komunikasi yang betul dengan peminat, media, rakan artis serta pergaulan di laman sosial masing-masing kerana mereka adalah ikon masyarakat,” katanya.

Justeru itu, beritahu Zed, persatuan Seniman menawarkan para artis untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) secara jarak jauh.

“Saya percaya, dengan penambahan ilmu komunikasi yang ada, ia boleh mengurangkan masalah artis bergaduh atau mengeluarkan kata-kata kesat pada laman sosial masing-masing.

“Mungkin mereka hanya mengkritik atau meluahkan isi hati dengan perkataan yang sinis. Itu sudah memadai, kerana setiap kata-kata yang ditulis menerusi medium ini menjadi tumpuan umum sementara akhlak dan kebijaksanaan mereka dinilai menerusi laman-laman tersebut,” tegasnya.

Belajar kawal situasi - Erra Fazira

Sementara itu penyanyi dan pelakon, Erra Fazira, memahami apabila ada segelintir artis yang selesa meluahkan perasaan atau mengkritik sesuatu di laman sosial mereka.

Namun, sebagai seorang selebriti yang dikenali, para artis perlu sedar mengenai tanggungjawab yang dibawa terhadap masyarakat dan mereka perlu mengawal emosi masing-masing walaupun pada ketika itu mereka sedang berdepan dengan masalah yang berat.

“Kita perlu sedar, setiap tindak tanduk kita akan menjadi ikutan. Lebih baik jika kita tidak menunjuk amarah atau hal-hal negatif untuk menjadi tatapan umum.

“Saya faham, kadang-kala bila sesesuatu isu itu yang dibicarakan di media cetak dan elektronik, tafsirannya menjadi sedikit lain dan kerana hal itu, sesetengah selebriti terpaksa menjelaskan situasi sebenar menerusi laman sosial peribadi mereka.

“Ada juga selebriti yang lantang bersuara tetapi mereka tidak bermaksud mahu mencari gaduh dengan sesiapa, cuma ia sekadar luahan biasa,” tuturnya.

Tambah Erra, isu ini mampu memberi kesan jangka panjang terhadap artis berkenaan jika mereka tidak pandai menangani hal tersebut sekiranya status pada laman sosial masing-masing menjadi kontroversi.

“Semua ini pada akhirnya akan terkena pada batang hidung kita sendiri. Ini kerana, bila orang membaca apa yang ditulis, mereka akan tanya apa yang dah jadi? Apabila penulisan itu menjadi isu, ia akan menjadi sebuah kontroversi yang besar.

“Oleh itu, mereka perlu menggunakan bahasa yang lebih diplomatik agar diri mereka tidak terperangkap dengan masalah yang dicetuskan sendiri.

“Bagi saya, jika kita pandai mengawal situasi, ia menjadi lebih baik kerana setiap apa yang dibuat orang akan nilai peribadi seseorang artis itu.

“Fikir dahulu sebelum menulis. Dan jika mereka ingin menegakkan sesuatu, biarlah dengan cara berhemah,” tegas Erra.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan