Menang Anugerah, Sarimah Berterima Kasih Kepada Aznil

Diterbitkan: Isnin, 21 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sarimah Ibrahim memenangi Anugerah Pengacara TV Terbaik.
Sarimah Ibrahim memenangi Anugerah Pengacara TV Terbaik.

KUALA LUMPUR: Atas kemenangannya sebagai Pengacara TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2010, pengacara Konsert Akademi Fantasia (AF) 8, Sarimah Ibrahim, 33, berterima kasih kepada pengacara Aznil Nawawi, 48.

Dalam nada bergurau Sarimah berkata, jika Aznil turut tercalon, pasti dia tidak berpeluang memenangi anugerah tersebut.

Sebelum ini Aznil pernah memenangi anugerah yang sama pada tahun 2005 dan 2004 menerusi program Macam-Macam Aznil dan Akademi Fantasia.

Bagaimanapun, Sarimah tetap menganggap Aznil seorang pengacara terbaik manakala pengacara lain yang bertanding pada malam itu semuanya sama-sama hebat.

“Anugerah ini merupakan anugerah pertama yang dimenangi oleh saya selepas 15 tahun dalam bidang seni. Kebetulan hari lahir saya juga jatuh pada hari ini.

“Jadi saya sangat bersyukur kepada Allah dan terlalu gembira dengan kemenangan ini. Sebenarnya saya tidak mengharapkan apa-apa sebelum ini tetapi setelah memenangi anugerah, ia bagaikan permulaan untuk saya melakukan sesuatu yang lebih baik selepas ini,” kata Sarimah dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Menyentuh tentang sama ada dia masih lagi dipilih sebagai pengacara AF9, Sarimah tidak menaruh harapan yang tinggi sebaliknya menyerahkan kepada pihak produksi AF9 dan Astro untuk menentukan.

“Saya tidak kisah sama ada terpilih menjadi pengacara AF9 atau tidak. Kalau boleh AF yang terakhir ini biarlah dikendalikan oleh pengacara yang asal atau yang baru,” ujarnya yang baru selesai menjayakan pementasan teater Muzikal Tun Mahathir 2.

Bercerita tentang perkembangan terbarunya, Sarimah mahu berehat sementara daripada industri seni setelah penat bertungkus-lumus berlakon teater sebelum ini.

“Tidak lama lagi, saya akan terjun dalam bidang penyampaian radio. Tetapi buat masa ini saya tidak boleh mengulas panjang,” ujarnya yang turut muncul dalam filem Apokalips.

Menerusi filem arahan Mamat Khalid itu, dia perlu belajar kungfu selama 11 jam demi menjayakan wataknya sebagai Zara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan