Rosyam Jawab 'Artis Pilih Kasih' Tak Laku

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Finalis Pilih Kasih 2 bakal berentap pada 20 Februari ini. - Foto KEVIN TAN
Finalis Pilih Kasih 2 bakal berentap pada 20 Februari ini. - Foto KEVIN TAN

KUALA LUMPUR: Ketika ramai orang mempertikaikan artis Pilih Kasih yang dikatakan gagal membina kerjaya dalam industri seni tempatan, ternyata anggapan itu tidak benar sama sekali.

Jelas penerbit eksekutif Pilih Kasih, Rosyam Nor, terdapat beberapa artis Pilih Kasih musim pertama yang telah mendapat tempat di hati para produser dan stesen televisyen swasta seperti Iqbal Mazlan, Ana Dahlia, Nabila Dally, Zulin Aziz dan Emelie Hanif. Malah ada di antara mereka telah pun berpeluang berlakon filem.

Menariknya, belum pun Pilih Kasih musim kedua melabuhkan tirainya, artisnya seperti Fizi Ali, Bil Azali, Kris Cempaka dan Shasha Alkhred telah menerima banyak tawaran.

“Fizi Ali, peserta yang disingkirkan pada minggu kedua sedang dilatih dan digilap bakatnya oleh pihak RTM untuk menjadi hos rancangan Selamat Pagi 1 Malaysia.

“Begitu juga dengan Bil Azali, Kris Cempaka dan Shasha Alkhred yang kini sedang disunting untuk drama Panggung RTM dan beberapa produser lain.

“Saya berani memberi jaminan bahawa artis Pilih Kasih akan menerima tawaran berlakon dan dikenali ramai dalam masa dua tahun. Itu pun dengan syarat mereka harus rajin belajar dalam setiap kerja yang diterima,” kata Rosyam.

Sementara itu, pengarah drama pendek untuk program tersebut, pengarah Aziz M Osman, bersetuju untuk mengambil kesemua artis Pilih Kasih 2 untuk berlakon di bawah filem dan drama arahannya.

“Saya merancang untuk mengambil sebahagian artis Pilih Kasih 2 untuk berlakon di bawah filem Azura 2011 dan sebahagiannya untuk berlakon drama Khatulistiwa kerana mereka sudah dibentuk dan mempunyai peminat tersendiri,” ujarnya.

Pengarah filem XX Ray ini juga berani memuji salah seorang finalis Pilih Kasih 2 seperti Mira Amnas yang semakin menunjukkan peningkatan dalam lakonannya yang dulu digelar sebagai ‘kayu’.

“Saya jamin tujuh orang finalis ini boleh pergi jauh,” tegasnya.

Tujuh artis Pilih Kasih 2 akan bersaing untuk merebut gelaran juara pada 20 Februari ini di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan.

Mereka adalah Jay Iswazir, 29, Yuzwan Yunus, 24, Ku Hariz, 26,Livonia, 20, Mira Amnas, 20, Nur Jannah, 24, dan Lia Natalia, 19.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan