Top 20 Peserta AF9 Diundi Secara Dalam Talian

Diterbitkan: Ahad, 13 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azlin Reza bersama-sama Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Rauf.
Azlin Reza bersama-sama Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Rauf.

KUALA LUMPUR: Bermula 18 Februari hingga 3 Mac ini, para peminat Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) berpeluang menilai dan mengundi 20 peserta terbaik menerusi laman sesawang rasmi AF9 iaitu www.akademifantasia.com.my.

Sebanyak 40 klip video peserta ketika menjalani uji bakat di dua lokasi iaitu Kota Kinabalu, Sabah dan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini akan dimuat naikkan dalam laman sesawang itu untuk dinilai oleh peminat.

Undian orang ramai tersebut merangkumi 50 peratus markah yang diberikan kepada setiap peserta manakala 50 peratus lagi ditentukan oleh pihak produksi Astro.

“Kami mahu memberi peluang kepada para peminat AF menonton sekaligus menilai dan mengundi peserta-peserta yang digemari secara dalam talian.

“Ini merupakan kali pertama kami membuka peluang kepada orang ramai untuk mengundi peserta sebelum proses saringan. Lagipun ramai yang menggunakan Internet dan seperti menjadi trend penyanyi sekarang yang ditemui daripada laman sosial seperti YouTube dan My Space,” kata Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dalam satu sidang media sewaktu uji bakat diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu.

Untuk mengundi, pelayar laman sesawang itu harus mendaftar terlebih dahulu dengan syarat mestilah berwarganegara Malaysia dan Singapura tanpa mengira had umur sebelum layak melakukan undian.

Setiap pengundi hanya boleh mengundi sekali untuk setiap satu video pada setiap hari.

Uji bakat bermula Jumaat lalu itu berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad pada pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Secara keseluruhannya, seramai 1,764 orang yang hadir ke sesi uji bakat di Kuala Lumpur selama dua hari iaitu pada Jumaat (686 orang) dan Sabtu (1,078 orang) yang diadili oleh tujuh orang juri iaitu Adlin Aman Ramli, Edrie Hashim, Cikgu Shafi, Cikgu Mimi, Cikgu Shahrul, Sharon Paul dan Aidit Alfian.

AF9 akan bersiaran di Astro Ria (saluran 104) mulai 2 April ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan