Kami Tiada ‘Lesen’ Untuk Berlawak- Pukaw

Diterbitkan: Sabtu, 12 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pukaw tersingkir di minggu keenam Gelanggang Raja Lawak Astro musim kelima. - Foto Astro
Pukaw tersingkir di minggu keenam Gelanggang Raja Lawak Astro musim kelima. - Foto Astro

HULU KELANG: Gara-gara tidak bersedia menyertai program realiti Gelanggang Raja Lawak Astro musim kelima, kumpulan Pukaw terpaksa akur dengan kekalahan mereka.

Kumpulan yang dianggotai oleh Indra Putra Setia Negara Thamrin (Indra), 22, Abd Hadzir Abdullah (Ai), 23, dan Nizam Solah (Kecik), 34, berasal dari Johor itu tersingkir di minggu keenam selepas mendapat undian terendah iaitu 8 peratus.

Selain Pukaw, peserta lain yang telah meninggalkan Raja Lawak 5 adalah kumpulan Bobo, Kami, TBO dan Kopi O.

Selepas penyingkiran Pukaw, tinggal tujuh peserta yang akan meneruskan perjuangan mereka dalam Raja Lawak 5 iaitu Epy (11.3 peratus), kumpulan R2 (12.2 peratus), Man (12.3 peratus), kumpulan Lucky (11.6 peratus), Nazmi (13.2 peratus), Leman (18.7 peratus) dan kumpulan Balas (12.7 peratus).

“Kami mengaku persediaan kami belum cukup kuat kerana hendak menjadi pelawak yang berjaya perlu bersikap profesional.

“Kami tiada ‘lesen’ untuk berlawak dan melakukan sahaja tugasan yang diberikan pada setiap minggu asalkan kelakar.

“Ini merupakan pengalaman pertama kami membuat persembahan seperti ini dan mungkin silap kami apabila tiada pengalaman dan persediaan untuk ke peringkat seperti ini. Bagaimanapun, kami tetap rasa seperti bonus apabila berjaya kekal sampai minggu keenam,” kata Indra mewakili kumpulannya di Studio Finas, di sini, Jumaat.

Biarpun begitu, Pukaw tidak menafikan tema ‘Spontan’ pada minggu itu lebih mudah berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Malah mereka hanya meletakkan jangkaan 50 peratus untuk tersingkir pada malam itu selepas melakukan persembahan.

“Pada mulanya kami agak terganggu dengan pertukaran tema iaitu daripada ‘Cerita Kedai Kopi’ kepada tema ‘Spontan’ pada pukul 7 malam iaitu dua jam sebelum persembahan bermula pada pukul 9 malam.

“Nak atau tidak, kami perlu bersedia dan ‘bantai’ sahaja. Rasanya kami lebih selesa melakukan aksi spontan berbanding yang mengikut tema kerana apabila mengikut tema, kami akan terikat dengan perancangan dan biasanya yang dirancang itu tidak menjadi.

“Boleh dikatakan dalam 50 peratus sahaja yang kami mengikut perancangan ketika membuat persembahan sejak dari minggu pertama,” ujar Ai.

Menyentuh tentang perancangan Pukaw selepas penyingkiran itu, mereka mahu meneruskan kerjaya dalam bidang seni sekiranya diberikan peluang.

“Atas minat dalam dunia lakonan, kami tidak kisah untuk berlakon atau berlawak dan akan cuba juga menceburi bidang ini,” kata kumpulan yang menggemari pelawak Afdlin Shauki dan P. Ramlee ini.

Selain itu, mereka menjadi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu sebagai aspirasi untuk berkomedi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan