Joey Mengaku Ada Hubungan Sulit Dengan Watie

Diterbitkan: Khamis, 10 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Joey & Watie. Gambar ihsan Mingguan Malaysia
Joey & Watie. Gambar ihsan Mingguan Malaysia

KAJANG: Pelakon dan penyanyi, Joey didakwa membuat pengakuan kepada isterinya, Noraini Mohamad Nasir bahawa dia ada menjalin hubungan sulit dengan pelakon, Watie sebelum menghilangkan diri.

Noraini yang sedang memberi keterangan dalam perbicaraan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu berkata, pengakuan tersebut dibuat pada penghujung bulan Mei 2010.

“Keesokan harinya, dia terus keluar daripada rumah dan pulang semula pada 4 Jun 2010. Antara tempoh tersebut, saya ada menghubungi telefon dia, tetapi tidak dijawab manakala khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dibalas,” katanya.

Wanita bertubuh kecil itu seterusnya memberitahu, Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud menghubunginya menerusi telefon untuk berbincang pada 4 Jun 2010 sebelum datang ke rumah kelamin mereka yang terletak di Ampang, dekat sini.

“Dia datang bersama seorang kawan yang dikenali sebagai Acong. Dia kata ingin menceraikan saya, tetapi saya telah lari masuk ke dalam rumah.

“Acong telefon saya dan memberitahu bahawa suami saya telah melafazkan cerai dan dia mendengar lafaz tersebut,” katanya dan menambah dia merayu kepada Joey supaya tidak diceraikan.

Noraini juga memberitahu, bahawa Joey ada merujuk semula dengan dirinya empat hari selepas didakwa melafazkan talak dan lafaz rujuk didakwa berlaku di dalam bilik tidur mereka.

“Dia melafazkan rujuk melalui perkataan dan juga perbuatan. Dia meletakkan tangan kanannya di dahi saya manakala tangan kiri memegang Al-Quran yang diletakkan di atas bantal,” katanya.

Noraini menambah, dia telah memberitahu perihal rujuk itu kepada adik tirinya, Wan Asmadi Wan Mohd Najib manakala Joey menceritakan perihal sama kepada rakan mereka, Martias Ali.

“Martias memberitahu saya bahawa Joey ada bertanya kepadanya sama ada rujuk tersebut sah atau tidak dan Martias menjawab tidak sah kerana tidak mempunyai saksi,” katanya.

Justeru itu, Noraini menyatakan kesediaannya untuk bersumpah bahawa keterangan yang diberikannya dalam perbicaraan itu sebagai benar.

Noraini dan Joey yang merupakan vokalis kumpulan Exists dan pernah menghasilkan album Beradu Suratan berkahwin pada 4 Mei 2005 dan mereka mempunyai seorang anak angkat perempuan, Zidani, empat tahun setengah.

Noraini memfailkan permohonan untuk mengesahkan lafaz cerai yang didakwa dilafazkan di luar mahkamah mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor pada 15 Oktober 2010, iaitu kira-kira seminggu selepas hubungan antara Joey dan Watie dilaporkan media.

Joey dan Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali yang merupakan bekas anggota kumpulan Elite dikatakan rapat selepas bertemu di lokasi penggambaran sebuah drama bersiri.

Pada prosiding Rabu, Joey juga hampir berdepan dengan tindakan waran tangkap selepas dia tidak berada di mahkamah semasa kesnya dipanggil.

Joey yang hadir pada pukul 2 petang hanya memasuki galeri mahkamah kira-kira 15 minit selepas Noraini memberi keterangan dan di akhir kes, Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah menegur kelakuan pelakon filem Crayon tersebut.

“Sekurang-kurangnya jika kamu mempunyai masalah atau lewat, maklumkan kepada peguam kamu. Mahkamah tidak zalim, saya keluarkan waran tangkap kerana tiada maklumat tentang kamu,” katanya.

Beliau juga menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sambung bicara untuk peguam syarie Joey, Fakhrul Azman Abu Hassan menyoal balas Noraini ekoran peguam itu sedang mengendalikan kes di Manjung, Perak.

Walaupun Noraini mengakui bahawa mereka tidak lagi tinggal bersama, Abdul Halim masih memerintahkan pasangan tersebut untuk tinggal berasingan sehingga mahkamah memberi keputusan untuk merungkaikan masalah perkahwinan itu.

Pada prosiding itu, peguam syarie Munirah Abu Bakar hadir bagi pihak Fakhrul Azman.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan