Kontroversi di Sebalik Ahmad Dhani Sebagai Pengetua AF9

Diterbitkan: Isnin, 7 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ahmad Dhani
Ahmad Dhani

PROGRAM Akademi Fantasia (AF) tidak pernah sepi daripada kontroversi. Itulah realitinya sejak lapan musim AF bersiaran.

Malah ketika AF9 pada tahun ini disahkan sebagai rancangan realiti terakhir diterbitkan Astro, kontroversi terus tercetus apabila vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, dikatakan akan menerajui program tersebut sebagai pengetua.

Walaupun pihak Astro belum membuat kenyataan rasmi siapakah yang bakal dilantik untuk memegang jawatan itu, tetapi khabar angin yang mula bertiup mengatakan individu berkenan ialah Ahmad Dhani, seorang artis Indonesia yang pernah memburuk-burukkan karya artis Malaysia suatu ketika dahulu.

Lebih mengejutkan, khabar angin turut mengatakan Dhani menerima imbuhan yang banyak daripada pihak Astro melebihi pengetua-pengetua AF sebelum ini.

Tindakan Astro memilih orang luar seolah-olah mencerminkan senario industri seni kita sudah ketandusan orang yang pakar tentang dunia muzik tempatan.

Walaupun pihak Astro mungkin ada sebab-sebab tersendiri, ramai yang membantah tindakan itu.

Ketika isu kegilaan stesen radio yang gemar memainkan lagu dari Indonesia diperdebatkan , polemik baru cuba dicetuskan Astro sekiranya Ahmad Dhani dilantik sebagai pengetua AF9.

Mingguan mStar mendapatkan pandangan beberapa penggiat muzik berhubung desas-desus pelantikan Dhani itu.

“Dia tak faham budaya kita” – Edry Abdul Halim

Walaupun mengagumi bakat hebat yang dimiliki Dhani, komposer Edry Abdul Halim merasakan kerusi pengetua lebih baik diberikan kepada penggiat seni tempatan yang berpengalaman.

Ini kerana, pengaruh dan kredibiliti yang dimiliki oleh penggiat seni masih hebat dan pada masa yang sama, mereka boleh ‘masuk’ ke dalam jiwa pelajar-pelajar AF dengan mudah.

Selain itu, Dhani mungkin kurang berpengetahuan mengenai budaya dan kehidupan masyarakat tempatan.

“Bila mendengar berita ini, saya memang terkejut. Saya rasa tanggungjawab sebagai pengetua perlu digalas oleh orang Malaysia dan kita tidak perlukan orang luar atau Ahmad Dhani mengambil alih tempat itu.

“Kita bukannya ketandusan penggiat seni yang hebat. Ramai lagi yang berkelayakan tanpa memerlukan kita mengambil orang luar mengasah bakat anak-anak tempatan.

“Bukannya saya anti Dhani sebaliknya saya akui dia hebat dari sudut muzik. Tetapi untuk mengajar pelajar yang kurang berpengetahuan tentang muzik akan menyukarkan pengetua itu membentuk mereka kerana tiada jiwa tempatan yang boleh memahami sekali gus untuk membentuk pelajar dalam masa tiga bulan.

“Lebih-lebih lagi, mereka tidak tahu apa pasaran muzik tempatan mahukan. Contohnya begini, andai kata penyanyi “Babyface” sekalipun di undang sebagai pengetua, mungkin dia boleh ajar secara teknikal dan teori. Tetapi yang selebihnya, ia agak susah,” katanya.

Tambah Edry, budaya suka membanggakan produk luar masih lagi wujud dalam jiwa segelintir masyarakat Malaysia dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana mampu menghakis produk tempatan secara perlahan-lahan.

Dalam pada itu, jika benar pihak Astro telah mengambil penggiat seni dari negara seberang sebagai pengetua, mereka (Astro) juga perlu berfikir untuk bekerjasama dengan AF Indonesia tentang pengambilan pengetua dari Malaysia.

“Di Indonesia, mereka juga ada AF dan tidak pula mengambil pengetua dari sini (Malaysia). Saya memang berharap agar AF Indonesia turut melakukan perkara sama tentang pemilihan pengetua.

“Sukar untuk saya katakan di sini apa yang sedang bermain di fikiran pihak Astro. Mungkin ini sebagai percubaan terakhir dalam mengubah AF sebelum program tersebut menutup tirainya.

“Bagaimanapun, apa yang saya komen ini bukan saya membenci Dhani. Dia baik dengan saya dan saya hormatinya. Cuma saya hairan, kenapa kita masih ada mentaliti memilih orang luar berbanding orang kita sendiri,” tegas Edry.

Naikkan produk tempatan - Amy Search

Pada mata penyanyi rock Amy Search, kemunculan pengetua AF daripada negara seberang pasti mengundang kontroversi sepanjang program tersebut berlangsung.

“Pihak Astro perlu lihat situasi industri muzik sekarang. Saya tertanya-tanya apa kriteria Dhani sehingga dia dipilih?

“Saya tidak pernah menentang Dhani, cuma ingin saya persoalkan ialah, kesan yang akan terjadi sekiranya Dhani, seorang rakyat negara luar mengkritik bakat pelajar-pelajar kita? Sudah pasti penonton dan masyarakat di luar sana tidak akan berpuas hati kerana dia mengkritik produk tempatan.

“Lihat saja contoh American Idol. Mereka begitu peka dan bersatu padu bila melibatkan produk tempatan di mana ada salah seorang peserta membawakan lagu ciptaan daripada komposer Australia dan peserta itu dikritik hebat oleh masyarakat Amerika. Inilah sifat-sifat yang perlu kita ada,” katanya.

Bagaimanapun, kata Amy, hal ini langsung tidak ada kaitan dengan Dhani kerana penyanyi itu sekadar menerima tawaran yang diberikan oleh pihak Astro.

Cuma masyarakat serta syarikat-syarikat penyiaran perlu melindungi dan menaikkan produk seni tempatan tanpa perlu membabitkan orang luar.

“Bila tengah kecoh begini, fikirlah sejenak dan salahkan diri sendiri kerana kitalah yang mencipta perkara sebegini berlaku.

“Dhani tidak bersalah. Dia cuma datang atas urusan kerja. Ia ibaratkan sama juga seperti saya yang menerima undangan nyanyian atau perkara-perkara lain di Indonesia. Saya sekadar memenuhi jemputan.

“Bagaimanapun kehadiran Dhani sukar untuk mengubah industri seni tempatan kerana ia merupakan sebuah program realiti di mana kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas tiga bulan program tersebut.

“Dan hala tuju peserta atau pemenang pun belum diketahui kerana tidak semua juara mampu bertahan dalam industri muzik. Semua itu bergantung atas usaha dan produk lagu yang dihasilkan,” tegas Amy.

Ditanyakan pula adakah wajar untuk pihak Astro berfikir semula mengenai pemilihan pengetua AF9, kata Amy, dia tiada hak untuk menasihati Astro, sebaliknya stesen televisyen itu perlu membuat keputusan sewajarnya agar tidak menjejaskan industri muzik tempatan pada masa akan datang.

Ramli MS lebih terbuka

Sedikit berbeza bagi pandangan pemuzik terkenal Datuk Ramli Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Ramli MS, masyarakat perlu memberi peluang kepada Dhani untuk melihat sejauh mana kehebatannya menjadi pengetua dan mengajar pelajar-pelajar AF, mengenali industri seni tempatan.

Usah perlu merungut, bekas pengetua AF2 dan AF6 itu meminta agar masyarakat menganggap Dhani sebagai produk import yang dibawa ke pasaran tempatan, seperti produk-produk import lain yang dibawa masuk ke negara ini.

Kemudian, lihat saja hasil yang mampu diberikan oleh produk import tersebut (Dhani) , adakah dia mampu memberi satu kelainan pada AF9 yang terakhir itu.

“Secara realistiknya, yang menjadi tukang bayar bukannya orang luar, tetapi Astro. Jika keputusan yang dibuat ada kesan positif, maka positiflah program itu dan jika negatif, maka ia negatiflah.

“Kita tidak boleh menilai sama ada seseorang itu layak atau tidak. Jika Astro mengambil orang luar seperti pemuzik hebat AR Rahman sekalipun, masihkah ada rungutan daripada pihak luar?

“Cuba luaskan pandangan dan jangan anggap dia sebagai Dhani, tetapi seorang pengetua import yang bakal membawa perubahan dalam AF tersebut.

“Kalau dah kata import, selalunya produknya semestinya bagus bukan? Justeru itu, pelajar-pelajarnya nanti juga mendapat pelajaran daripada ‘barangan import’.

“Justeru itu, jika Dhani tidak menunjukkan prestasi yang bagus, masa itulah kita baru boleh hentam. Jadi, buat masa ini, kita hanya perlu sabar, tunggu dan lihat,” katanya.

Bagi Ramli, keberanian Astro membawa perubahan dalam industri tidak salah, asalkan ia memerlukan sikap keterbukaan minda dan asas ilmu muzik agar ia tidak terpesong daripada landasannya.

Bagaimanapun, cabaran menjadi seorang pengetua bukannya mudah kerana ia langsung tidak sama seperti seorang komposer yang duduk dalam studio dengan menerbitkan album.

Sebab itu kata Ramli, sukar untuk mengagak kebolehan seseorang pemuzik untuk menjadi pengajar kerana ia merupakan situasi yang sangat berbeza.

“Kita tidak tahu sama ada dia (Dhani) boleh mengubah industri muzik tempatan atau tidak. Dia memang seorang komposer yang hebat, tetapi perlu diingat, menjadi seorang pengetua bukan seperti menjadi seorang penerbit album kerana ia merupakan senario yang sangat berbeza.

“Bukan sekadar ilmu muzik yang perlu diajar, tetapi dari segi budaya, adat, tatasusila dan banyak lagi perlu difahami oleh seorang pengetua.

“Tambah pula, pengetua tersebut bukannya bekerja seperti biasa yang sering dibuatnya sebelum ini, tetapi mereka perlu melatih pelajar seperti kanak-kanak yang baru masuk tadika, agar mereka faham turun naik perjalanan seni tempatan,” katanya.

Belum putuskan siapa - Astro

Pengurus saluran Astro RIA, Azlin Reza Azmi berkata, walaupun pelbagai kritikan yang diterima, pihaknya sentiasa mengikut perkembangan terkini mengenai ulasan-ulasan serta spekulasi yang timbul daripada media dan orang awam.

“Pihak kami tidak kisah dengan setiap spekulasi yang ditimbulkan kerana ia adalah satu perkara yang normal.

“Malah setiap pandangan itu kami mengambil kira dan mempertimbangkan tentang keputusan pemilihan pengetua yang bakal dibuat.

“Bagaimanapun, kami belum memutuskan sesiapa lagi pengetua AF9 dan kriteria-kriteria yang akan kami perkenalkan. Yang penting mereka mesti berpengalaman dalam bidang muzik.

“Saya harap semua pihak dapat bersabar dan nantikan pengumuman yang bakal dibuat nanti,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan