Isma Hanum, Anak Orang Bandar Tak Selesa Masuk Hutan

Diterbitkan: Selasa, 1 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Isma Hanum Husein
Isma Hanum Husein

KUALA LUMPUR: Pelakon baru Isma Hanum Husein, 25, mengakui tidak selesa apabila terpaksa berada di kawasan hutan bagi membintangi sesebuah drama atau filem disebabkan kehidupannya selama ini yang dibesarkan di kawasan bandar.

Isma berkata, dia menjadi kurang selesa apabila terpaksa menginap di dalam banglo di kawasan pedalaman di Bukit Larut, Perak demi komitmen filem Dilarang Masuk.

Kata pelakon drama bersiri Butterfly dan Lima Jingga itu, biarpun berasa kekok untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran tersebut, Isma menyahut cabaran berkenaan atas dasar kerja.

"Saya akui sejak kecil dibesarkan dalam persekitaran bandar. Apabila terpaksa menginap di banglo iaitu lokasi penggambaran filem itu selama 16 hari, memang saya berdepan dilema tentang soal kebersihan dan keselesaan.

"Mungkin ada yang anggap saya mengada-ada atau berangan tetapi saya tidak boleh berbohong pada diri sendiri.

"Memang saya berasa janggal pada awalnya tetapi lama-kelamaan semakin dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran lokasi penggambaran itu," katanya.

Ulasnya lagi, jika bukan kerana urusan kerja dia tidak akan sesekali berkunjung ke kawasan hutan atau pedalaman semata-mata untuk bercuti atau menenangkan fikiran seperti sesetengah individu lain.

"Lain orang lain caranya. Mungkin ramai yang memilih untuk masuk ke hutan dan pedalaman yang tenang dan sunyi untuk bercuti tetapi saya memang tidak biasa dengan keadaan itu.

"Jika bukan kerana urusan kerja, saya tidak akan masuk ke kawasan hutan atau pedalaman semata-mata untuk menikmati keindahan alam," katanya yang berperanan sebagai salah seorang daripada empat pelakon utama filem seram itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan