Pengalaman Jualan Langsung Bawa Untung Pada David Teo

Diterbitkan: Isnin, 31 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

David Teo
David Teo

SEPERTI umum sedia maklum, syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) berjaya membuktikan industri penerbitan filem dan drama mampu mendatangkan hasil yang lumayan apabila kebanyakkan filem terbitan syarikat produksi itu berjaya mendapat kutipan berjuta-juta ringgit.

Tahun 2010 sahaja, MIG berjaya meraih jumlah kutipan sebanyak RM42 juta bagi 11 filem yang diterbitkan dan kejayaan itu dikongsi bersama pada majlis malam penghargaan dan penyampaian bonus “1 Dekad 49 Filem” dengan mengeluarkan bajet sebanyak RM4.5 juta untuk berkongsi rezeki dengan orang yang terlibat secara langsung dalam penerbitan filem-filem MIG.

Malah, baru-baru ini, filem komedi seram, Ngangkung menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records 2011 sebagai filem yang menerima kutipan boxoffice tertinggi sepanjang tahun itu.

Dalam masa sebulan sahaja, Ngangkung berjaya menghasilkan rekod kutipan RM8 juta dan sekali gus mengatasi rekod filem Adnan Sempit yang berjaya memperoleh kutipan RM7.8 juta.

Apabila melihat kejayaan MIG yang kerap mendapat kutipan boxoffice, persoalan pasti timbul bagaimana Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Teo menyusun strategi dalam menarik minat penonton menyaksikan filem-filemnya.

Bagi David, apa yang diamalkan pada perniagaan jualan langsung sebelum menyertai industri perfileman diterapkan dalam perniagaannya sekarang.

Dan apa yang paling penting, David akan memastikan keuntungan yang diperoleh perlu dikongsi dengan individu yang terlibat dalam perniagaannya itu.

“Berkongsi rezeki merupakan sebuah amalan yang dilakukan oleh mana-mana agama dan itu yang sering saya terapkan. Kalau banyak rezeki yang diperoleh, banyaklah yang saya kongsi. Sekali gus saya akan mendapat hadiah doa daripada mereka.

“Selain itu memandangkan saya berpengalaman dalam perniagaan jualan langsung, saya menggunakan kaedah yang dipelajari itu dalam dunia perfileman.

“Yang penting, saya akan menghormati kehendak penonton dan pada masa yang sama saya akan menggunakan elemen komersial dan artistik bagi setiap filem,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah promosi bagi sesebuah produk dan David akan memastikan setiap filemnya diberi promosi sebanyak yang mungkin tidak kira di media cetak atau elektronik.

Mahu melihat sendiri respons daripada penonton, David sering kali ke pawagam untuk melihat reaksi penonton tentang filem-filemnya dan jika filem tersebut tidak memuaskan penonton, dia akan menukar strategi konsep penghasilan filem.

“Selalunya, bila filem itu dah mula, saya akan senyap-senyap masuk ke panggung dan lihat sendiri reaksi penonton-penonton. Bagi saya penonton merupakan punca kejayaan sesebuah filem saya,” tuturnya.

Menariknya tentang David, walaupun dia berbangsa Cina serta beragama Buddha, perbezaan kaum dan agama tidak pernah dibandingkan.

Malah pekerja-pekerjanya sahaja 95 peratus adalah berbangsa Melayu dan setiap kali pelancaran dan penutup penggambaran filem-filemnya, David akan membuat majlis doa selamat cara orang Islam.

“Saya rasa doa adalah perkara yang paling penting sebelum memperoleh kejayaan. Bayangkan, dalam sehari jika ada lima filem yang membuat penggambaran serentak, maka lima kali dalam seharilah saya membuat majlis doa selamat.

“Nak ikutkan, majlis doa selamat sering kali saya lakukan sejak di zaman perniagaan jualan langsung di mana ada seorang ustaz yang bernama Ibrahim di stokis mengajar saya banyak perkara tentang Islam.

“Dialah yang mengajar saya kenapa kita perlu mengadakan majlis doa kesyukuran apa keuntungannya jika kita berbuat demikian. Justeru itu saya ikut kata-kata ustaz itu sehinggalah hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun sering mengamalkan cara-cara Islam dalam perniagaannya, David tidak merancang untuk bertukar agama.

Baginya, amalan yang perlu dibuat pada sesebuah agama itu lebih penting daripada menukar kepada agama itu.

“Saya akui banyak amalan Islam yang saya ikuti dan buat. Tapi bagi saya, mengamalkan lebih penting daripada memasuki sesebuah agama itu.

“Tapi manalah tahu, andai kata sudah tiba masanya untuk saya mengubah kepercayaan saya,” kata David.

Bagaimanapun, tahun 2011, David merancang untuk menerbitkan sebanyak 19 buah judul filem yang antaranya ialah Kembar Siang, Kongsi, Keramat, Senario The Movie Ops Pocot, Sekali Lagi, 321 Cinta, Flat 3A, 8 Jam, Alamak, Toyol! dan Pe3.

Sementara itu, Skim sepuluh Pengarah Muda MIG yang diperkenalkan tahun 2007 sehingga kini telah memperkenalkan tujuh orang pengarah muda iaitu Pierre Andre, Norliana Samsudin, Farid Kamil, Azhari Zain, Ismail Bob Hasim, Hashim Rejab dan Ahmad Rusli Mohd Khadri.

Selain Lisa Surihani, Farid Kamil, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Adeline Tsen, MIG turut berjaya menguruskan artis-artis lain di bawah syarikat produksi itu antaranya Shaheizy Sam, Kamal Adli, Fizo Omar, Angah dan Along Raja Lawak.

Ia menjadikan keseluruhan jumlah artis naungan MIG sehingga kini mencecah hampir 50 orang.

“Tahun ini merupakan tahun arnab jika mengikut kalendar Cina dan kita perlu berlumba-lumba kerana persaingan semakin hebat dan mencabar. Tambah pula ramai penerbit yang masuk ke gelanggang filem,” katanya.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan