Siti Nurhaliza Dicadang Jadi Duta

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDUNG: Di sebalik hubungan Malaysia dan Indonesia yang kadang kalanya "panas", diva dari Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (gambar), dicadangkan menjadi Duta Besar Budaya Masyarakat Melayu dalam usaha mengakrabkan hubungan rakyat di negara-negara Nusantara.

Cadangan itu dibuat oleh Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) berdasarkan penerimaan besar masyarakat terhadap personaliti Siti Nurhaliza.

"Lebih baik gelar itu datang dari masyarakat, lebih baik beliau diterima masyarakat, kerana gelar itu akan menjadi abadi," kata Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi Chalid ketika ditemui Bernama di sini, Jumaat.

Saiful Hadi, yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara, sebelum itu menyuarakan cadangan berkenaan semasa memberi ucapan awal pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia (SEMI 10) dan berharap semua pihak di Indonesia dan Malaysia dapat menerima secara positif cadangan itu.

Seminar sehari itu, yang dianjurkan oleh Iswami, dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Malaysia Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ketika menjelaskan lebih lanjut cadangan beliau itu, Saiful Hadi berkata beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk "mendinginkan suasana" ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.

"Ketika ada isu-isu hangat, tak perlu payah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan suasana, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan.

"Cukup itu saja, ini akan menggugah hati orang yang hanya melihat sesuatu perkara itu dari sisi negatif," katanya.

Beliau berkata di Indonesia ada beberapa organisasi masyarakat yang mendakwa mewakili kelompok masyarakat tertentu, akan sering mengobar-ngobarkan sentimen rakyat Indonesia dengan kata-kata seperti "ganyang Malaysia" bila ada isu-isu hangat.

"Kita tahu sebahagian daripada mereka adalah orang bayaran. Kita tahu mereka itu adalah ahli-ahli politik yang mencari pentas untuk populariti," katanya.

Saiful Hadi berkata di Indonesia, Siti Norhaliza mempunyai ramai peminat kerana beliau dianggap ikon yang mempunyai personaliti yang amat positif.

Beliau menyamakan Siti Nurhaliza seperti Allahyarham Umi Kalthum yang berupaya menyatukan negara Arab melalui popularitinya sebagai penyanyi Arab, ketika ada beberapa negara Arab berkenaan saling bermusuhan suatu masa dulu.

"Ketika ada beberapa negara Arab sangat keras bermusuhan, antara Mesir dengan Arab Saudi, Yaman Utara dan Yaman Selatan saling bermusuhan, tapi ketika Umi Kalthum menyanyi, semua negara Arab menyiarkan siaran langsung, baik di radio mahupun di TV," katanya.

Siti Nurhaliza, yang juga kini seorang usahawan dan turut berada di sini, memberitahu Bernama bahawa beliau terharu dengan cadangan itu dan menganggap ia sebagai satu tanggungjawab besar.

Katanya cadangan itu merupakan suatu pengiktirafan yang amat tinggi terhadapnya dan beliau sedia memainkan peranan itu sebagai suatu tanggungjawab terhadap kemanusiaan.

"Kita sebagai manusia diberikan keistimewaan masing-masing dan kalau itu keistimewaan yang boleh Siti kongsikan bersama dengan seluruh masyarakat nusantara, Siti melihat ke arah satu sudut yang positif," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan