Mila Jirin Rasai Susah Payah Jadi Artis

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mila tampil dengan album terbaru berjudul 'Mila Jirin'.
Mila tampil dengan album terbaru berjudul 'Mila Jirin'.

KUALA LUMPUR: Pengalaman empat tahun dalam industri seni dilalui oleh penyanyi tersohor, Nursyarmilla Jirin atau dikenali sebagai Mila dengan pelbagai situasi termasuk pencapaian mengadakan persembahan di luar negara iaitu United Kingdom dan Bulgaria.

Penyanyi lagu Persis Mutiara ini akui industri seni banyak memberikan perubahan dalam hidupnya dalam mengajar dirinya tentang jatuh bangun sebagai anak seni.

“Banyak perkara yang saya belajar dalam kehidupan sebagai artis seperti cara mengendalikan acara, berjumpa dengan orang atasan, peminat dan sebagainya.

“Saya juga mencuba menulis lirik untuk album terbaru saya iaitu lagu berjudul Bebas,” katanya yang melancarkan album terbaru berjudul Mila Jirin di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), di sini, Khamis.

Menyentuh tentang album keduanya bernilai RM120,000 itu, ia memuatkan lima buah lagu baru iaitu Bebas, Malu-Malu, Luahan Hati, Kata Hati dan Kasih Yang Terdampar dan tiga buah lagu bonus iaitu Aku Lebih Tahu Remix, La Ober dan Siapa Tak Perlu Cinta.

Mila menggunakan khidmat beberapa komposer hebat tanah air seperti Ajai, Aidit Alfian dan Amir untuk album berkonsepkan Pop Moderate di bawah terbitan MJ Panacea Records Sdn Bhd dengan kerjasama Erama Records Sdn Bhd.

“Alhamdulillah dengan terhasilnya album ini di pasaran, saya berharap ia diterima oleh peminat. Selain dimuatkan dalam album fizikal, peminat juga boleh mendapatkan album saya dalam bentuk digital.

“Kelainan dalam album ini adalah dari segi pemilihan lagu dan cara nyanyian. Kualiti menjadi keutamaan dalam semua aspek penerbitan album ini termasuk menggunakan live strings,” katanya mengenai album yang dijual di pasaran mulai Khamis lalu.

Menerusi kad prabayar digital yang diedarkan oleh Erama Records dengan harga RM15, peminat boleh memuat turun lagu, klip video dan wall paper.

Selepas ini, duta produk UMW Toyota, Lot 100 Gummy, Maxis, Biotherm, Loreal, Mamee Slurpp dan Clenx Herbal Tea ini merancang untuk membuat promosi jelajah albumnya di beberapa pusat membeli-belah sekitar Semenanjung Malaysia.

Juara Akademi Fantasia musim kelima ini turut menyampaikan lagu-lagu baru dari albumnya dalam sebuah showcase pada majlis pelancaran yang dihadiri oleh ibu dan bapanya, Pengerusi Erama Records, Datuk Md Afendi Hamdan dan rakan artis iaitu penyanyi Dafi, Heliza, Noni AF dan pelakon Tam.

Sebelum ini, Mila pernah menyertai pertandingan akhir Open Mic UK di Manchester, United Kingdom pada Disember 2010 dan 'Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery Ke-17' di Bulgaria pada 2008.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan