Penggiat Seni Disaran Pinjam Dana Industri Kreatif

Diterbitkan: Jumaat, 28 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim menggalakkan lebih ramai penggiat seni memohon Dana Industri Kreatif. - Foto The Star oleh LIM CHENG KIAT
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim menggalakkan lebih ramai penggiat seni memohon Dana Industri Kreatif. - Foto The Star oleh LIM CHENG KIAT

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim mengalu-alukan semua penggiat seni yang berdepan kekangan modal untuk menghasilkan sebarang produk seni memohon Dana Industri Kreatif (DIK) yang mula diperkenalkan sejak Mac 2010.

Peruntukan dana sebanyak RM200 juta itu diperuntukkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurut Norman, dana yang masih berbaki RM150 juta itu terbuka untuk semua jenis cabang seni termasuk nyanyian, filem, teater, lukisan, animasi, multimedia dan sebagainya bagi menampung kos penghasilan produk masing-masing.

"Skim pinjaman sejumlah RM200 juta ini sebenarnya telah pun bermula sejak Mac 2010 lagi. Namun, masih ramai di kalangan penggiat seni yang tidak tahu tentang dana ini.

"Sebab itu saya ingin menyebarkan maklumat ini kepada semua penggiat seni di luar sana. Kita mahu mereka tahu kewujudan skim ini dan mereka boleh memohon dana tersebut bagi tujuan penerbitan produk seni masing-masing.

"Pinjaman ini tidak hanya terhad untuk bidang muzik atau filem sahaja tetapi menyeluruh kepada sebarang cabang seni," katanya yang ditemui selepas sesi taklimat bersama BSN di Saloma Bistro, Jalan Ampang, di sini, Khamis.

Tambahnya, sejak mula diperkenalkan, sekurang-kurangnya tiga penggiat seni yang merupakan ahli persatuan RIM telah pun memohon dan berjaya menghasilkan produk masing-masing.

Untuk memohon dana itu, Norman berkata, individu terbabit tidak semestinya terdiri daripada ahli persatuan itu semata-mata.

Sebaliknya, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai profil seni dan latar belakang dan rekod kewangan yang baik.

"Sesiapa sahaja yang merancang untuk menerbitkan produk seni tetapi berhadapan kekangan kewangan boleh memohon dana ini.

"Ia tidak terhad untuk tujuan penerbitan album atau filem sahaja, tetapi terbuka bagi menampung kos pemasaran produk, muzik video, kulit album dan konsert contohnya.

"Bagaimanapun, semua prosedur pinjaman adalah tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan pihak BSN. Pemohon juga haruslah mempunyai latar belakang dan rekod kewangan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Norman turut menyifatkan DIK sebagai skim pinjaman yang lebih fleksibel dan menyeluruh berbanding dana-dana yang pernah diperkenalkan sebelum ini seperti Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) untuk penggiat filem.

"Saya melihat skim ini sangat membantu dan lebih fleksibel berbanding skim-skim pinjaman lain yang pernah diperkenalkan. Jika SPFC sebelum ini dilihat agak kompleks dan khusus untuk karyawan filem saja, DIK pula lebih fleksibel dan menyeluruh.

"Ia satu platform yang baik bagi menggalakkan penggiat seni tanah air untuk terus aktif menghasilkan sebarang produk seni tanpa perlu runsing tentang kekangan modal," katanya.

Pinjaman yang bermula daripada RM50,000 hingga RM5 juta bagi sesebuah produk seni itu tertakluk pada syarat dan kelayakan peminjam serta produk yang bakal dihasilkan.

Untuk maklumat lanjut, para penggiat seni boleh melayari www.bsn.com.my.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan