Tak Takut Hantu, Farid Enggan Buat Filem Seram

Diterbitkan: Rabu, 19 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Farid Kamil (dua dari kiri) bersama barisan pelakon filem 'Petiga'
Farid Kamil (dua dari kiri) bersama barisan pelakon filem 'Petiga'

SUBANG JAYA: Pengarah Muda Farid Kamil tidak terfikir untuk menghasilkan filem seram kerana dia tidak mempercayai benda ghaib ataupun “tidak takut dengan hantu.”

Jelas Farid, walaupun filem seperti itu mendapat sambutan peminat filem Melayu sejak kebelakangan ini, namun perasaan untuk menghasilkan filem genre sedemikian tidak pernah wujud.

“Saya tak ada perasaan takut atau perasaan seram. Jadi, agak sukar untuk saya menghasilkan filem seperti itu,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran filem terbaru berjudul Petiga di pejabat Metrowealth di sini, Selasa.

Jelas Farid, ketika kecil dia pernah dibesarkan di tempat yang sering dianggap seram oleh masyarakat iaitu di rumah yang berdekatan dengan tanah perkuburan menyebabkan perasaan takut terhadap hantu tidak pernah wujud.

Katanya, akibat perasaan itu dia bimbang sekiranya filem seram yang dihasilkannya nanti gagal memenuhi jiwanya untuk memastikan filem berkenan benar-benar menyeramkan.

“Saya dibesarkan di rumah yang berhampiran dengan tanah perkuburan, jadi istilah takut kepada benda ghaib seperti hantu adalah sesuatu yang sukar dalam diri saya. Saya takut susah untuk berpuas hati dengan filem itu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Farid mengakui dia lebih berminat menghasilkan filem romantik dan aksi berbanding genre seram.

Kata Farid, dia lebih meminati filem genre romantik dan sedang mencuba untuk menghasilkan filem-filem romantik yang berkualiti pada masa akan datang. Selain itu, filem aksi dan komedi juga antara filem yang turut diberi perhatian olehnya.

“Saya masih baru, banyak genre filem yang belum saya cuba, Insya-Allah satu hari nanti jika sudah bersedia saya akan cuba juga buat filem seram,” katanya.

Bercerita tentang filem Petiga, Farid memberitahu idea filem aksi komedi ini tercipta berdasarkan kisah benar kes rompakan besar yang pernah berlaku di Malaysia.

Bagaimanapun, ia diolah menjadi sebuah filem aksi komedi yang bersesuaian dengan cita rasa penonton negara ini.

“Idea itu datang dari kisah benar sebuah rompakan yang sehingga sekarang belum diselesaikan lagi.

“Selepas itu saya beri sinopsis dan skrip cerita itu kepada rakan saya yang bekerja sebagai pegawai polis untuk dia teliti terlebih dahulu agar tidak melanggar apa-apa yang berkaitan dengan undang-undang negara. Kemudian saya olah skrip itu untuk menjadikannya sebagai sebuah filem aksi komedi,” katanya.

Ketika ditanya tentang pembabitannya dalam filem itu dengan memegang watak utama yang dianggap seperti gila kuasa, Farid memberitahu pemilihan para pelakon dibuat berdasarkan persetujuan pihak Metrowealth Pictures Sdn Bhd.

“Pada asalnya saya memilih Awie untuk memegang watak utama sebagai Megat, namun dia mempunyai komitmen lain dan setelah berbincang, pihak produksi memilih saya sendiri untuk melakonkan watak tersebut.

“Ini merupakan kali kedua filem arahan saya yang saya lakonkan sendiri selepas V3:Samseng Jalanan dan saya rasa ia tidak menjadi masalah,” katanya.

Filem Petiga ini bakal memulakan penggambaran pada awal bulan hadapan di Monkey Island, Pulau Pinang dan dijangka ditayangkan pada Mei depan.

Ia mengisahkan tentang sebuah rompakan berprofil tinggi. Aktiviti rompakan ini dilakukan oleh sekumpulan perompak yang mempunyai kepakaran masing-masing.

Antara pelakon lain yang turut melakonkan filem ini ialah Kamal Adli, Diana Amir, Along Eyzendy dan Taiyuddin Bakar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan