Impak Persembahan Secondhand Serenade

Diterbitkan: Isnin, 17 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aksi vokalis Secondhand Serenade iaitu John Vesely pada persembahan mini Live in KL, Selasa lalu. - Foto M AZHAR ARIF
Aksi vokalis Secondhand Serenade iaitu John Vesely pada persembahan mini Live in KL, Selasa lalu. - Foto M AZHAR ARIF

SIAPA sangka sebuah persembahan berskala kecil mampu meninggalkan impak yang besar dan bermakna jika kena pada caranya.

Itu kesan yang boleh disimpulkan mengenai kunjungan pertama kali kumpulan Secondhand Serenade menerusi persembahan Live in KL, malam Selasa lalu.

Bertempat di Wisma Bentley, Mutiara Damansara, Selamgor, kumpulan dari California, Amerika Syarikat ini berjaya menggegarkan kira-kira 700 peminat yang hadir.

Persembahan yang bermula sekitar pukul 8.20 malam itu bergema menerusi alunan 14 lagu popular kumpulan itu seperti Fall For You, So Long, Awake, Maybe, Something More, Vulnerable, You and I dan Stay Away yang mengisi ruang lingkup auditorium.

Sebagai penghibur, misi Secondhand Serenade untuk mengadakan pertunjukan yang meriah memang tercapai berdasarkan sambutan yang diterima.

Bukanlah sebuah persembahan yang luar biasa pun, cuma kejayaan pertunjukan mereka lebih bertitik-tolak daripada respons hangat para peminatnya yang berteriak dari awal hingga akhir.

Mungkin jika dilihat pada mata kasar, pesona dan karisma kumpulan ini tidak sehebat nama-nama seperti Usher, Kelly Clarkson, Paramore mahupun Adam Lambert yang pernah berkunjung ke Malaysia, tahun lalu.

Namun, kekuatan mereka adalah alunan lagu-lagu cinta dan emosi yang begitu sebati dan dekat dengan selera masyarakat kita.

Berdasarkan pengamatan, rata-rata penonton cukup terhibur dan berpuas hati dengan hidangan Secondhand Serenade.

Ia ringkas, jujur, padat, sederhana dan paling penting meninggalkan impak buat peminat mereka.

Jika dinilai pada susunan muzik, pendekatan Secondhand Serenade yang memainkan susunan yang sederhana tanpa pengubahsuaian yang keterlaluan itu harus dipuji.

Justeru, keaslian setiap lagu itu utuh terpelihara dan masih menghiburkan.

Malangnya, vokal John Vesely selaku penyanyi kumpulan pula tidak memberangsangkan. Vesely bermula dengan baik pada persembahan pembukaan apabila mengalunkan You And I, namun ia tidak konsisten.

Menjelang pertengahan persembahan, momentum vokal Vesely kian mendatar dan terus merudum sekalipun penyanyi itu dilihat berusaha keras untuk mengimbanginya semula.

Bagaimanapun, bagi persembahan skala kecil ala gig sebegitu, mutu vokal Vesely sudah memadai. Cuma, jika kumpulan itu mahu tampil dengan rangkaian konsert secara besar-besaran, rasanya masih terlalu banyak aspek yang perlu diperkemaskan.

Hampir satu setengah jam persembahan berlangsung, mungkin antara yang manis untuk dititipkan termasuklah Vesely sempat mengambil gambar ratusan peminatnya dari atas pentas, dia menerima sehelai baju yang dicampakkan ke arah pentas oleh peminat dan sempat mendendangkan lagu kegemaran Vesely iaitu Fix You yang juga lagu kumpulan Coldplay.

Melabuhkan tirai malam itu dengan lagu popular Fall For You, kunjungan Secondhand Serenade ke Malaysia dalam pakej kecil itu bersifat cukup peribadi dan dekat dengan peminat mereka.

Ini terbukti apabila rata-rata yang hadir turut menyanyi bersama setiap bait lirik lagu-lagu yang dipersembahkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan