AJL25: Pemilihan Juri Perlu Dipelbagaikan

Diterbitkan: Isnin, 17 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ana Raffali memenangi Anugerah Juara Lagu ke-25 baru-baru ini.
Ana Raffali memenangi Anugerah Juara Lagu ke-25 baru-baru ini.

WALAUPUN Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) melabuhkan tirainya pada Ahad lalu (9 Januari 2011), isu kemenangan Ana Raffali sebagai juara menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku masih lagi tidak berkesudahan.

Mungkin lagu Tolong Ingatkan Aku karya sepenuhnya oleh Ana Raffali yang berunsurkan cinta itu dianggap sekadar lirik dan melodi yang biasa sahaja dan pada masa yang sama terdapat juga beberapa lagu lain yang mampu diangkat sebagai juara dalam anugerah itu. Maka kemenangannya dipersoalkan oleh pelbagai pihak.

Bayangkan ketika Ana diumumkan sebagai juara, hampir kesemua penonton di stadium Putra Bukit Jalil ‘angkat kaki’ dan beredar daripada stadium tersebut sebagai tanda protes tidak setuju dengan keputusan para juri itu.

Malah lebih malang lagi untuk Ana apabila dia kena “boo” oleh penonton-penonton di stadium ketika persembahan kedua selepas kemenangannya diumumkan, langsung tidak diendahkan.

Hendak diikutkan, Ana sebenarnya tidak bersalah dalam hal ini. Cuma kontroversi tercetus kerana kemenangan lagu yang dicipta oleh Ana itu dianggap sebagai tidak layak dan cara penghakiman yang diketuai oleh M.Nasir dipertikaikan.

Selain M.Nasir, juri-juri lain ialah Azmeer, Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy).

Mingguan mStar difahamkan kemenangan lagu Ana bukan sahaja dipertikaikan oleh orang luar malah juri-juri turut bertelagah kerana tidak sependapat.

Contohnya, Azmeer, tidak bersetuju dengan kemenangan lagu tersebut dan difahamkan keputusan yang dibuat bukanlah sebulat suara.

Begitu juga dengan Andy yang mungkin berpendirian berat sebelah kerana dia salah seorang ahli kumpulan muzik Ana iaitu The Marhaens.

Bagaimanapun segala kontroversi yang berlaku diletakkan pada bahu M.Nasir yang terpaksa menjawab pelbagai persoalan mempertikaikan kredibiliti lagu Ana.

Kata M.Nasir yang dipetik daripada sebuah temu ramah bersama Awal Ashaari di stesen TV3 baru-baru ini, kemenangan sesebuah pertandingan tidak pernah memberi kepuasan kepada semua pihak dan kontroversi kemenangan Ana adalah satu perkara normal.

“Setiap orang memiliki sudut cita rasa yang berbeza dan sebagai juri kami dah memilih yang terbaik dan pemilihan itu adalah sebulat suara daripada kami.

“Dalam penilaian lagu, kita perlu lihat dari sudut artistik dan adakah lagu tersebut sampai atau tidak. Lagipun kami bukan sekadar menilai ketika persembahan AJL25, tetapi juga menilai lagu tersebut berdasarkan album.

“Memang ada lima hingga enam lagu yang sukar untuk dipilih. Tapi lagu Tolong Ingatkan Aku lebih beberapa tangga daripada yang lain,” katanya.

Azmeer tidak pilih Ana Raffali

Bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh M.Nasir, Azmeer mendakwa pemilihan pemenang AJL25 bukanlah keputusan sebulat suara ketujuh-tujuh juri.

Menurut Azmeer dia tidak bersetuju dengan keputusan itu dan secara tidak langsung merasakan Ana Raffali tidak layak diangkat sebagai juara.

“Saya perlu ikut keputusan majoriti dan hormati keputusan M.Nasir kerana pengalamannya sebagai seorang komposer lebih lama daripada saya.

“Mungkin dia nampak sesuatu dalam lagu tersebut yang saya tidak nampak dari sudut nilai-nilai artistik.

“Tetapi secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan. Bagaimanapun ini tidak bererti lagu Ana tidak bagus,” katanya.

Bagi pandangan mata komposer yang popular dengan lagu Cinta Adam Dan Hawa (nyanyian Misha Omar) ini , dia bukan sahaja menilai dari sudut artistik semata-mata tetapi lebih pada nilai komersial.

“Pada pandangan saya, kalau orang suka sesebuah lagu tersebut kiranya lagu itu bagus dan ia menunjukkan kerja penghasilan lagu itu berkesan. Pencapaian lagu juga memainkan peranan penting.

“Saya ada letakkan diri sebagai seorang penonton dan cuba berfikir kenapa lagu Ana diangkat sebagai juara.

“Memang ada beberapa lagu lain seperti Cinta Sempurna (Yuna) dan Hanyut (Faizal Tahir) boleh dikategorikan sebagai artistik tetapi dalam lirik Tolong Ingatkan Aku, nilai-nilai bahasanya lebih metafolik dan kaya dengan isi tersirat,” ujarnya.

Sungguhpun Azmeer mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai pemilihan pemenang, dia percaya pemilihan Ana mungkin ada sebabnya.

Malah baginya, kemenangan ini juga dapat mendidik masyarakat mengenai erti artistik sesebuah lagu yang dihasilkan di mana sebelum ini ia sering dilepas pandang.

Ditanya pula mengenai pertikaian Andy sebagai juri dalam pertandingan itu, Azmeer menganggap Andy seorang yang profesional dan mampu menilai sesebuah lagu secara profesional.

“Saya enggan mengulas lanjut tentang hal ini kerana ia agak sensitif. Cuma, saya percaya Andy boleh menjadi juri yang profesional. Lagipun orang boleh nilai sendiri adakah juri itu seorang yang berat sebelah atau tiada,” katanya.

Bagaimanapun Azmeer berharap agar Ana menggunakan peluang kemenangan tersebut sebagai pasarannya dengan menghasilkan karya-karya baru yang lebih baik.

Tukar proses penghakiman

Berbeza pula dengan pandangan komposer dan penulis lirik terkenal Edry Abdul Halim, yang agak terkejut dengan kemenangan Ana, pemilihan juri disifatkan sebagai salah satu punca pemilihan pemenang yang kurang tepat berlaku.

Kata Edry, sepatutnya panel juri tidak boleh terdiri dari kalangan komposer sahaja kerana ada kemungkinan berlaku penghakiman berbentuk ‘menjaga periuk nasi’ masing-masing.

“Setiap komposer mempunyai saingan mereka masing-masing. Jadi jika mereka menjadi juri bagi sesebuah pertandingan lagu, sudah semestinya mereka tidak akan menangkan pesaing masing-masing.

“Kiranya, lebih baik jika mereka (komposer yang menjadi juri) memberi kemenangan itu kepada orang yang bukan pesaing.

“Kalau saya ditugaskan menjadi juri sekalipun, sudah pasti saya memilih pemenang yang bukan pesaing saya untuk menjaga periuk nasi saya di masa akan datang.

“Mungkin peserta AJL25 lain ada peluang cerah untuk menang jika panel juri diambil dengan campuran pelbagai jenis profesion seperti gabungan beberapa penggiat muzik dan seni persembahan, pensyarah universiti serta media,” katanya.

Tambah Edry dia berharap agar pihak TV3 mengekalkan konsep penghakiman yang diadili oleh juri daripada pelbagai bidang seperti tahun-tahun yang sebelumnya agar keputusan yang dibuat lebih seimbang.

Dalam pada itu, komposer lagu Ku Ada Kamu (Adira) itu menyangka lagu Faizal Tahir, Hanyut yang sepatutnya diangkat sebagai pemenang tetapi sangkaannya meleset.

“Memang pada ketika itu saya hanya nampak Faizal yang akan menjadi juara. Bukan kata Ana tidak bagus, cuma Ana memiliki kehebatannya sebagai seorang penyanyi dan komposer yang tersendiri.

“Bagaimanapun mereka (juri) mempunyai hak dalam membuat keputusan kerana mereka sememangnya dipertanggungjawabkan berbuat demikian dan bukan pendapat awam yang dapat memberi keputusan,”katanya.

Sementara itu berhubung dengan pertikaian pembabitan Andy sebagai juri yang dikatakan lebih memihak kepada rakan sendiri, Edry menjawab: “ Sebab itu kita perlu memilih juri yang betul. Kalau saya jadi juri, sudah pasti saya akan menyokong rakan-rakan saya.”

Pada malam AJL25, Ana Raffali menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku diangkat sebagai juara AJL25 diikuti dengan pemenang keduanya, Meet Uncle Hussein (Drama King) dan Hafiz (Noktah Cinta) di tempat ketiga serta mendapat Anugerah Vokal Terbaik.

Penyanyi Faizal Tahir pula sekadar meraih Anugerah Persembahan Terbaik sahaja. Juara AJL25 membawa pulang wang tunai RM35,000.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan