Teater Muzikal Lat Kampung Boy Di Istana Budaya Mac Ini

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lat (tengah) bersama barisan para pelakon dan tenaga kerja 'Lat The Kampung Boy' bergambar dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani (dua dari kiri).Foto TheStar oleh ART CHEN
Lat (tengah) bersama barisan para pelakon dan tenaga kerja 'Lat The Kampung Boy' bergambar dengan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani (dua dari kiri).Foto TheStar oleh ART CHEN

KUALA LUMPUR: Karya kartun Lat Kampung Boy karya Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat akan dipentaskan dalam bentuk teater muzikal di Istana Budaya pada 16 Mac hingga 3 April ini.

Teater terbitan bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu merupakan teater pertama yang mengadaptasi daripada sebuah novel grafik ke bentuk teater muzikal.

Menurut penerbit TOP serta pengarah teater tersebut, Hans Isaac, pementasan teater ini juga bersempena ulang tahun kelahiran Lat ke 60 yang disambut pada 5 Mac.

"Bukan mudah untuk menghasilkan teater ini. Saya dan Harith Iskander (pengarah bersama) telah berjumpa dengan Lat di rumahnya di Ipoh, Perak dan kami tinggal di sana selama tiga hari untuk mengenali Lat secara lebih dekat.

"Pada hari pertama, memang terlalu banyak yang diceritakannya sampaikan kami dah jadi pening. Jadi pada hari kedua pula, saya dan Harith memilih beberapa cerita yang dikongsi itu dan bertanya semula secara lebih mendalam.

"Kemudian, Harith membuat skrip tersebut dan ia diberikan kepada beberapa penggiat seni lain yang antaranya Mamat Khalid dan Adlin Aman Ramli untuk dikaji dengan lebih teliti.

"Bayangkan skrip tersebut ditulis semula sebanyak 15 kali semata-mata untuk memantapkan pementasan teater tersebut," katanya pada sidang akhbar teater muzikal LAT Kampung Boy, di Istana Budaya, di sini, Khamis.

Tambah Hans, kos teater tersebut adalah lebih besar daripada pementasan Cuci The Musical yang diterbitkannya pada tahun lalu.

Ini kerana penggunaan barangan teknikal baru akan dimasukkan dalam teater tersebut untuk menghasilkan efek bunyi yang mantap serta visual-visual yang dilihat seperti sebuah teater animasi.

"Memang sukar untuk menggambarkan bagaimana teater ini dipentaskan kerana ia membabitkan lakonan realiti serta visual animasi yang saya sendiri juga tidak tahu hasilnya kerana kami akan menggunakan barangan teknikal terbaru untuk pementasan ini.

"Selain itu sebanyak 10 buah lagu baru juga akan dicipta khas sempena teater ini dan lagu yang dihasilkan nanti pastinya di luar jangkaan sesiapa pun," katanya.

Antara pelakon yang bakal menyertai pementasan Lat Kampung Boy ialah Awie sebagai Lat, Atilia (Faizah - isteri Lat), Jalil Hamid (Bapa Lat), Datuk Rahim Razali (Pak Samad), Douglas Lim (Franky, kawan baik Lat) dan Sandra sebagai Mrs Hu.

Tiket berharga dari RM30 hingga RM230 boleh dibeli menerusi laman web Ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan