Di Mana Cacatnya Konsert J2011-Legenda?

Diterbitkan: Isnin, 10 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Vokal Jamal tetap memukau. - Foto oleh SIA HONG KIAU
Vokal Jamal tetap memukau. - Foto oleh SIA HONG KIAU

PERSEMBAHAN penyanyi Jamal Abdillah pada Konsert J2011-Legenda dengan menyanyikan koleksi lagu-lagu evergreen pada malam persembahan untuk media Khamis lalu dilihat kurang menyengat.

Tidak dinafikan, kekuatan vokal Jamal sememangnya hebat tetapi soal pemilihan lagu dilihat mencacatkan sedikit kehebatan Jamal Abdilah.

Jika dibandingkan dengan kejayaan konsert yang pernah dilakukan sebelum ini seperti Jamal… Kembara Seniman (2009) dan One Night Only With Jamal Abdillah (2006) pasti ramai yang menjangkakan konsert yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya sempena tahun baru 2011 kali ini lebih hebat.

Kelainan yang cuba dipersembahkan melalui rangkaian lagu-lagu Jamal dari koleksi lagu-lagunya yang tidak begitu hits itu membuat persembahan selama dua jam tidak begitu menyerlahkan kehebatannya sebagai Raja Pop Malaysia.

Konsert dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Eddie Marzuki itu terbahagi kepada tiga segmen.

Bagi segmen pertama, penonton didendangkan dengan alunan lagu-lagu dalam koleksi album Jamal Abdillah bersama Medley lagu-lagu hits.

Keseluruhannya Jamal menampilkan kira-kira 23 buah lagu popular daripada album-albumnya terdahulu.

Antara lagunya yang popular ialah Seniman Menangis, Sepi Seorang Perindu, Cinta Yang Terbiar, Takdir Penentu Segala, Sepi Seorang Perindu dan sebuah lagu baru iaitu Sueraya.

Kehebatan persembahan berkenaan agak merudum apabila Jamal membariskan lagu-lagunya yang kurang hits seperti Cinta Selayang Pandang, Kalipso Tropikana, Kelukaanku Kerana Mu, Antara Yakin Dan Curiga dan Sikapmu Meragukanku.

Manakala, Datuk Ahmad Nawab turut membuat penampilan khas pada segmen kedua apabila turut mengiringi Jamal dengan iringan lagu-lagu bersama tiupan saksofon.

Sementara bagi segmen ketiga, nostalgia lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan penyanyi kegemaran Jamal seperti Tan Sri P. Ramlee, M. Bakri, S. Affendi, Ismail Harun, Eddy Silitongga dan Datuk Ahmad Jais.

Bagaimanapun, strategi susunan tiga segmen tersebut sedikit sebanyak turut menjadikan momentum persembahan kurang menarik perhatian para penonton sepanjang persembahan berlangsung.

Seharusnya Jamal perlu mengambil kira peminat yang gemarkan lagu-lagu hit yang sinonim dengan namanya seperti lagu Seroja, Kekasih Awal Dan Akhir, Kepadamu Kekasih dan Di Sudut Kamar Hatiku.

Selain itu, sepanjang persembahan, Jamal dilihat seperti berada dalam kegelisahan dan telah melakukan sedikit kesilapan seperti terlupa lirik, namun begitu ia bukan perkara besar kerana sering berlaku pada penyanyi-penyanyi lain juga.

Keliru

Perkara tersebut diakui Jamal kerana lagu yang dibawanya pada malam itu kurang dinyanyikan dan terdapat lirik yang lebih kurang sama sehingga membuatkan dia keliru.

Bagaimanapun, kemerduan suara penyanyi ini sememangnya tidak dapat dinafikan dan ia mampu menarik peminat setianya untuk datang ke setiap persembahan yang diadakan. Suara yang tidak pernah jemu didengar itu masih mempunyai aura tersendiri yang boleh menghangatkan konsert tersebut.

Selain itu, apa yang mencacatkan persembahan ialah rentak penari-penari iringan yang seolah-olah kurang melakukan latihan juga mengganggu konsentrasi penonton terhadap nyanyian penyanyi itu.

Pentas yang kurang menarik juga turut menurunkan keterujaan penonton. Sedikit menghampakan penataan cahaya khas berkonsepkan PANI yang tidak menjadi atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Apa kata Jamal?

Ketika ditemui selepas konsert berlangsung, Jamal mengakui pemilihan lagu dibuat bagi memberi kelainan dari konsert sebelum ini.

“Saya memilih untuk menyanyikan lagu-lagu yang tidak biasa didengar kerana mahu penonton yang datang tidak bosan dengan lagu biasa saya bawa. Walaupun tidak biasa didengar dan diputarkan di radio tapi saya percaya peminat-peminat saya tahu lagu-lagu tersebut.

“Lagu-lagu itu adalah lagu terbaik dalam album cuma tidak dipopularkan sahaja. Saya ambil risiko untuk nyanyikan lagu-lagu tersebut juga sebagai percubaan,” ujarnya yakin setiap lagu tersebut mempunyai tarikan tersendiri.

Apa yang pasti, bagi peminat setia penyanyi legenda ini ialah selagi lontaran suaranya kedengaran jelas dan merdu pada halwa telinga mereka itulah yang terbaik.

Pada malam tersebut juga, tiupan saksofon Datuk Ahmad Nawab mengiringi lagu Seniman Menangis dan Jeritan Batinku merupakan momen paling menarik dalam persembahan tersebut. Gandingan mantap itu dilihat menjadi klimaks kepada konsert pembukaan tirai 2011 ini.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani pemilihan lagu-lagu dalam persembahan berkenaan bertepatan dengan kehendak Istana Budaya yang mahu konsert ini berbeza dari yang sebelumnya.

“Kami memang menggalakkan agar pada konsert kali ini Jamal dapat buat kelainan berbanding dua konsertnya yang lalu. Kita terima sebab dia datang dengan kertas kerja berbeza dari sebelum ini.

“Dari segi jualan tiket konsert kali ini lebih memberangsangkan. Untuk konsert empat hari 80 peratus tiket sudah terjual. Kami menganggarkan ia akan meningkat pada malam persembahan,” katanya.

Konsert J2011 Legenda itu berlangsung di Istana Budaya bermula 7 Januari sehingga 10 Januari ini. Ia merupakan persembahan yang diuruskan sepenuhnya oleh syarikat milik Jamal iaitu Bintang Channel Sdn Bhd.

Ia merupakan penghargaan Jamal buat peminat setianya yang tak pernah jemu menyokong kerjaya seninya sejak memenangi Bintang RTM pada tahun 1979 lagi.

Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual dengan harga RM85, RM105, RM135, RM255 dan RM305.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan