Kembara Musafir di Rantau Asean

Diterbitkan: Isnin, 3 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hizbur dan Taufek sebagai pengacara program Musafir
Hizbur dan Taufek sebagai pengacara program Musafir

BIARPUN sekadar kumpulan minoriti, masyarakat Islam di Singapura, Kemboja dan Thailand masih mampu menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengamal dan menyebarkan syiar Islam.

Tiada sebarang sekatan atau halangan daripada pihak berkuasa untuk umat Islam melakukan ibadah di negara-negara tersebut. Lebih unik lagi, sikap toleransi dalam beragama yang dipraktikkan itu benar-benar memberi keinsafan kepada kita semua.

Segala pengalaman ini akan dikongsi dalam sebuah program terbitan Astro Oasis berjudul Musafir selama 13 episod bermula 12 Januari ini, pukul 7.30 malam. Ia dikendalikan oleh dua Imam Muda, Hizbur Rahman dan Mohd Taufek Mohd Noh.

Bermula dengan usaha menjejaki sejarah perkembangan Islam di Malaysia seperti Kedah, Kelantan dan Melaka, program ini terus mendalami sejarah perjuangan Islam yang bertapak di negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Thailand.

Menurut produser dan penulis skrip, Norhaidatul Azian Tajul Ariffin, program ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat Islam, bagaimana kehidupan dan kesusahan yang dialami oleh masyarakat Islam di negara jiran berbanding di Malaysia.

“Program ini mampu memberi impak berkesan kepada penonton dalam menambah pengetahuan mengenai sejarah Islam. Malah, ia menjadi bahan ilmiah berbentuk dokumentari yang dapat dikongsi bersama.

“Ini secara tidak langsung juga dapat menepis persepsi negatif orang ramai terhadap hubungan toleransi antara agama akibat dari terpengaruh atau mendapat maklumat yang salah mengenai Islam.

“Dengan itu, pendedahan dan paparan yang bakal ditonjolkan nanti dapat dikongsi dengan jutaan penduduk di negara Asean lain,” katanya.

Jelasnya, lebih 50 buah masjid akan dipaparkan melalui 13 episod tersebut dengan pelbagai kisah di sebalik pembinaan yang kebanyakannya menjangkau usia ratusan tahun.

“Kita mencari masjid yang mempunyai sejarah tersendiri seperti masjid pertama di mana Islam mula bertapak dan keunikan masjid mengikut budaya masyarakat sesebuah kawasan.

“Dalam proses pencarian tersebut, pelbagai pengalaman yang kami tempuhi. Kami juga bermalam di sesuatu tempat untuk beberapa hari bagi mengetahui bagaimana budaya dan cara hidup mereka.

Tambah Norhaidatul, kerjasama yang diberikan oleh masyarakat setempat turut memudahkan proses penggambaran dilakukan. “Tiada masalah dari segi proses penggambaran. Kebanyakan masyarakat setempat menyambut baik kedatangan kami.

Malah mereka banyak membantu krew produksi jika terdapat masalah seperti bahasa dan makanan,” ujarnya.

Berpeluang mengikuti penggambaran bersama krew produksi ke Bangkok, Thailand yang dilakukan di sebuah masjid tertua iaitu Masjid Kudi Cho Fa yang terletak di Attuyatha memberi pengalaman berharga.

Kami dibawa melawat sekitar masjid yang mampu memuatkan lebih 2,000 jemaah ini yang dibiayai sendiri oleh masyarakat Islam setempat melalui kutipan derma dan sewaan tanah sekitar masjid tersebut.

Walaupun merupakan antara daerah yang mempunyai majoriti masyarakat Islam, namun kehidupan mereka tidak banyak berbeza dengan kehidupan masyarakat Islam minoriti di beberapa daerah lain di Thailand.

Apa yang ingin dipaparkan oleh program Musafir bukan sahaja kepada perkembangan Islam tetapi juga kekuatan umat Islam yang bersatu biarpun dalam kedaifan.

Tempat rujukan agama lain

Hizbur dan Taufek mengakui pengalaman sepanjang penggambaran yang dilakukan terlalu istimewa.

Selain bertanggungjawab mengendalikan rancangan ini dengan baik, mereka turut menimba banyak pengalaman yang memberi kesedaran tentang keagungan Islam.

Ketika menceritakan pengalaman melawati sebuah masjid tertua di Singapura iaitu Masjid Ba Alwi yang dibina dalam tahun 50-an, Hizbur memberitahu dia berasa kagum dengan sikap toleransi setiap penganut agama di Singapura.

“Walaupun berada di tengah kepesatan kota, masjid tersebut menjadi pusat rujukan apabila timbul sebarang masalah yang melibatkan agama-agama lain.

“Kita nampak peranan imam sangat kuat apabila mampu berbincang dan mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah melibatkan agama lain,” katanya.

Tambah Hizbur, sepanjang pemerhatian di masjid tersebut, ramai penganut agama lain datang untuk bertanya tentang keraguan mereka terhadap Islam. Menurut Taufek, kebanyakan masjid di sana lebih cenderung kepada seni bina Arab.

“Di Indonesia terdapat sebuah masjid diberi nama Masjid Sunan Ampel. Ia merupakan masjid tertua di Indonesia yang dibina kira-kira 700 tahun lalu.

“Ia digelar Mini Mekah kerana ramai jemaah haji Indonesia akan datang ke sini sebelum berangkat ke Tanah Suci. Malah setiap keperluan atau barang-barang Mekah boleh didapati di sini dari peniaga-peniaga berketurunan Arab,” katanya.

Selain itu sebuah lagi masjid di negara Brunei dianggap istimewa kerana mempunyai kubah bersalut emas.

Jelas Hizbur, Masjid Omar Ali Saifuddien yang dibina pada tahun 1958 dianggap sebuah masjid paling indah di negara Islam terkaya di rantau ini.

“Terdapat dua buah masjid yang mempunyai kubah bersalut emas di Brunei. Brunei yang kaya dengan hasil minyak ini berjaya mengekalkan pemerintahan Islam yang kukuh di samping menerapkan budaya Melayu.

“Di Brunei, kelab malam tidak wujud, penjualan alkohol dan rokok diharamkan malah di hotel lima bintang pun tidak ada persembahan hiburan,” ujarnya yang kagum dengan corak pemerintahan negara Islam tersebut.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan