Parti Media Hiburan Meriah

Diterbitkan: Ahad, 2 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Parti Media Hiburan bertemakan 'Masquerade' meriah.
Parti Media Hiburan bertemakan 'Masquerade' meriah.

KUALA LUMPUR: Sebagai acara penutup tahun 2010, majalah Media Hiburan (MH) telah mengadakan parti bertemakan 'Masquerade' di Menara Kuala Lumpur, Khamis, khas buat selebriti-selebriti dan pembaca-pembaca setia majalah itu.

Lebih kurang 300 tetamu hadir ke parti tersebut dan menariknya hampir kesemua tetamu begitu terbuka mengenakan pakaian tema seperti yang ditetapkan.

Antara selebriti yang memeriahkan parti MH ialah Linda Onn, Shamsul Yusof, Fazli yaakob, Neelofa (juara Dewi Remaja), Abby Abadi, Ifa raziah, Maya Matahari, Nubhan, Gambit, Shila OIAM, Fara Fauzana serta Shaheizy Sam.

Beritahu editor media Hiburan, Meen Tahrin, sepanjang tahun 2010, MH telah mengadakan pelbagai aktiviti yang membabitkan antara artis dan pembaca majalah tersebut dan akan mengadakan lagi pelbagai aktiviti yang lebih menarik pada tahun ini.

"Dari awal tahun lagi, kami telah menetapkan syarat bahawa MH perlu mempunyai sebuah aktiviti pada setiap bulan dan perancangan itu kami berjaya lakukan. Malah kami akan mengadakan aktiviti sehingga dua kali bagi setiap bulan.

"Kami menganggap, cara ini adalah salah satu cara untuk menghargai para pembaca dan artis yang banyak menyokong MH selama ini.

"MH sudah menjangkau usia 26 tahun dan majalah kami sudah matang untuk melakukan beberpaa perubahan agar dapat memuaskan hati para pembaca.

"Memandangkan persaingan dari segi pengisian agak sengit, tambah pula pelbagai kisah-kisah artis boleh didapati di internet, kami cuba mengubah sedikit isi kandungannya yang membabitkan pembaca. Ertinya, setiap aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama pembaca, ia akan dipaparkan dalam majalah kami," katanya yang ditemui di parti MH, di sini, Khamis.

Tambah Meen, perancangan tahun 2011 juga ditambah dengan beberapa anjuran konsert jelajah di seluruh negara.

"Bagaimanapun, perancangan ini bukan mudah untuk dilaksanakan kerana kami memerlukan penaja. Alhamdullah, setakat ini kami ada beberapa penaja yang sudi bekerjasama menjayakan konsert-konsert jelajah itu.

"Apa-apa pun, saya turut mengalu-alukan kepada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menjalinkan kerjasama bersama kami sepanjang aktiviti tahunan kami," ujarnya.

Pada parti MH tersebut, Meen turut mengumumkan mengenai borang pencalonan awal bagi Anugerah Pembaca Pilihan Media Hiburan (PPMH) yang akan dibuka untuk undian bulan ini.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Ikon, Anugerah Harapan, Anugerah Selebriti Kacak, Anugerah Selebriti Favourite, Anugerah Janda Hot, Anugerah Duda Hot, Anugerah Selebriti Jelita, Anugerah Body Sexy Lelaki dan perempuan, Anugerah Hot Mama dan Hot Papa, Anugerah Selebriti Stailo, Anugerah Selebriti Rambut Cantik Lelaki dan Wanita, Anugerah Kulit Cantik Lelaki dan Wanita, Anugerah Penghias Cover Favourite, Anugerah Selebriti Cekal dan dua Anugerah Khas MH.

Selain itu, MH akan bekerjasama bersama Menara Kuala Lumpur dengan penganjuran pertandingan pencarian bakat baru nyanyian yang akan diadakan pada Februari ini.

Bagi yang ingin menyertai pertandingan tersebut, maklumat lanjut boleh didapai di majalah MH dan lama Facebook Media Hiburan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan