Shaheizy Sam Tidak Sempat Berehat

Diterbitkan: Selasa, 21 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shaheizy Sam
Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR: Pelakon Shaheizy Sam, 28, berkata kesibukannya mengisi jadual lakonan yang padat sepanjang tahun ini menyukarkannya untuk berehat panjang.

Biarpun mengakui kepenatan ekoran pelbagai tawaran berlakon yang harus dipenuhi, dia bagaimanapun menganggap tempoh rehat yang singkat di antara satu projek kepada projek yang berikutnya adalah memadai demi bidang lakonan yang dicintainya.

"Saya akui memang penat kerana tidak berhenti-henti bekerja sepanjang tahun ini. Namun, saya hadapi kesukaran untuk berehat. Jauh sekali untuk pergi bercuti.

"Bagi saya tidak mengapa jika tidak dapat bercuti panjang pun. Kebiasaannya, kalau ada waktu senggang selama tiga empat hari, saya akan berehat di rumah saja. Itu pun sudah memadai," katanya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut, Sam berkata, kekuatan dan keistimewaan skrip-skrip filem yang diterimanya sepanjang tahun ini menyebabkan adik kepada dramatis Zizie Ezette ini sukar untuk menolak tawaran itu.

"Sepanjang tahun ini, saya menerima banyak skrip filem yang sukar untuk ditolak begitu saja. Satu demi satu skrip filem yang datang mempunyai kekuatan masing-masing.

"Mahu tidak mahu saya harus menyahut cabaran dan peluang yang terhidang. Bukan hendak bersikap tamak tetapi selagi permintaan masih ada dan kebetulan pula skripnya bagus, mengapa tidak saya rebut peluang itu," katanya yang baru saja menamatkan penggambaran filem Songlap.

Dalam filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Ishak itu, Sam menggalas watak sebagai Am iaitu abang kepada Ad (lakonan Syafie Naswip).

Filem berjalur aksi drama itu mengisahkan tentang kehidupan dua beradik Am dan Ad yang terlibat dalam kancah penjualan bayi.

Filem yang turut membariskan Sara Ali, Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri dan Eliza Wong ini bakal ditayangkan pada tahun 2011.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan