Che Zambil & Bekas Pelakon 'Opah' Sah Bercerai

Diterbitkan: Selasa, 14 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Che Zambil
Che Zambil

KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan selama 13 tahun antara pelakon drama Cinta Antara Benua, Asdayanti Daud bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan, Che Zambil Ahmad terlerai selepas mereka sah bercerai pada Selasa.

Che Zambil, 36, melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Asdayanti, 36, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, selepas kedua-duanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.

Mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan Asdayanti, yang pernah melakonkan watak kanak-kanak dalam drama Opah suatu ketika dahulu untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini.

Asdayanti juga melakonkan watak sebagai Halimah dalam drama Cinta Antara Benua di samping pelakon utama, Ahmad Idham.

Peguam syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan yang mewakili Che Zambil memberitahu, pasangan tersebut telah menandatangani persetujuan bersama berhubung perkara yang berbangkit daripada perceraian tersebut.

Antara perkara yang dipersetujui ialah hak penjagaan dua anak lelaki yang berusia setahun dan 11 tahun diberikan kepada Che Zambil manakala Asdayanti diberikan hak melawat dua kali sebulan.

Asdayanti yang kini merupakan pekerja di jabatan kerajaan juga akan mendapat hak milik sebuah rumah yang terletak di Bangsar, dekat sini.

Selain itu, Asdayanti juga bersetuju untuk menggugurkan haknya dalam nafkah edah dan mutaah daripada Che Zambil, yang dikahwininya pada 21 April 1998.

Perceraian itu berlaku 17 hari selepas Che Zambil yang pernah menyarung jersi pemain bola Kedah sebagai penyerang memfailkan permohonan nusyuz dan perintah kembali taat terhadap Asdayanti.

Permohonan nusyuz difailkan pada 25 November lalu di mahkamah sama selepas mendakwa isterinya enggan mematuhi notis kembali taat yang difailkan pada 1 November lalu.

Semasa itu, media difahamkan permohonan nusyuz dibuat atas dakwaan Asdayanti sering berulang-alik ke luar negara dengan seorang lelaki.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan