Nam Ron Cari Dana Bikin Filem ‘Kelabu Mata Hitam’

Diterbitkan: Rabu, 8 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nam Ron sedang mencari pelabur untuk membiayai filem terbarunya, Kelabu Mata Hitam. - Foto oleh M.AZHAR ARIF
Nam Ron sedang mencari pelabur untuk membiayai filem terbarunya, Kelabu Mata Hitam. - Foto oleh M.AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Pengarah teater tersohor, Nam Ron atau nama sebenarnya Shamili Abdan mencari dana untuk menerbitkan filem pertamanya, Kelabu Mata Hitam.

Jika mengikut perancangan, Nam Ron atau nama sebenarnya Shamili Abdan sudah menyiapkan skrip filem yang turut diterbitkan oleh aktres Dira Abu Zahar itu. Cuma menanti modal untuk memulakan penggambaran filem tersebut.

“Filem Kelabu Mata Hitam mengisahkan tentang kehidupan gangster dan bertemakan mengenai penerimaan bertitik tolak daripada tiada yang buruk dalam hidup ini melainkan yang baik belaka.

“Apa yang saya cuba paparkan bahawa dalam kehidupan ini, kita harus tempuhi dan tinggalkan. Kalau kita tak dapat tinggalkan, jadi kita tidak akan dapat teruskan hidup ini,” ujar pelakon filem Aku Tak Bodoh ini kepada mStar Online.

Penulis dan pelakon ini pernah mengarah dua buah filem indie iaitu Gedebe dan Gadoh yang ditayangkan secara tertutup.

Filem yang pernah ditayangkan buat pertama kalinya pada tahun 2003 lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur itu turut mendapat kerjasama pengarah James Lee (sinematografi) dan pengarah Amir Muhammad (penerbit).

Buat kali keduanya, dia menayangkan filem Gedebe atas permintaan ramai di Annexe, Pasar Seni pada Ahad lalu. Filem Gedebe turut dimuatkan dalam bentuk DVD yang boleh dibeli secara online dengan melayari rumahanakteater.blogspot.com. Harga DVD termasuk kos penghantaran berjumlah RM30.

Filem yang dilakonkan oleh Zul Huzaimy Marzuki dan Ezendy Md Aziz ini mengisahkan Cassius seorang pengikut kumpulan skinhead tidak senang melihat ketuanya Ceaser yang cuba untuk menyatukan kumpulan skinhead dan punk.

Cassius cuba menghasut Brutus yang merupakan orang kepercayaan Ceaser untuk turut serta bersamanya menentang Ceaser.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan