Filem Kisah Sosilawati Jalani Penggambaran April 2011

Diterbitkan: Rabu, 8 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mahadi J. Murat - Foto Utusan Malaysia
Mahadi J. Murat - Foto Utusan Malaysia

PETALING JAYA: Pengarah filem Dr. Mahadi J. Murat dijangka akan memulakan penggambaran filem mengenai kisah hidup jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada April tahun hadapan.

Menurut Mahadi, setelah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan keluarga Sosilawati, mereka bersetuju untuk memulakan pra-produksi selepas kes pembunuhan membabitkan Allahyarham di mahkamah selesai.

"Nak buat filem sebegini memerlukan penelitian dan perancangan yang terperinci. Jika semuanya berjalan dengan lancar, penggambaran dijangka akan bermula pada April tahun depan.

"Buat masa ini kita tunggu kes selesai dahulu. Saya pun sudah berbincang dengan anak Sosilawati, Erni Erinawati Sofea Bukhari dan beberapa syarat telah diberikan.

"Syarat-syaratnya cuma filem itu tidak boleh mencemarkan nama Sosilawati dan tidak memberikan kesan negatif terhadap keluarga mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambah Mahadi, filem yang bakal dihasilkan itu agak berat walaupun ia dibuat khas tentang jutawan kosmetik itu.

Bagaimanapun tidak semua kisah yang berlaku mengenai Sosilawati termasuklah detik-detik pembunuhannya akan di filemkan untuk mengelak daripada timbul isu-isu yang tidak diingini.

"Menghasilkan filem sebegini bukannya mudah. Isu dan persoalan dia (Sosilawati) melibatkan banyak perkara. Kita perlu ambil kira dari pelbagai sudut lebih-lebih lagi melibatkan orang yang masih hidup.

"Kemudian mengenai kes pembunuhan pula, saya perlu berjaga-jaga kerana selain menjaga hati keluarga Sosilawati, kita tak boleh buat sesuatu yang boleh menghina mahkamah.

"Apa yang ingin saya paparkan ialah cabaran dan perjuangan seorang wanita yang berjaya dalam kerjaya tetapi kurang berjaya tentang hal lelaki," ujarnya.

Mengenai pelakon yang akan membintangi filem itu menurut Dr. Mahadi, buat masa ini pihaknya masih belum memutuskan siapa yang akan memegang watak Sosilawati serta watak-watak yang lain.

Sementara itu, Erni berkata, dia sudah bersetuju untuk memfilemkan kisah ibunya itu.

"Sekarang ini kami cuma tunggu kes selesai sahaja dan segala perbincangan bersama Mahadi telahpun dibuat.

"Saya harap dengan pembikinan filem ini, kisah ibu saya dapat dijadikan tauladan selain mampu menaikkan semangat wanita-wanita di luar sana dalam memperjuangkan kerjaya masing-masing.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan