Ana Raffali & Monoloque Bikin 'Analoque'

Diterbitkan: Selasa, 7 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ana Raffali bersama kumpulan Monoloque pertama kali menjayakan konsert di IB. Foto TheStar oleh LOW LAY PHON
Ana Raffali bersama kumpulan Monoloque pertama kali menjayakan konsert di IB. Foto TheStar oleh LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Ana Raffali dan kumpulan Monoloque bergandingan mengadakan Konsert 'Analoque' pada 19 Disember ini di Lambang Sari, Istana Budaya.

Konsert yang dianjurkan oleh Glam Rok Enterprise dan YB Pictures itu akan bertemakan persembahan secara akustik dan santai.

Menurut vokalis kumpulan Monoloque, Loque, sebanyak 30 buah lagu akan dipersembahkan dimana kumpulannya dan Ana masing-masing akan menyanyikan sebanyak 15 buah lagu dan 3 buah lagu duet.

"Kami gembira kerana diberi peluang mengadakan konsert bersama Ana buat pertama kali dan saya percaya kami akan memberikan persembahan yang terbaik.

"Bagi lagu duet, saya dan Ana akan membawakan lagu berjudul Kekanda Adinda, Kalau Berpacaran dan sebuah lagu duet baru.

"Bagaimanapun, saya tidak akan membuat persembahan 'gila-gila' seperti biasa kerana menghormati IB dan telah pun meminta para peminat awal-awal untuk mengenakan pakaiaan yang sopan," katanya yang akan menghasilkan sebuah lagi lagu duet bersama Atilia berjudul Doa Buat Kekasih.

Sementara itu, beritahu Ana pula dia teruja dengan 'Analoque' kerana ini merupakan kali pertama dia diberi peluang untuk mengadakan persembahan di tempat gah bersama penyanyi yang dikagumi dalam muzik indie.

"Konsert ini merupakan satu penghormatan buat saya dan pastinya saya akan memberikan persembahan yang terbaik.

"Kalau nak tahu, membuat persembahan di pentas IB merupakan cita-cita saya masa kecil dan kiranya angan-angan saya menjadi kenyataan walaupun membuat persembahan nyanyian.

"Pada konsert tersebut saya akan membawa band saya iaitu The Marhaens dan akan menyanyikan kesemua lagu dalam album pertama saya seperti Tolong Ingatkan Aku, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Ketika Aku Kecil dan Biarkan Kau Terlepas," katanya.

Konsert Analoque akan diadakan pada dua sesi iaitu pukul 3 hingga 5 petang dan 8.45 hingga 10.45 malam.

Tiket yang berharga RM59 boleh dibeli di kaunter tiket Boxoffice IB atau boleh layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi nombor telefon 03-41478600.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan