Yann Yann Mahu “Terjun” Pasaran Melayu

Diterbitkan: Isnin, 6 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yeo Yann Yann kini giat
menghadiri kelas Bahasa Malaysia bagi
memantapkan pemahaman dan pertuturan. - Foto oleh BRIAN MOH & RAYMOND OOI
Yeo Yann Yann kini giat menghadiri kelas Bahasa Malaysia bagi memantapkan pemahaman dan pertuturan. - Foto oleh BRIAN MOH & RAYMOND OOI

PROFIL lakonan aktres Yeo Yann Yann di negara jiran Singapura tidak perlu diperkenalkan lagi. Menerusi deretan judul filem, drama televisyen dan teater yang dibintanginya, populariti anak kelahiran Johor Baru, Johor ini sememangnya sudah kukuh terpahat di persada seni Kota Singa itu.

Malah, jika dilihat pada pencapaiannya di sana, secara logiknya wanita berusia 33 tahun ini tidak punya sebab yang kukuh untuk pulang ke Malaysia semata-mata untuk memulakan karier lakonan di negara sendiri pula.

Namun, benar bak kata pepatah “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri” membuatkan Yann Yann terpanggil untuk pulang ke tanah air meskipun harus bertatih semula.

Mengulas lanjut, wanita yang berkelana selama 12 tahun di seberang tambak itu mengakui dia sebenarnya sudah lama mahu mengintai peluang untuk beraksi di pentas seni tempatan.

Namun, komitmen yang harus ditumpukan pada periuk nasinya di Singapura selama ini, sekali gus melengahkan impiannya untuk pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah sejak terlibat dalam drama bersiri popular The Iron Lady yang disiarkan di saluran ntv7 pada 2009.

Impaknya, bukan saja nama Yann Yann makin dikenali di Malaysia, malah lebih manis lagi dia turut diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Golden 2010 (Golden Awards 2010) menerusi drama bersiri itu juga.

“Pembabitan saya dalam drama bersiri popular itu bukan saja membuka mata penggiat seni dan masyarakat tempatan, malah segala kerja keras dan komitmen yang dicurahkan untuk drama itu turut mendapat pengiktirafan.

“Ia satu penghargaan besar dan tinggi buat saya. Namun, penganugerahan sebegini bukan alasan untuk saya berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan.

“Sebaliknya, ia adalah permulaan karier saya di tanah air sendiri,” katanya yang cukup berpengalaman dalam bidang seni teater.

Melanjutkan perbualan kami petang itu, pelakon yang fasih berbahasa Inggeris, Mandarin, Hokkien dan Kantonis ini berkata, kepulangannya ke Malaysia bukan hanya untuk bergiat aktif dalam penerbitan drama ataupun filem Cina tempatan.

Malahan, Yann Yann mensasarkan matlamat yang lebih besar daripada itu. Impiannya adalah untuk menembusi pasaran Melayu sama ada menerusi drama televisyen atau filem seperti Nancie Foo, Janet Khoo, Carmen Soo dan ramai lagi.

“Saya sudah menguji kebolehan diri dalam bidang filem, drama dan teater di Singapura. Namun, ia tidak bernoktah di situ kerana perjalanan seni ini masih terlalu jauh untuk saya ceburi.

“Impian saya apabila pulang ke tanah air sendiri adalah untuk membina nama dan karier di sini pula. Saya bukan saja ingin terlibat dalam drama atau filem Cina tetapi juga mencipta nama dalam drama dan filem Melayu juga,” katanya.

Mahu kuasai bahasa Malaysia Walaupun dilahirkan sebagai anak Malaysia, Yann Yann tidak segan untuk mengakui kelemahannya dalam penguasaan bahasa Malaysia.

Namun, sebagaimana tegarnya dia untuk berkecimpung dalam pentas lakonan drama dan filem Melayu, begitulah keterujaannya untuk mempelajari bahasa ibunda itu.

Bukan kerana dia lupa daratan atau mengambil mudah aspek itu namun permastautinannya selama berbelas-belas tahun di Singapura dan komitmen kerja di sana lebih menuntutnya menggunakan bahasa Inggeris dalam kebanyakan urusan.

Justeru, aktres yang pernah membintangi filem Muallaf arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu tidak begitu mahir dalam penguasaan bahasa Malaysia.

“Saya akui memang memalukan apabila kita tidak mahir bertutur dan memahami bahasa Malaysia sebaiknya. Namun, perkara ini berlaku bukan kerana saya sengaja mengabaikan perkara itu tetapi dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

“Selepas tamat persekolahan, saya terus menyambung pelajaran ke Singapura dan membina kerjaya di sana. Selama 12 tahun di Singapura saya hanya terlibat dengan produksi drama dan filem Cina.

“Ia sekali gus menumpulkan penggunaan bahasa Malaysia. Bukan saya tidak faham langsung cuma tidak fasih dan tidak teratur. Namun, saya sedar adalah penting untuk mempelajari bahasa rasmi negara saya,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Jelas Yann Yann, dia kini sedang giat menghadiri kelas bahasa Malaysia demi memantapkan pemahaman dan pertuturannya dalam bahasa itu.

“Selain menghadiri kelas bahasa Malaysai saya juga semakin kerap berbual dalam bahasa tersebut bersama rakan-rakan Melayu bagi mempelajari rentak dan stail pertuturan yang betul.

“Malah, saya juga mula mengikuti program, drama TV dan filem-filem tempatan bagi mendedahkan diri dengan perkembangan dunia seni tanah air. Bagi saya, jika ingin menceburi bidang ini, saya harus mempersiapkan diri dengan semua pendedahan ini,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Apabila diajak berkongsi tentang pandangannya berhubung sikap skeptikal segelintir masyarakat Malaysia terhadap produk seni tempatan, Yann Yann berkata, sikap negatif itu bukan isu asing baginya dan sudah menjadi lumrah sejak dulu lagi.

Tanpa mengira apa jua bangsa dan keturunan, realitinya segelintir daripada masyarakat kita memandang enteng naskhah seni yang dihasilkan oleh karyawan tempatan.

“Sikap skeptikal sebegini memang tidak membantu perkembangan industri seni di Malaysia. Namun, itu adalah lumrah bagi segelintir masyarakat kita yang sering beranggapan filem atau drama tempatan tidak sehebat produk luar,” katanya.

Walhal, Yann Yann sendiri mengakui kagum dan bangga dengan kreativiti penggiat seni tempatan yang mampu menghasilkan drama dan filem yang berkualiti meskipun berada dalam kekangan bajet yang rendah.

“Walaupun sebelum ini saya tidak begitu mengikuti perkembangan seni di Malaysia tetapi sejak mula berkecimpung secara aktif di sini, saya sebenarnya kagum dan bangga dengan bakat dan kebolehan anak seni kita.

“Kekangan bajet dan pasaran kecil bagi produk seni kita langsung tidak menghalang mereka mencurahkan tenaga dan kreativiti. “Senario ini sekali gus menjadi pembakar semangat kepada saya untuk bekerja keras demi memajukan industri kreatif Malaysia,” katanya.

Solekan & Dandanan STEVENSUNNY Busana ZENCHI, KARL NG, STEVENSUNNY

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan