U-Wei Perlu Dana Tambahan Untuk Siapkan 'Hanyut'

Diterbitkan: Isnin, 6 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengarah filem Hanyut, U-Wei Hj Saari.
Pengarah filem Hanyut, U-Wei Hj Saari.

PETALING JAYA: Pengarah filem U-Wei Hj Saari memberitahu pra-tonton Hanyut yang diadakan secara tertutup di hadapan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim di Finas, Khamis lalu, adalah bertujuan untuk memohon pertimbangan kementerian itu bagi memperuntukkan dana tambahan untuk menyiapkan proses akhir filem tersebut.

Kata U-Wei, dana sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan di bawah Dana Industri Kreatif sebelum ini adalah tidak memadai untuk menghasilkan sebuah filem epik yang mencapai piawaian antarabangsa.

Walaupun secara kasarnya filem itu telah lengkap, beberapa aspek kemasan seperti penambahan efek janaan imej berkomputer (CGI), muzik latar, foley dan grading masih diperlukan bagi memperkemaskan lagi kualitinya.

Justeru, dia berharap agar pra-tonton yang diadakan itu dapat meyakinkan kementerian bagi tujuan tersebut.

"Walaupun filem ini sudah siap, beberapa aspek tambahan seperti CGI, muzik latar, foley dan grading masih diperlukan bagi memperkemaskan kualitinya agar setanding filem-filem antarabangsa.

"Masalah yang saya hadapi adalah kekangan untuk melaksanakan proses kemasan itu. Kepakaran dan teknologi itu tidak terdapat di Malaysia, Thailand atau India sekalipun kecuali di Australia. Ia pula memakan bajet yang besar untuk dilaksanakan.

"Sebab itu saya harus menayangkan perkembangan terkini filem Hanyut agar dapat meyakinkan mereka tentang kesungguhan dan komitmen saya menghasilkan filem Malaysia yang sehebat filem luar," katanya.

Bercerita tentang status terkini filem itu, U-Wei berkata, ia boleh diibaratkan seperti seorang wanita yang sedang berpantang, di mana penjagaan dan amalan yang teliti perlu dilakukan untuk pemulihan sepenuhnya.

Walaupun Hanyut sudah siap sebanyak 75 peratus, baki 25 peratus itu perlu diisi dengan proses kemasan agar ia menjadi sebuah filem epik yang setanding filem antarabangsa.

"Saya akui filem itu sudah siap dan memang boleh dipasarkan. Namun, impian saya bukan setakat untuk menayangkan filem itu di Malaysia saja. Saya ingin membawa Hanyut ke persada dunia dan festival-festival luar.

"Untuk pergi ke luar, filem itu perlu diperkemaskan agar mencapai piawaian filem antarabangsa. Maka, saya perlukan dana tambahan untuk memperkemaskan ia agar kualitinya setanding filem-filem luar," katanya.

Diminta mengulas reaksi Datuk Seri Rais selepas menyaksikan Hanyut, U-Wei berkata, dia lega kerana berjaya mengikat perhatian menteri itu sehingga ke penghujung filem walaupun masih belum dilengkapi aspek bunyi, efek dan sebagainya.

"Saya lega kerana Datuk Seri melihat pra-tonton filem ini sehingga ke penghujung walaupun ia masih belum lengkap. Ia memberikan petanda yang positif kepada saya sebagai pembikinnya.

"Berhubung dana tambahan itu, saya tidak boleh komen lanjut kerana ia bergantung kepada budi bicara kementerian. Beliau (Datuk Seri) seorang yang peka dan bijak untuk membuat pertimbangan selanjutnya," katanya yang enggan mendedahkan jumlah dana tambahan yang diperlukan.

Filem yang diadaptasi daripada novel Almayer's Folly karya Joseph Conrad itu menampilkan pelakon Australia, Peter O’ Brien (sebagai Almayer), pelakon handalan Indonesia iaitu El-Manik (Raja Ibrahim) dan Alex Komang (Sayed Abdullah), Khalid Salleh (Orang Kaya Tinggi), Sofia Jane (Mem) Diana Danielle (Nina), Adi Putra (Dain Maroola) dan Rahayu Saraswati (Taminah).

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan