Sentuhan Jzelynn Dalam 'This Is Me'

Diterbitkan: Sabtu, 20 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jzelynn ketika pelancaran album This Is Me
Jzelynn ketika pelancaran album This Is Me

PETALING JAYA: Penyanyi Janice Zelyn atau lebih dikenali sebagai Jzelynn, 29, mengakui usaha keras untuk menghasilkan album kedua berjudul This Is Me ini memberi kepuasan kepadanya.

Album yang memuatkan tujuh buah lagu itu turut mengandungi dua lagu melayu hasil ciptaannya sendiri iaitu Cinta Mati dan Katakan.

Wanita berdarah Cina ini berazam untuk mengembalikan zaman kegemilangan Francisca Peter, biarpun dia mengakui bukan mudah baginya untuk menembusi pasaran lagu Melayu.

“Saya sudah biasa dengan orang Melayu kerana dibesarkan di dalam persekitaran Melayu. Saya fasih berbahasa Melayu sehinggakan saya sendiri menganggap diri saya Melayu.

“Sebab itu saya bukan sukar bagi saya untuk menulis lirik untuk lagu Melayu sebab ianya dekat di hati saya,” ujarnya yang menjadi peserta peringkat akhir Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1998. Album yang memuatkan empat lagu Inggeris iaitu We Can Change, I Had Enough, The Right Thing, Joyous Christmas dan satu lagu Cina berjudul Moon Represents My Heart ini akan berada di pasaran akhir bulan ini.

“Album kali ini lebih istimewa bagi saya kerana ia adalah acuan saya sendiri. Kebanyakan lagu dalam album ini adalah hasil kerja saya sendiri.

“Selama setahun selepas album pertama Denai Cinta, saya habiskan masa untuk fokus kepada album ini sepenuhnya. Berbanding album pertama ia lebih banyak menceritakan sedikit sebanyak tentang kisah hidup sebenar saya,” katanya.

Bercerita tentang perjalanan seninya, anak jati Pulau Pinang ini mengakui banyak halangan dan dugaan yang terpaksa dihadapi sebelum menjadi artis.

“Selepas memasuki pelbagai pertandingan nyanyian banyak dugaan untuk terbitkan album pertama. Dalam keadaan yang terumbang ambing saya ambil keputusan untuk balik ke Pulau Pinang dan sambung pelajaran di sebuah kolej seterusnya melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat di peringkat ijazah,” ujarnya. Hampir 10 tahun selepas itu, Jzelynn kembali dalam bidang yang diimpikan iaitu sebagai penyanyi.

“Agak lama saya tinggalkan bidang ini untuk menyambung pelajaran, banyak perubahan yang berlaku. Kali ini saya nekad untuk tidak melepaskan peluang yang sudah ada. Apa yang menjadi prinsip ialah sentiasa berusaha keras dan bersabar,” katanya.

Album This Is Me telah dilancarkan di Pulau Pinang, minggu lalu dan akan dilancarkan buat kali kedua di Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan