Dewi Remaja Tak Tiru Program Realiti Lain

Diterbitkan: Jumaat, 19 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azrin Mohd Noor bersama tiga peserta Dewi Remaja
Azrin Mohd Noor bersama tiga peserta Dewi Remaja

PETALING JAYA: Pertandingan Dewi Remaja menerusi majalah remaja sejak tahun 80-an sememangnya menjadi platform para remaja untuk melangkah ke dunia hiburan.

Ramai nama-nama besar dalam dunia lakonan dan peragaan muncul dari pertandingan popular ini seperti Aleeza Kassim, Juliana Banos, Annahita Bakavoli, Scha Al-Yahya dan ramai lagi.

Apa yang menarik ialah, pertandingan kali ini akan dibawa menerusi saluran Astro Ria bermula 24 November ini, pukul 9.30 malam.

Menerusi Oranje TV, anak syarikat SEDANIA Group, program realiti ini mengenegahkan konsep tersendiri tanpa maniru mana-mana program realiti lain di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania TV, Azrin Mohd Noor berkata, menyedari pertandingan ini mempunyai pengikut tersendiri, mereka percaya ia mampu memberi kepuasan kepada para penonton.

“Kalau dulu program ini hanya boleh dilihat menerusi majalah sahaja kini peminat Dewi Remaja boleh melihat dan menilai sendiri perwatakan peserta-peserta yang bertanding di kaca tv.

“Dari segi sambutan memang sangat menggalakkan. Kita juga akan menggunakan acuan sendiri tanpa meniru mana-mana program realiti tv yang sudah ada,” katanya.

Selain itu, pertandingan ini juga bukan sahaja menilai kecantikan para peserta semata-mata malah akan turut menilai dari segi pengetahuan dan personaliti yang ada pada peserta.

“Program ini akan menampilkan 12 peserta yang akan bersaing untuk merebut gelaran Dewi Remaja 2010. Tujuan kami bukan sahaja mencari ratu cantik tetapi juga mencari pakej lengkap yang lebih baik dalam diri juara.

“Dalam program ini juga kita memberi pendedahan dari pelbagai aspek termasuk grooming. Kami juga membuat rakaman untuk enam episod yang membabitkan aktiviti mereka sewaktu berada di tempat tinggal khas yang disediakan. Seperti biasa sudah tentu ada unsur-unsur dramatik yang akan dipaparkan,” ujarnya.

Setiap episod peserta akan diadili oleh seorang juri. Peserta dinilai berdasarkan markah yang terkumpul dari episod pertama hingga ke lima. Tiada sebarang penyingkiran dibuat dalam setiap episod.

Pertandingan akhir pula bakal berlangsung pada 5 Januari tahun depan yang akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Sementara itu, tiga peserta yang bertanding mengakui mereka berhasrat menjadikan pertandingan ini sebagai landasan untuk menonjolkan bakat yang ada.

Bagi Anzalna Md Nasir, 22, dia berasa teruja apabila diberi peluang untuk menyertai pertandingan ini.

Percaya kepada diri sendiri, Anzalna mahu dirinya berada sebaris dengan pemenang Dewi Remaja terdahulu.

“Saya mengetahui pertandingan ini melalui teman lelaki. Selain mempunyai kelebihan iaitu mampu menguasai pelbagai bahasa, saya berharap dapat mengecapi impian yang terpendam,” katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Jerman, Cina dan Inggeris.

Ramona Ros Ramona Qudira, 20, mahu bakatnya sebagai peragawati dapat diketengahkan lagi.

“Sejak kecil lagi saya sudah berjinak-jinak dalam dunia peragaan. Ini merupakan peluang yang terbaik bagi saya kerana ramai peragawati terkenal lahir melalui pertandingan Dewi Remaja ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Shaagleharee Nadarajan, 21, yang kini menuntut dalam bidang perubatan di sebuah kolej swasta di ibu kota mengakui meminati bidang pengacaraan sejak kecil lagi.

“Saya seorang yang banyak cakap, kalau boleh saya mahu menceburi bidang pengacaraan dan mempunyai program bual bicara sendiri,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan