Pelakon Aksi Ngeri Terabai

Diterbitkan: Selasa, 16 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAJUAN industri filem tanah air yang semakin banyak menghasilkan filem-filem aksi seperti KL Driff, Remp-It, KL Menjerit, Gengster dan terbaru filem Haq menunjukkan filem-filem genre tersebut semakin mendapat sambutan.

Sayangnya di sebalik keghairahan pembikin-pembikin filem menghasilkan filem sebegitu, ada insan-insan seni yang bertarung nyawa antara hidup dan mati tidak pernah dibela.

Jika tiada pelakon-pelakon aksi ngeri yang mempertaruhkan nyawa untuk melakonkan aksi-aksi ganas dalam sesebuah filem, tentu sahaja karya berkenaan tidak akan berkesan demi menjadikan filem tersebut betul-betul memberi kepuasan kepada penonton.

Presiden Persatuan Pelagak Ngeri Malaysia, Yang Kassim, mengakui nasib pelakon aksi ngeri di Malaysia terpinggir di kala industri perfileman tempatan semakin berkembang.

Dia juga kesal kerana tugas dan tanggung jawab mempertaruhkan nyawa bagi mencantikkan sesebuah filem tidak sedikit pun dipandang, jauh sekali untuk diiktiraf dalam industri seni.

“Kalau dulu ia mungkin disebabkan ramai yang kurang prihatin kerana jarang filem aksi ini diterbitkan, tapi senario sekarang sudah berbeza.

“Industri perfileman semakin maju dan berkembang seiring dengan filem antarabangsa namun nasib pelagak ngeri masih ditakuk lama. Kami seperti tidak bernilai atau tidak dipandang langsung,” katanya kepada Mingguan mStar.

Menurut Yang, bukan maksud mereka untuk mengeluh dengan keadaan tetapi berharap ada pihak yang menghargai hasil usaha yang dilakukan selama ini.

“Saya hanya ingin industri ini buka mata tentang kehadiran kami sebagai pelakon aksi ngeri. Kalau di luar negara mereka mengiktiraf pelakon-pelakon dari teraju utama sehingga pelagak ngeri tapi di negara kita, tiada.

“Jangan kata sebarang anugerah malah bayaran juga tidak setimpal dengan kerja yang kami buat. Mungkin bagi saya berbaloi sebab saya juga pelakon tetapi bagi pelagak ngeri yang lain bagaimana?,” soalnya.

Jelas Yang, dari segi bayaran ramai produser yang mengambil mudah tentang perkara ini. Kebiasaannya mereka akan mengeluarkan bajet yang sedikit tapi membuat permintaan yang melampaui batas sehingga kadang-kadang boleh mengancam nyawa pelakon.

“Kita ada bayaran tertentu mengikut apa yang mereka perlukan. Lagi pula kita bukan bekerja sendirian, selalunya kami akan turun dalam satu pasukan dan berbincang terlebih dahulu untuk memberi yang terbaik.

“Namun disebabkan sikap tangkap muat sesebuah produksi, ia telah memberi risiko yang tinggi pada kami. Mereka selalu memberi tempoh yang singkat seperti dua minggu sahaja untuk kami buat persiapan.

Sepatutnya mereka perlu beri masa enam bulan sebagai tempoh persediaan sebelum sesebuah aksi ngeri itu dilakonkan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Yang dari segi keselamatan mereka juga tidak diambil berat oleh pihak produksi. Katanya, nyawa mereka bagaikan sentiasa berada di hujung tanduk.

“Tiada sebarang langkah keselamatan yang dititik beratkan seperti menyediakan ambulan ketika penggambaran membabitkan aksi-aksi ngeri seperti jatuh dari bangunan, kemalangan dan sebagainya.

“Malah alat kecemasan juga jarang disediakan apatah lagi insurans yang sepatutnya mereka sediakan kepada pelakon yang berhadapan dengan risiko tinggi,” katanya.

Tambah Yang, kenyataannya ini bukan bertujuan meminta simpati tetapi dia mahu dihargai melalui hasil kerja yang mereka lakukan.

“Saya mahu nasib pelagak ngeri dipandang oleh pihak-pihak tertentu dalam industri seni ini. Kami juga mahu diiktiraf seperti penggiat seni yang lain. Kami juga mahu nama kami tercatat dalam sejarah perkembangan perfileman negara ini,” katanya.

“Industri kita masih kecil” - Seniman

Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik berkata industri perfileman Malaysia masih belum sampai ke tahap antarabangsa untuk mengiktiraf atau memberi kelebihan kepada pelakon lagak ngeri seperti yang dilakukan oleh produksi luar negara.

“Saya akui delima yang dihadapi oleh pelakon- pelakon lagak ngeri di Malaysia tapi kita perlu terima hakikat bahawa industri kita masih kecil dan belum lagi setaraf dengan filem-filem di Hollywood.

“Bagi saya setiap pelakon aksi perlu memastikan mereka dapat membuat perjanjian dengan syarat-syarat tertentu sebelum menerima sesuatu tawaran daripada syarikat produksi agar tidak berlaku penipuan sendiri perlu memastikan tidak terjadi permasalahan seperti membuat,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Harun, dia menyedari pertambahan pelakon-pelakon lagak ngeri di Malaysia bersesuaian dengan perkembangan industri filem tanah air.

“Saya sedar ramai anak muda yang berminat untuk jadi pelakon lagak ngeri berikutan industri filem sudah banyak menerbitkan filem berunsur aksi. Saya rasa ia akan menjadi kerjaya yang lebih serius pada masa hadapan” katanya.

Oleh yang demikian, Seniman sentiasa membuka keahlian kepada mereka untuk menyertai Seniman agar nasib pelagak-pelagak ngeri di Malaysia boleh terbela apabila persatuan itu turut menyediakan khidmat peguam dan caruman insurans yang dapat membantu mereka sekiranya berlaku masalah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan