Jom Jalan Bersama PLUS Di TV3

Diterbitkan: Selasa, 16 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Terbaru di TV3 dan dibawakan khas dengan kerjasama PLUS Expressways Berhad (PLUS), sebuah program travelog Jom Jalan Bersama PLUS mengajak anda meneroka pengalaman baru di lebuh raya.

Jom Jalan Bersama PLUS akan mula bersiaran pada 15 November ini, setiap hari Isnin, jam 6.00 petang.

Program travelog santai ini akan memaparkan beberapa artis jemputan menerusi 13 episod terbitannya.

Pada setiap episod, anda akan dibawa bersama-sama melalui lokasi persinggahan menarik yang sesuai untuk rekreasi dan riadah sepanjang perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Bersama personaliti televisyen seperti Teh Syuhaida, Shera Aiyob serta selebriti popular Black Mentor, Shamsul Ghau Ghau, Kumpulan Hujan, Kenchana Devi, Nabil Raja Lawak, Ezany, Alif Satar dan ramai lagi, ikuti pengalaman baru mereka dalam menyelusuri lebuh raya yang mungkin sudah menjadi kebiasaan ketika menuju ke sesuatu destinasi.

Antara paparan yang menarik dalam Jom Jalan Bersama PLUS selama 13 episod ialah melawat Menara Jam Condong di Teluk Intan; menjalani aktiviti white water rafting di Sungai Kampar; mendampingi gajah di Kuala Gandah; meredah hutan rekreasi dan taman herba di Skudai, merehatkan minda di Hot Spring Sungkai, berkelah di Gunung Semanggol dan sebagainya.

Majlis pelancaran program Jom Jalan Bersama PLUS dimulakan dengan rombongan media dan artis jemputan yang bertolak dari perkarangan Sri Pentas ke Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) di Lebuhraya Elite.

Turut hadir di sesi pelancaran tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi, Pembangunan Perniagaan dan Antarabangsa, Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, dan Pengerusi PLUS Expressways Berhad, Tan Sri Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim, serta selebriti Shamsul Ghau Ghau.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar: “Dengan kerjasama PLUS Expressways, TV3 mengajak para penonton untuk mengenali semula tempat-tempat menarik di Malaysia menerusi program Jom Jalan Bersama PLUS.

“Dalam perjalanan di lebuh raya, sebenarnya kita masih boleh merancang sesuatu aktiviti baik aktiviti lasak seperti meneroka hutan rekreasi dan taman herba di Skudai atau singgah di dusun buah-buahan di Kuala Lipis dan juga menikmati juadah tempatan yang istimewa di bandar-bandar selepas susur keluar daripada lebuh raya. Perjalanan anda pasti lebih menyeronokkan untuk menyelami kehidupan penduduk tempatan yang bertempat di susur keluar lebuh raya.”

Pengerusi PLUS Expressways Berhad, Tan Sri Datuk Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata: “PLUS Expressways komited dalam menjadikan perjalanan di lebuh raya selamat, lancar dan selesa pada setiap masa.

"Justeru itu, kami mengambil pendekatan bekerjasama dengan pihak TV3 dalam menerbitkan program “Jom Jalan Bersama PLUS” untuk membantu mempromosikan lagi destinasi-destinasi pelancongan yang mudah dikunjungi menerusi Lebuhraya Utara-Selatan.

"Selain itu, kami turut menyediakan tip-tip keselamatan bagi pemanduan yang selamat di lebuh raya. Di samping itu, penonton TV3 juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai maklumat berhubung perkhidmatan sampingan yang disediakan di lebuh raya seperti perkhidmatan PLUSRonda, kawasan-kawasan rehat dan lain-lain lagi,” tambah Mohd Sheriff.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan