Penyanyi Bollywood, Sonu Niigam Bakal Beraksi Di Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 15 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sonu Niigam.
Sonu Niigam.

PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, penyanyi popular Bollywood, Sonu Niigam bakal beraksi dalam Sonu Niigam 1 Malaysia Live In Concert.

Konsert yang dianjurkan oleh Perfect Onion Sdn Bhd dan Narrowcast Universe itu akan diadakan di dua buah lokasi iaitu pada 12 Disember 2010 (Stadium Bandaraya Johor Baru) dan 14 Disember 2010 (Surf Beach, Sunway Lagoon).

Menurut Pengarah Urusan Narrowcast, Gina Dhaliwal, dia percaya Sonu akan menarik pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa ke konsert tersebut kerana kebanyakan lagu menjadi hits menerusi filem-filem yang dibintangi pelakon-pelakon terkenal Bollywood.

"Mungkin ada yng kurang mengenali Sonu. Tapi jika mengingati kembali lagu lagu popularnya seperti,Tanhayee (Dil Chahta Hai), You Are My Soniya (Khabi Kushi Khabi Gham), Mahi Ve (Kal Ho Na Ho) dan Chak De (Hum Tum), pasti umum akan mengingati suaranya itu.

"Saya percaya, kehadirannya ke Malaysia pasti akan menggamatkan lagi acara penghujung tahunan negara kita. Yang pasti kita akan melihat bangsa Cina, Melayu dan India pada konsert tersebut tidak kira usia.

"Tambah pula melihatkan tema konsert ini, Sonu mengikut seruan kerajaan Malaysia dengan mengadakan konsert berkonsepkan satu Malaysia. Ia akan menjadi platform untuk menunjukkan kepada dunia mengenai kepelbagaian kaum di negara ini," katanya pada sidang media konsert Sonu Niigam 1 Malaysia di Sunway Lagoon, Khamis.

Tambahnya, Sonu juga akan menyanyikan lagu khas 1 Malaysia 1 World, yang diciptakan khas oleh komposer terkenal Datuk Wah Idris.

"Datuk Wah akan ke Mumbai untuk menyiapkan lagu tersebut bersama pengarah musik Bollywood, Monty Sharma.

"Jadi pada malam itu, Sonu akan menyanyikan lagu tersebut dalam bahasa Malaysia khas buat para peminatnya di sini," ujar Gina.

Dalam pada itu, komposer terkenal, Wah Idris akan menjadi artis undangan dengan memimpin persembahan Malaysia Drum Symphony.

Tiket menyaksikan konsert tersebut dijual dengan harga RM100 sehingga RM1,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan