Kehebatan P. Ramlee Jadi Inspirasi Monoloque

Diterbitkan: Selasa, 9 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Loque (dua dari kanan) bersama-sama anggota Monoloque yang lain.
Loque (dua dari kanan) bersama-sama anggota Monoloque yang lain.

PERCAYA atau tidak, kumpulan Butterfingers yang agak popular suatu ketika dahulu masih belum lagi berkubur cuma namanya sahaja sudah ditukarkan kepada Monoloque.

Diterajui oleh vokalis barunya iaitu Loque dan bukan lagi Emmet, perjuangan kumpulan itu juga berubah haluan berbanding genre muzik Butterfingers sebelum ini.

Ironinya, biarpun tanpa Emmet, anggota kumpulan Butterfingers masih bersatu dan bagi Loque, mana mungkin mereka boleh mengekalkan sisa-sisa peninggalan Emmet yang telah berhijrah ke Kanada.

Bertitik tolak daripada semangat dan nafas baru, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Annwar, 32, memulakan misinya untuk menghidupkan Monoloque.

Selain Loque, Monoloque turut dianggotai oleh Mohd Fakharudin Mohd Bahar (Kadak), 32, Noor Haffizal Rashid (Loco), 36, Adam Shahrir Omar (Adam “senyap”), 29 dan anggota baru iaitu Izwan Omar (Iju “gagak hitam”), 30.

“Saya punya perjuangan nasionalisme serta mahu seimbangkan antara muzik Nusantara. Kalau boleh saya mahu menghasilkan muzik yang boleh melawan muzik yang dipamerkan di MTV iaitu muzik generasi yang mengikut trend di Amerika Syarikat.

“Sekarang saya sedang cuba menghasilkan lirik yang lebih berterus-terang sebagai eksperimen terbaru. Misalnya, saya telah berhasil membuat eksperimen menerusi lagu Kekanda Adinda. Saya akan cuba membuat lirik lagu bersifat cinta universal seperti itu lagi,” katanya kepada Mingguan mStar.

Jika diikuti setiap bait lirik Loque, boleh dianggap seperti dia berfalsafah memandangkan liriknya penuh dengan maksud tersurat dan tersirat.

Misalnya boleh dikaitkan dengan lirik lagu terbaru Monoloque berjudul Halimunan Abad Ke-21 yang memberikan gambaran tentang kehidupan abad ke-21.

“Saya turut menggunakan bahasa Sanskrit untuk menggambarkan kehidupan metropolitan pada abad ke-21 nanti. Kenapa saya menggunakan halimunan? Kerana orang tak nampak secara simbolik kehidupan pada masa itu.

“Kita seolah-olah menjadi hamba teknologi dan mangsa globalisasi di sebalik isu yang kita nampak pada mata kasar.

“Ia boleh jadi juga cerita dongeng seorang lelaki dari zaman Parameswara yang mengalami kejutan budaya apabila melalui zaman modenisasi. Saya hanya tukang cerita dalam lagu itu dan mungkin juga halimunan itu ada dalam diri saya secara realistik atau datang dalam mimpi,” ujarnya penuh bermakna.

Biarpun orang menganggap lagunya seperti pelik dan penuh tersirat, namun dia tetap mahu berkarya dan mengambil contoh idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mana lagu seniman kebanggaan ramai itu dikenang dan diingati sehingga sekarang.

“Kalau boleh saya nak jadi seperti P. Ramlee, lagunya tidak ditelan dek zaman. Insya-Allah, jika tiada aral saya mahu membuat cover album menyanyikan semula lagu-lagu P. Ramlee seperti yang pernah dilakukan oleh Datuk Sheila Majid.

“Antara lagu yang menjadi pilihan saya seperti Mengapa Riang Ria, Tidurku Di Rumput Yang Basah, Joget Tari Lenggang dan Nenek Nenek.

“Saya teruja dengan P. Ramlee ketika beliau di era Jalan Ampas kerana waktu itu beliau merupakan seorang yang bekerja keras untuk menjadi seorang artis,” katanya yang turut meminati seniwati Normadiah dan komposer R. Azmi.

Loque berkata, sebolehnya dia mahu terlebih dahulu menukar minda orang tempatan yang lebih mengagungkan muzik Barat.

Tegasnya, sepatutnya bukan kita yang mengikut seperti mereka (Barat) sebaliknya kita perlu belajar untuk menjadi diri sendiri.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan