Aaron Aziz Tempuh Segala Rintangan

Diterbitkan: Selasa, 9 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKAN mudah untuk menjadi seorang perantau di negara orang apatah lagi untuk mengejar impian sebagai pelakon yang tersohor.

Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz atau Aaron Aziz, mula melakar namanya di negara kelahirannya, Singapura sekitar tahun 2002.

Namun kepuasannya sebagai pelakon di negara sendiri agak terbatas lalu dia nekad berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2004 menerusi drama pertamanya, Sumaiyah.

Bangga dengan pencapaiannya berdasarkan asahan bakat lakonan sendiri, Aaron kini selesa dengan kehidupan serta kerjaya yang dibinanya di sini.

Cuma, sehingga kini, impian Aaron seperti tersekat apabila sering kali tidak berpeluang untuk dicalonkan dalam mana-mana anugerah berprestij hanya kerana dirinya seorang rakyat Singapura.

“Sudah tiba masanya untuk saya dicalonkan untuk anugerah yang diperkenalkan. Saya agak kecewa apabila lakonan saya sukar untuk diberi pengiktirafan hanya kerana saya seorang rakyat Singapura.

“Bagi saya, apabila tercalon atau pun memenangi anugerah, barulah kita dapat melihat sejauh mana tahap kemampuan kita. Sudah lama saya menantikan peluang itu.

“Oleh itu, saya nekad untuk memohon menjadi penduduk tetap (PR) di Malaysia. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan PR di sini, saya akan cuba sampai dapat. Sebab itu saya bawa isteri dan anak-anak menetap di sini,” tuturnya pada sesi fotografi bersama Mingguan mStar di pusat pameran kereta mewah, Kuala Lumpur & Temasek Enterprise Sdn. Bhd (KLT).

Menanggung risiko dengan kritikan yang bakal diterima oleh rakyat Singapura, kata Aaron dia perlu membuat keputusan untuk mendapatkan kehidupan dan kerjaya yang terbaik untuknya serta keluarga.

Ujarnya, sebelum ini dia perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk bertemu dengan isteri, Diyana Halik serta tiga anaknya iaitu Danish Anaqi,7, Dwi Ariana,5, dan Dahlia Arissa yang berusia setahun. Kata Aaron dia tidak sanggup berjauhan dengan mereka terlalu kerap.

“Saya tak kisah jika masyarakat Singapura menghina saya dengan berkata saya ini mahu melupakan tanah air sendiri. Saya perlu membuat keputusan demi kerjaya dan keluarga. Kalau dulu, saya akan berulang alik ke Singapura kerana terlalu rindukan keluarga.

“Mereka kena faham, agak sukar untuk kita berjaya dalam industri hiburan di Singapura. Bila isteri dan anak-anak berada dekat dengan saya di Kuala Lumpur, ia lebih memudahkan saya menguruskan keluarga serta kerjaya.

“Sebab itulah saya selalu membawa isteri dan anak-anak bersama jika ada penggambaran di luar Kuala Lumpur kerana peluang yang agak terhad untuk bertemu mereka. Kalau nak tahu, saya ibaratkan industri hiburan tempatan sebagai Hollywood Malaysia,” ujarnya sambil tersenyum.

Pernah tidur dalam kereta

Semua tahu, untuk menapak dan mengukuhkan nama di persada seni bukannya mudah. Pelbagai onak duri yang perlu dilalui untuk menjadi seorang pelakon.

Begitu juga dengan Aaron. Poketnya pernah kosong pada awal pembabitannya dalam dunia seni. Malah, Aaron juga sanggup tidur di dalam kereta kerana tidak mahu menghabiskan wang kerana terpaksa menyewa hotel.

“Memang agak susah juga saya nak bernafas pada mulanya. Sebelum berlakon drama Sumayyah sebanyak 13 episod, memang poket saya kosong. Kemudian barulah saya berduit sikit. Bayangkan dengan duit yang saya dapat, bila ditukar kepada mata wang Singapura, ia menjadi sikit.

“Duit itu jugalah saya kena beri kepada ibu bapa saya serta isteri dan anak-anak. Sekarang ini, bila dapat bayaran lakonan, saya terus asingkan 30 peratus daripada gaji saya dan berikan kepada Diyana untuk disimpan,” tuturnya.

Sengaja mengusik adakah pernah isterinya cemburu tatkala dia dikelilingi pelakon-pelakon wanita cantik setiap kali berlakon, Aaron bersyukur, Diyana begitu memahami kerjayanya itu.

Namun, dia percaya, walaupun tidak pernah melafazkan kata-kata cemburu kepadanya, sebagai seorang wanita, sedikit sebanyak perasaan itu pastinya ada.

“Memandangkan Diyana faham dengan kerjaya saya, saya juga perlu menjaga hati dia. Saya perlu menjaga batasan saya sebagai seorang suami dan ayah.

“Oleh itu, setiap kali habis penggambaran, saya akan terus pulang ke pangkuan keluarga. Nak melepak dengan rakan-rakan artis pun jarang melainkan ditemani Diyana.

“Saya seorang yang mementingkan keluarga kerana merekalah menjadi tulang belakang saya ketika susah dan senang.

“Saya percaya, sebagai seorang isteri mesti dia ada perasaan cemburu bila melihat saya berlakon di sisi pelakon-pelakon wanita lain. Cuma dia tidak luahkan saja.

Walaupun, dia tak cakap apa-apa, kadang-kala saya tetap jelaskan pada dia kenapa saya perlu beraksi seperti itu,” katanya.

Tajaan Kereta Ferrari: Kuala Lumpur & Termasek Enterprise Sdn Bhd (03-22872411)

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan