Erma Tiada Ilmu Arahkan Natrah - Fatini

Diterbitkan: Isnin, 8 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fatini Yaacob menunjukkan buku Natrah hasil karyanya.
Fatini Yaacob menunjukkan buku Natrah hasil karyanya.

TEATER Natrah yang dipentaskan di Istana Budaya pada 30 November lalu mendapat sambutan luar biasa sehingga membuatkan pengarahnya, Erma Fatima meneruskan projek kedua pementasan itu yang di jadual menemui penonton dari 25 November hingga 5 Disember ini.

Sayangnya di sebalik kejayaan pementasan berkenaan, pengkaji sejarah mengenai Natrah iaitu Datin Seri Fatini Yaacob sama sekali tidak berpuas hati dengan skrip dan olahan teater itu yang dihasilkan oleh Erma.

Fatini yang turut menghasilkan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata adalah orang yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada Erma selain sebagai tempat “rujuk” pengarah itu dalam menghasilkan pementasan berkenaan.

Bagaimanapun selepas Natrah siri pertama menemui khalayak, Fatini ternyata kecewa dengan olahan skrip Erma kerana ia disifatkan tidak mengikut cerita asal seperti mana yang diharapkan.

Erma pula meminta Fatini agar tidak terlalu emosi kerana siapa sahaja berhak menggarap karya agung itu. Malah kata Erma, jika ada sepuluh pengarah yang mengarahkan teater berkenaan, hasilnya akan menjadi sepuluh karya berbeza dan Fatini tiada hak mempersoalkan kreativitinya.

Ikuti penjelasan mereka kepada Mingguan mStar.

Pementasan teater Natrah menimbulkan konflik baru apabila pengkaji kehidupan wanita itu, Fatini menganggap Erma tidak menghormati nilai sejarah dalam pementasan tersebut yang seharusnya menjadi kebanggaan dan teladan kepada masyarakat Islam di negara ini.

Tambahnya, karya yang dipentaskan itu tidak mengikut cerita asal yang ditulis dalam bukunya, malah apa yang lebih dikesali apabila pengarah itu tidak mahu menerima pendapat yang diberikan bagi memperbaiki lagi jalan cerita tersebut.

“Saya sebagai pengkaji dan penulis Natrah, tidak berpuas hati dengan teater Natrah yang lalu, bagi saya Erma seorang pengarah yang berbakat dan berani tetapi tidak tahu menghargai dan menghormati sejarah yang begitu tinggi nilainya di negara ini.

“Saya telah berkali-kali menasihati Erma dan bertanya kepada Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, mengapa jadi begitu apabila skrip teater Natrah berada di tangan Erma? Saya terpaksa menuliskan kembali babak-babak penting yang sepatutnya ada dalam teater Natrah yang lalu. Namun Erma tidak pedulikannya dan menganggap skrip beliau lebih baik,” katanya.

Jelas Fatini, ramai pengkaji sejarah terkejut dengan pementasan Natrah yang lalu dan menganggap ia sebagai membelakangkan cerita sebenar.

“Apabila teater Natrah lalu dipentaskan saya betul-betul terkejut,begitu juga peminat teater yang kebanyakan pelajar undang-undang,” tambahnya.

Tambah Fatini, dia menjangkakan pementasan kedua Natrah yang bakal berlangsung pada 25 November hingga 5 Disember ini menggunakan skrip lama yang telah diperbetulkan berdasarkan cerita sebenar ketika pementasan pertama dahulu.

“Untuk pementasan Natrah kedua ini, saya langsung tidak dirujuk. Saya tidak terkejut sekiranya beliau menggunakan kembali skrip yang saya tulis dan buat rombakan semula. Saya tidak berniat mengganggu keseronokan beliau dalam berkarya.

“Penonton semua mempunyai hati dan akal untuk membuat penilaian.

“Kalau saya sebagai pengkaji Natrah selama 20 tahun tidak dihormati dan dinilai oleh Erma, saya tidak begitu terkejut kerana beliau tidak berada dalam posisi memiliki ilmu untuk menilai ilmu,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, karya yang dipentaskan Erma telah mencincang rasa hati masyarakat Melayu dengan memberi penyudahan cerita yang tidak benar, malah menurutnya, Erma sendiri tidak mengetahui tentang cerita tersebut.

“Mengapa tergamak membiarkan Erma sebagai pengarah teater mencincang rasa hati orang Melayu dengan membesarkan agama lain di akhir cerita, padahal Natrah tidak meninggal dalam apa-apa agama sama ada Islam atau Kristian,” katanya yang terkejut kerana perkara ini tidak dititik beratkan oleh beberapa pihak.

Dalam pada itu, Fatini turut memberitahu akan menghasilkan sendiri pementasan teater dan filem Natrah pada masa akan datang demi menyampaikan mesej sebenar dari kajian yang diperolehnya selama ini.

“Saya juga akan membuat teater dan filem pada tahun depan semata-mata sebuah kebenaran bukannya keuntungan. Saya sayangkan bangsa Melayu dan bangsa Malaysia ini. Saya berniat menyumbangkan sesuatu dari hasil jerih payah mengkaji Natrah untuk menyemai semangat generasi muda agar cintakan bangsa Malaysia.

“Saya sudah siap dengan skrip teater tersebut, hanya mencari olahan terbaik dari pengarah teater untuk memberikan perspektif sejarah yang benar dan sangat bernilai kepada penonton negara ini dan juga kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Natrah bukan milik Fatini – Erma Fatima

Pengarah Natrah, Erma Fatima ketika dihubungi berharap novelis Fatini Yaacob tidak perlu terlalu emosi terhadap pementasan Natrah yang dilakukannya.

Menurutnya, pementasan tersebut merupakan sejarah milik masyarakat dan bukannya hak milik peribadi Fatini atau adaptasi dari novel tulisannya.

“Siapa dia (Fatini) untuk menentukan jalan cerita yang saya tulis sebab sejarah Natrah adalah hak milik masyarakat. Jika sepuluh orang yang mementaskan cerita ini ia pasti menjadi sepuluh jalan cerita yang berbeza.

“Saya melihat Natrah dari sudut pandangan saya sebagai seorang pengarah teater dan Fatini memandang dari sudut pandangan penulis buku. Jadi tidak timbul saya tidak memuaskan hati dia atau buku yang ditulisnya,” ujar Erma.

Fatini telah dilantik menjadi penasihat dan rujukan untuk pementasan pertama Natrah pada 30 November tahun lalu. Namun Erma mengakui turut mengambil beberapa rujukan lain dari Singapura dan penulisan dari Internet.

Jelas Erma, dia mementaskan teater tersebut tidak berdasarkan keuntungan sebaliknya cinta terhadap Natrah dan perjuangan bangsa dan agama Islam.

“Jika diikutkan tentang keuntungan, secara jujur saya tidak pernah memikirkannya. Ia adalah duit kerajaan dan pulangannya kepada Istana Budaya.

“Jika saya buat filem atau drama lebih banyak mendatangkan keuntungan. Saya buat Natrah sebab cintakan Natrah dan mahu masyarakat sedar tentang perjuangan bangsa kita dalam menyelamatkan Natrah,” katanya.

Dalam pada itu, Erma mengakui sejak pementasan pertama, Fatini telah menunjukan rasa kurang senang terhadap skrip yang ditulisnya, malah tidak bersetuju dengan simbolik yang cuba ditunjukkan oleh Erma.

“Saya tahu dia tidak suka tentang apa yang saya cuba buat tapi itu adalah cara saya untuk menimbulkan kesan penceritaan.

“Dia cuba ubah dan menambah beberapa babak tetapi bukan saya sahaja yang tidak setujui malah pelakon dan ramai lagi tidak setuju dengan beliau,” ujarnya.

Tambah Erma jika Fatini tidak berpuas hati dan ingin membuat pementasan semula, itu terpulang kepadanya.

“Semua orang berhak untuk pentaskan atau filemkan cerita ini, jika dia ingin pentaskan Natrah mengikut ideanya, saya sangat galakkan.

“Malah saya juga mengalu-alukan dia untuk menggantikan tempat saya dalam pementasan kedua ini,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan