Benarkah Salih Yaccob Anak Emas Sinar FM?

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Salih Yaccob menyambut ulang tahun ke-30 dalam industri hiburan di Restorak Subak, Bukit Lanjan, Sabtu lalu. - Foto oleh AZMAN GHANI
Salih Yaccob menyambut ulang tahun ke-30 dalam industri hiburan di Restorak Subak, Bukit Lanjan, Sabtu lalu. - Foto oleh AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Kejayaan stesen radio Sinar FM yang mempunyai rating tinggi menyebabkan pelakon Salih Yaccob dikatakan sebagai anak emas kerana menjadi penyumbang kepada populariti stesen tersebut.

Malah majlis meraikan 30 tahun Salih dalam industri hiburan yang turut disertai petugas Sinar FM di Restoran Subak, Bukit Lanjan, di sini pada Sabtu lalu menguatkan lagi spekulasi berkenaan.

Bagaimanapun, Pengurus Program Sinar FM, Rostam Z. Said, berkata Sinar FM mendapat nombor 1 disebabkan kekuatan muzik tidak hanya disebabkan deejaynya.

“Walaupun penyampai radio itu memainkan peranan penting tapi saya menjaga anak buah sama rata dan tidak timbul isu anak emas,” kata Rostam atau dikenali dengan nama Pak Tam.

Ketika soalan tentang anak emas itu diajukan kepada Salih yang dikenali sebagai SY, Abang Jam, Mak Ning, Wak dan Mat Salih di kalangan pendengar Sinar FM, dia hanya tersenyum sebaliknya memberitahu majlis berkenaan dibiayai oleh dia sendiri.

“Saya mendapat komen daripada pendengar, kebanyakannya menyukai lawak dan keletah saya dan rakan-rakan pada waktu pagi kerana ia menyeronokkan.

“Dengan penglibatan saya dalam Sinar FM sekurang-kurangnya saya mampu memberikan sesuatu kepada pendengar seperti nasihat,” kata Salih yang telah empat tahun bekerja di stesen radio itu.

Tidak dinafikan celoteh antara Salih bersama-sama dua lagi penyampai iaitu Kak Engku (Raja Azura) dan Krill (Khairil Rashid) dalam slot Sinar Pagi yang bermula pukul 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat agak menghiburkan.

Sengaja mengusik Salih tentang watak-watak seperti Abang Jam dan sebagainya itu, dia berkata setiap watak itu memberikan peranan tersendiri untuk mengisi slot selama empat jam yang diberikan.

“Nama Abang Jam saya ambil daripada nama karakter Jamil dalam filem Madu Tiga. Sementara watak Mat Salih pula saya dapati ia mampu menarik pendengar yang suka mendengar gurauan dalam Bahasa Inggeris.

“Walaupun saya tidak betul Bercakap bahasa Inggeris, tetapi ada yang memahami apa yang saya cuba sampaikan itu,” ujarnya.

Turut meraikan majlis tersebut ialah 12 orang pendengar bertuah yang memenangi peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) SY…I Follow pada Ogos lalu. Mereka memenangi hadiah berupa cenderahati dari Sinar FM dan makan malam bersama-sama Salih.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan